Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pejuang alam sekitar dipelawa ambil bahagian dalam kajian ketersambungan ekologi: Desmond Lee

Anggota masyarakat alam sekitar akan dijemput untuk mengambil bahagian dalam kerja-kerja bagi menghasilkan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai sistem dan ketersambungan ekologi di negara ini, menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, pada Jumaat (26 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Pejuang alam sekitar dipelawa ambil bahagian dalam kajian ketersambungan ekologi: Desmond Lee

Kawasan hutan Kranji dibersihkan secara silap sebelum satu kajian alam sekitar mengenainya selesai dijalankan. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 26 Feb 2021 08:03PM Dikemas Kini : 26 Feb 2021 08:15PM

SINGAPURA: Anggota masyarakat alam sekitar akan dijemput untuk mengambil bahagian dalam kerja-kerja bagi menghasilkan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai sistem dan ketersambungan ekologi di negara ini, menurut Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, pada Jumaat (26 Feb).

Langkah itu akan menyumbang lebih baik kepada usaha memahami dengan lebih mendalam bagaimana tapak-tapak tertentu terhubung kait dengan kawasan alam semula jadi, kata Encik Lee di Parlimen.

Beliau berkata demikian selepas kawasan hutan Kranji dibersihkan secara silap sebelum satu kajian alam sekitar mengenainya selesai dijalankan.

Kejadian itu mencetuskan kritikan daripada kumpulan-kumpulan mesra alam dan pejuang pemuliharaan alam sekitar.

Kawasan tersebut diperuntukkan bagi pembangunan Taman Inovasi Agro-Makanan yang terletak di sepanjang laluan hijau yang dikenali sebagai Koridor Rel.

Kejadian itu dibangkitkan di Parlimen, dengan sekurang-kurangnya 15 Anggota Parlimen (AP) mengajukan pertanyaan mengenai isu tersebut.

Ini termasuk bagaimana pihak berkuasa akan mengukuhkan rangka kerja Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi memastikan kesilapan serupa tidak berlaku lagi dan sama ada kajian alam sekitar akan diselesaikan sebelum tender ditawarkan bagi projek pembangunan di atau dekat kawasan alam semula jadi.

Encik Lee berkata semasa perbincangan dengan masyarakat alam sekitar tahun lalu, beberapa langkah dikenalpasti untuk mengukuhkan lagi proses EIA.

"Kami akan menghasilkan gambaran yang lebih menyeluruh mengenai sistem dan keterhubungan ekologi Singapura supaya dapat menilai dengan lebih baik bagaimana tapak-tapak tertentu terhubung kait dengan kawasan alam sekitar di negara ini," kata Encik Lee.

"Kami akan melakukannya dalam cara berasaskan sains, dalam skala besar di seluruh negara dan kami akan menjalankan kajian dasar bagi kawasan-kawasan tertentu untuk lebih memahami profil dan peranannya dalam ketersambungan ekologi. Anggota masyarakat alam sekitar akan dipelawa untuk menyertai usaha ini."

Hasil kajian berkenaan akan menyumbang kepada pengumpulan data dan contoh yang dibangunkan Lembaga Taman Negara (NPARKS) sepanjang tahun-tahun lalu untuk membantu memberi panduan kepada Pemerintah menjalankan perancangan jangka panjang, tambah beliau.

PROSES PERANCANGAN

Encik Lee juga membentangkan proses perancangan bagi pembangunan, di mana cadangan projek dikaji tentang potensi kesannya terhadap sekitaran.

Projek yang terletak berdekatan kawasan sensitif alam sekitar di kawasan pesisiran pantai dan marin atau yang mempunyai kesan rentas sempadan akan "diteliti dengan lebih rapi", jelas beliau.

Tambah Encik Lee, sedang pemaju hartanah boleh membuka tender bagi kerja-kerja pembersihan sementara kajian sekitaran dijalankan, semua kegiatan di tapak binaan hanya boleh dijalankan selepas syarikat pemaju tersebut menerima kelulusan yang diperlukan daripada agensi-agensi relevan.

Ini melibatkan projek-projek swasta dan awam.

Kebenaran akan hanya akan diberikan selepas projek itu didapati memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan agensi-agensi kawal selia yang relevan.

Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Chan Chun Sing, pula berkongsi urutan kejadian di Kranji. Menurutnya, projek tersebut sudah dirancang dengan teliti tetapi akur bahawa "pelaksanaan bagi pembersihan tanah boleh diperbaiki".

Berkaitan kesilapan tersebut, Encik Chan dan Encik Lee menekankan bahawa siasatan masih dijalankan.

"Kita tidak harus membuat spekulasi atau menentukan siapa yang bersalah awal-awal lagi tanpa memahami sepenuhnya garis masa kejadian tersebut, skop tanggungjawab mereka yang terlibat, dan sebab mereka atau tekanan yang mereka hadapi yang mungkin menyumbang kepada hasil siasatan," kata Encik Chan.

Sumber : CNA/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan