Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pejabat POFMA arah Facebook, Twitter & SPH Magazines perbetul dakwaan 'varian S'pura'

Arahan pembetulan umum akan dikeluarkan terhadap Facebook, Twitter dan SPH Magazines berhubung kepalsuan mengenai "varian COVID-19 Singapura".

Anggaran Waktu Membaca:
Pejabat POFMA arah Facebook, Twitter & SPH Magazines perbetul dakwaan 'varian S'pura'

Seorang penduduk India sedang menjalani ujian swab COVID-19 (Gambar: AFP/Narinder Nanu)

Diterbitkan : 20 May 2021 08:34AM Dikemas Kini : 20 May 2021 08:39AM

SINGAPURA: Arahan pembetulan umum akan dikeluarkan terhadap Facebook, Twitter dan SPH Magazines berhubung kepalsuan mengenai "varian COVID-19 Singapura".

Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pada awal pagi Khamis (20 Mei) bahawa pihaknya sedia maklum mengenai satu kenyataan palsu yang disebarkan online oleh beberapa media dan wadah media sosial yang mendakwa bahawa "varian COVID-19 yang sebelum ini tidak diketahui" berasal dari Singapura dan/atau berisiko merebak ke India dari Singapura.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung mengarahkan Pejabat POFMA (Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi dalam Talian) untuk mengeluarkan arahan pembetulan am terhadap gergasi media sosial dan SPH Magazines, menurut MOH.

Arahan pembetulan am adalah perintah yang dikeluarkan terhadap syarikat-syarikat Internet, pemegang lesen telekomunikasi dan penyiaran, dan pemegang permit Akta Akhbar dan Mesin Cetak. Ia memerlukan mereka untuk memaklumkan, menerbitkan, menyiarkan atau menyebarkan notis pembetulan kepada pengguna mereka di Singapura.

"Facebook, Twitter dan SPH Magazines perlu menyampaikan notis pembetulan ini kepada semua pengguna di Singapura yang menggunakan Facebook, Twitter dan HardwareZone.com," jelas MOH dalam kenyataan medianya.

Forum HardwareZone dikendalikan oleh Hardware Zone, yang merupakan anak syarikat milik penuh Singapore Press Holdings.

TIADA VARIAN SINGAPURA: MOH

"Tidak ada varian COVID-19 'Singapura' yang baru. Tidak ada bukti mengenai varian COVID-19 yang 'sangat berbahaya terhadap kanak-kanak'," tegas MOH.

Varian yang kebanyakannya dikesan pada kes-kes COVID-19 di Singapura sejak beberapa minggu kebelakangan ini adalah varian B16172, yang dikesan di India, tambah MOH.

"Kewujudan dan penularan varian B16172 di India dikesan lebih awal di India sebelum varian yang sama dikesan di Singapura dan ini diketahui ramai dan sudah dilaporkan secara terbuka oleh pelbagai media sejak 5 Mei 2021," tambah MOH.

Kementerian tersebut turut menasihatkan orang ramai supaya jangan membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan khabar angin yang tidak berasas.

Lewat Selasa malam, MOH menegaskan bahawa "tidak benar sama sekali" dalam laporan-laporan berita di India yang mendakwa kononnya terdapat varian baru COVID-19 di Singapura.

Dakwaan tersebut dilaporkan dalam rencana yang diterbitkan oleh Hindustan Times dan NDTV, kedua-duanya dari India.

Artikel itu memetik ciapan Ketua Menteri Delhi, Arvind Kejriwal, yang dilaporkan sebagai berkata bahawa varian baru itu "sangat berbahaya terhadap kanak-kanak" dan boleh mencetuskan gelombang ketiga penularan virus tersebut di India.

Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) menyuarakan keprihatinannya kepada Pesuruhjaya Tinggi India atas komen-komen yang dibuat oleh Ketua Menteri Delhi itu.

Menulis di Twitter pada Rabu, Menteri Ehwal Luar India S Jaishankar menegaskan bahawa komen-komen Encik Kejriwal adalah "tidak bertanggungjawab" dan Ketua Menteri Delhi itu "tidak mewakili pandangan India".

"Singapura dan India adalah rakan kerja yang rapat dalam usaha memerangi COVID-19," tegas Encik S Jaishankar.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan