Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja bebas sektor kesenian akan dapat pusat sumber baru

Sebuah pusat sumber nasional akan ditubuhkan bagi pekerja bebas dalam sektor kesenian untuk memberi mereka akses lebih baik kepada sumber dan rangkaian latihan.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja bebas sektor kesenian akan dapat pusat sumber baru

(Gambar: NAC)

Diterbitkan : 08 Mar 2018 11:16PM Dikemas Kini : 08 Mar 2018 11:19PM

SINGAPURA: Sebuah pusat sumber nasional akan ditubuhkan bagi pekerja bebas dalam sektor kesenian untuk memberi mereka akses lebih baik kepada sumber dan rangkaian latihan.

Berucap semasa perbahasan Jawatankuasa Peruntukan bagi Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Setiausaha Parlimen Baey Yam Keng berkata pusat tersebut akan disediakan "dalam bentuk fizikal dan digital". MCCY akan berunding dengan rakan-rakan kongsi yang berpotensi untuk mendapatkan ruang yang sesuai bagi pusat tersebut.

"Pusat ini akan menjalankan program latihan, serta menyediakan sumber dan perkhidmatan mengenai hak dan tanggungjawab individu, pembangunan kerjaya dan kewangan," kata beliau. Pusat tersebut juga dijangka menyediakan akses peluang pekerjaan kepada pekerja bebas.

Menjawab soalan Dr Lim Wee Kiak mengenai sokongan pemerintah bagi pekerja bebas dalam sektor kesenian, Encik Baey berkata: "Kami akur banyak lagi boleh dilakukan untuk meningkatkan sokongan profesional bagi artis-artis bebas."

Dalam satu Tinjauan Kerjaya Kesenian dan Kebudayaan MCCY 2016, hampir separuh responden menyatakan mereka bekerja sebagai pekerja bebas.

Encik Baey berkata rangka kerja sokongan yang memupuk keadaan pekerjaan yang adil dan progresif dan memenuhi keperluan pembangunan professional pekerja bebas sudah dibangunkan.

Majlis Seni Kebangsaan dan Lembaga Warisan Negara merupakan yang pertama melaksanakan Piawai Tiga Pihak bagi Kontrak Pekerja Bebas, kata beliau.

"Kami juga akan menggalak kumpulan-kumpulan kesenian dan institusi dalam sektor kebudayaan yang lebih luas untuk melaksanakan langkah-langkah ini."

MUZIK TEMPATAN AKAN IKUTI ARUS GELOMBANG DIGITAL

Dalam memperkasakan lagi sektor seni tempatan, mulai bulan depan, orang ramai boleh mendengar muzik tempatan menggunakan wadah digital, Hear65, umum Encik Baey.

Wadah digital itu akan membolehkan orang ramai mendengar muzik Singapura dari pelbagai genre, bahasa dan tahun, kata beliau.

"Hear65 akan menjadi wadah untuk yang muda dan tua," tambah beliau. Terdapat lagu-lagu oleh Huang Qing Yuan dan Poon Sow Keng, untuk warga tua dan lagu-lagu dendangan Kit Chan, Rahimah Rahim dan Taufik Batisah bagi yang lain.

Satu gerakan muzik nasional akan dilancarkan pada April ini dengan kerjasama syarikat media tempatan Bandwagon, yang akan memaparkan muzik-muzik tempatan Singapura dan pendengar antarabangsa.

LEBIH BANYAK RUANG BAGI SENI UMUM

Sempena meraikan 200 tahun Singapura, tahun depan, dua karya seni baru akan dipamerkan di ruang masyarakat.

Ini menyusuli tiga lagi karya seni yang akan dipamerkan di Kawasan Sivik di bawah Dana Amanah Seni Awam bagi SG50.

Selain itu, MCCY juga memberikan lebih banyak ruang bagi penggiat seni menghasilkan karya mereka di kawasan kejiranan. Hingga kini, lebih 30 kawasan diperuntukkan, termasuk di pusat bandar dan pusat sukan di Bedok, Ang Mo Kio, Bukit Panjang, Woodlands dan Clementi.

Senarai awal tapak-tapak baru itu akan dikeluarkan pertengahan tahun ini, tambah beliau.

MCCY juga akan melancarkan jejak seni awam di luar Kawasan Sivik dan Kawasan Pusat Perniagaan. Contohnya, akan terdapat lebih banyak program kesenian sebagai sebahagian daripada siri Kesenian di Kawasan Kejiranan, kata beliau.

Sementara itu, sastera tempatan dalam bahasa ibunda juga akan mendapat sokongan, apabila sekolah-sekolah rendah dan menengah akan menerima buku-buku hasil penulis tempatan, SingLit di perpustakaan mereka.

Hasil-hasil sastera dalam keempat-empat bahasa rasmi itu, termasuk daripada penulis-penulis tempatan seperti Francis Wong, Huang Shu Jun dan Ai Yu. 

Sumber : CNA/FA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan