Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja bebas semasa COVID-19 patut cari kerja lain bila ekonomi pulih: Ketua Grab

Dalam keadaan ekonomi yang muram ini, lebih ramai warga Singapura melakukan pekerjaan dalam ekonomi gig untuk menambah pendapatan mereka. Namun ketua Grab Singapura berharap kebanyakan mereka akan mencari peluang pendapatan lain apabila ekonomi pulih.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja bebas semasa COVID-19 patut cari kerja lain bila ekonomi pulih: Ketua Grab

Pengarah urusan Grab Singapore, Yee Wee Tang (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 29 Sep 2020 10:00PM Dikemas Kini : 29 Sep 2020 10:02PM

SINGAPURA: Dalam keadaan ekonomi yang muram ini, lebih ramai warga Singapura melakukan pekerjaan dalam ekonomi gig untuk menambah pendapatan mereka. Namun ketua Grab Singapura berharap kebanyakan mereka akan mencari peluang pendapatan lain apabila ekonomi pulih.

Dalam wawancara eksklusif dengan akhbar Mediacorp, TODAY pada Jumaat lalu (25 Sep), Encik Yee Wee Tang, pengarah urusan firma khidmat kereta sewa itu malah berkata sebelum penularan virus korona, ramai pekerja gig yang berkhidmat untuk Grab - seperti pekerja penghantaran makanan dan pemandu kereta sewa privet - sudah pun "melahirkan minat untuk meneroka peluang pendapatan lain".

Misalnya, tinjauan dalaman ke atas 3,000 rakan pemandu tahun lalu menunjukkan bahawa lebih 70 peratus daripada mereka merancang untuk berhenti memandu selepas dua tahun.

Pemandu kereta sewa privet menghadapi kesukaran, terutamanya dalam tempoh pemutus rantaian, apabila sekatan duduk di rumah dilaksanakan dan kegiatan tidak penting dihentikan dari April hingga Jun. Jumlah perjalanan yang dilakukan juga merosot.

Awal bulan ini, Pemerintah mengumumkan akan memperuntukkan bantuan kewangan bernilai S$112 juta bagi pengendali teksi dan syarikat kereta sewa privet untuk membantu mereka mengharungi wabak COVID-19, selain pakej sokongan S$77 juta yang diumumkan pada Februari dan S$95 juta lagi yang diumumkan pada Mac.

Untuk mengurangkan lagi kesempitan, Encik Yee berkata pemandu kereta sewa privet telah mencari pendapatan tambahan dengan menghantar makanan menerusi GrabFood, barangan dapur menerusi GrabMart dan bungkusan menerusi GrabExpress.

"Sekarang ini kita berada di Fasa 2, dan ekonomi juga dibuka secara bertahap-tahap dan itu akan meningkatkan sedikit permintaan," kata Encik Yee.

"Kami akan terus memantau situasi ini, dan bersedia untuk menyesuaikan khidmat kami dan memberikan sokongan seberapa mungkin."

BANTU PENJAJA BERALIH KE WADAH DIGITAL

Sedang Grab menangani cabaran berkaitan krisis COVID-19 dalam bulan-bulan mendatang, Encik Yee yakin bahawa peralihan perniagaan ke wadah online akan menjadi "sangat ketara".

"Kami perlu tumpukan usaha untuk membantu perniagaan kecil mengalihkan operasi mereka ke wadah digital dengan perhatian kepada sumber daya dan peralatan yang tepat, agar mereka tidak berada dalam kerugian semasa pandemik ini."

Sebagai contoh, Grab pada Ogos memperluaskan daya usaha Hawker Center 2.0 - yang mana para pelanggan boleh mendapatkan khidmat penghantaran makanan dari gerai-gerai dalam sebuah pusat penjaja.

Secara berasingan, melalui program yang diberi nama Grab Merchant Academy, pemilik perniagaan juga boleh mempelajari kemahiran digital menerusi modul online secara percuma.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan