Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pekebun kondominium warga emas dipenjara 21 bulan kerana cabul budak 7 tahun

Pekebun kondominium berusia 74 tahun, Tok Chon Chey,  dipenjara 21 bulan kerana cabul budak lelaki 7 tahun di kondo itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Pekebun kondominium warga emas dipenjara 21 bulan kerana cabul budak 7 tahun

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 05 May 2021 12:29AM Dikemas Kini : 05 May 2021 12:37AM

SINGAPURA: Setelah berkawan dengan seorang kanak-kanak lelaki yang tinggal di kondominium tempat dia bekerja sebagai tukang kebun, Tok Chon Chey mencium bibir kanak-kanak itu apabila dia bersendirian.

Beberapa minit kemudian, Tok membuat kanak-kanak berusia tujuh tahun itu melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya. Apabila seorang penduduk menangkapnya melakukan perbuatan itu, Tok merayunya agar tidak melaporkan perkara itu.

Pada Selasa (4 Mei), Tok, yang kini berusia 74 tahun, dijatuhi hukuman penjara satu tahun sembilan bulan atas perbuatannya itu.

Warga Singapura itu mengaku salah atas satu dakwaan mencabul dan satu dakwaan memperoleh perbuatan tidak senonoh dari seorang kanak-kanak, dengan satu dakwaan serupa dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Itu bukan kali pertama dia melanggar undang-undang. Pada 2013, dia juga disabitkan dengan kesalahan mencabul seorang budak lelaki berusia 11 tahun di sebuah blok perumahan awam dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan.

Mangsa terbarunya, yang kini berusia sembilan tahun, tidak boleh didedahkan namanya atas perintah mahkamah untuk melindungi identiti mangsa. Kondominium tersebut terletak di timur Singapura

Tok bekerja di sana selama tujuh tahun sebelum melakukan kesalahan itu. Kanak-kanak lelaki itu mengenalnya sekurang-kurangnya dua tahun kerana dia akan melihat Tok mengerjakan tanaman di tingkat bawah hampir setiap hari, setiap kali dia pulang dari tadika.

Pada 23 Mac 2019, budak lelaki itu dan saudara perempuannya menunggang basikal mereka di pekarangan kondominium pada sekitar 10.00 pagi. Mereka kemudian terlihat Tok duduk di salah satu pit barbeku.

Kanak-kanak lelaki itu kali terakhir bertemu Tok dua hari sebelumnya, ketika Tok menawarkan budak itu $S2 untuk membeli ais krim dan meminta untuk menemuinya di pit barbeku pada hari itu.

Kanak-kanak itu tidak mengambil wang tersebut dan tidak berniat menemui Tok, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nicholas Lai kepada mahkamah.

Saudara perempuan lelaki itu, yang tidak mengesyaki ada yang tidak kena, beredar untuk pulang setelah Tok meminta mangsa menghampirinya.

Tok kemudian mengangkat budak itu dan meletakkannya di pangkuannya. Mereka berbual sebentar sebelum Tok tiba-tiba mencium bibirnya.

Seorang penduduk kondominium yang melewati mereka dan melihat apa yang berlaku memutuskan untuk berpatah balik kerana merasa tidak sedap hati.

Pada ketika ini, Tok menyuruh budak lelaki itu berdiri lalu mencabulnya, kemudian membuka zip seluarnya sendiri dan membuat budak lelaki itu melakukan aksi seks kepadanya.

Penghuni kondo yang berpatah balik itu bersemuka dengan Tok, bertanya kepadanya apakah dia fikir apa yang dia lakukan itu wajar.

Kanak-kanak itu bersembunyi di belakang penghuni itu dan Tok mula merayu agar dia tidak melaporkan perkara itu. Penduduk kondo itu bagaimanapun tetap membawa budak tersebut ke pondok pengawal keselamatan untuk melaporkan hal tersebut.

Tok mengekori mereka sambil merayu agar tidak dilaporkan, tetapi beredar separuh jalan.

Ibu bapa kanak-kanak itu dihubungi dan bapanya menelefon polis. Para pegawai kemudian menangkap Tok pada hari yang sama.

Atas kesalahan mencabul budak bawah usia 14 tahun, Tok boleh dipenjara hingga lima tahun atau didenda, atau kedua-duanya. Dia tidak boleh dirotan kerana sudah berusia 50 tahun ke atas.

Dia boleh dipenjara hingga lima tahun atau didenda hingga S$10,000, atau dikenakan kedua-dua hukuman itu kerana menerima perbuatan tidak senonoh dari seorang kanak-kanak.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan