Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekerja asing akan kekal duduk di dormitori pada hari rehat semasa Fasa 2 pembukaan: MOM

Bagi mencegah gelombang jangkitan baru COVID-19, para pekerja asing akan terus berada di dalam dormitori semasa hari rehat mereka sedang Singapura beralih ke Fasa 2 pembukaan semula kegiatan ekonominya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekerja asing akan kekal duduk di dormitori pada hari rehat semasa Fasa 2 pembukaan: MOM

Pekerja asing di koridor Dormitori Tuas View pada 6 Mei 2020. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 19 Jun 2020 08:29AM Dikemas Kini : 19 Jun 2020 08:35AM

SINGAPURA: Bagi mencegah gelombang jangkitan baru COVID-19, para pekerja asing akan terus berada di dalam dormitori semasa hari rehat mereka sedang Singapura beralih ke Fasa 2 pembukaan semula kegiatan ekonominya.

Kementerian Tenaga Kerja (MOM) mengumumkan dalam satu kenyataan media pada Khamis (18 Jun) bahawa para pekerja akan masih dapat mengggunakan kemudahan yang dikongsi dalam premis dormitori dengan langkah-langkah jarak selamat dilaksanakan.

"Kami perlu berwaspada untuk memastikan para pekerja kekal bebas dari COVID-19 kerana pergerakan keluar masuk yang berlaku sehari-hari," kata MOM.

"Risiko jangkitan yang dibawa dari tempat kerja ke dormitori yang sudah diisytiharkan bebas jangkitan tetap wujud.

"Pergerakan para pekerja di luar kawasan tempat kerja akan menambah lagi risiko jangkitan kepada masyarakat umum."

MOM menyatakan bahawa "dalam tempoh terdekat peralihan ke Fasa 2" mulai 19 Jun, para pekerja akan terus duduk di dormitori mereka pada hari rehat mereka.

"Satu gelombang baru jangkitan akan mensia-siakan kerja keras pihak-pihak berkepentingan dan para pekerja itu sendiri sejak beberapa bulan lalu dalam memastikan dormitori-dormitori bebas dari jangkitan," tambah kementerian itu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp tentang "tempoh terdekat" ini, MOM menyatakan tiada tarikh khusus telah ditetapkan.

MOH menambah apabila jangkitan dalam masyarakat dan di dormitori boleh "dikekalkan pada tahap rendah buat jangka masa lebih panjang", para pekerja di dormitori-dormitori dan blok-blok yang bebas jangkitan akan berpeluang untuk menguruskan hal peribadi mereka di tempat-tempat yang diluluskan.

"Peralihan bertahap-tahap kepada cara kehidupan seperti biasa akan memastikan kesihatan dan peluang para penghuni dormitori untuk meraih pendapatan bagi diri sendiri dan keluarga mereka akan lebih terjaga," menurut MOM.

Pada Mei, MOM mengumumkan bahawa di bawah Fasa 2 pembukaan semula selepas langkah pemutus rantaian jangkitan Singapura, para pekerja asing yang tinggal di dormitori yang sudah bebas COVID-19 akan dibenarkan untuk keluar dormitori bagi urusan hal peribadi pada hari-hari rehat yang dijarakkan dan untuk sehingga dua jam pada satu-satu masa.

Di bawah Fasa 3, waktu rehat bagi para pekerja asing yang menetap di dormitori yang bebas jangkitan akan terus dijarakkan, dengan para pekerja yang layak, dibenarkan keluar dari dormitori untuk jangka waktu lebih lama dan ke lebih banyak tempat pada hari rehat mereka.

Pada 21 April, semua pekerja asing yang tinggal di dormitori diarahkan berhenti kerja dan tidak dibenarkan keluar masuk dormitori sehingga 4 Mei. Sekatan pergerakan harian itu kemudian dilanjutkan hingga 1 Jun.

Langkah-langkah itu dilaksanakan untuk mengurangkan risiko penularan lanjut COVID-19, menurut pihak berkuasa.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan