Images
  • masagos m3
    Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli melancarkan pejabat dan logo M³ di Wisma Geylang Serai. (Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Pejabat M³@WGS dilancarkan; tawarkan pelbagai khidmat untuk masyarakat

SINGAPURA: Orang ramai boleh mendapatkan akses lebih mudah kepada khidmat-khidmat disediakan MUIS, MENDAKI dan Mesra atau M³.

Ini setelah pejabat M³ yang terletak di Wisma Geylang Serai (WGS) dilancarkan hari ini (25 Jan) oleh Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

DARIPADA KHIDMAT BAYAR ZAKAT KEPADA PERMOHONAN KERJA

Pelbagai keperluan masyarakat dipenuhi oleh M³@WGS, pejabat yang berkhidmat sebagai pusat maklumat dan rujukan untuk penduduk Melayu/Islam.

Ini termasuk khidmat membayar zakat serta permohonan program pendidikan dan pekerjaan. Sekaligus M³@WGS menjadi jambatan bagi penyampaian khidmat fasa terakhir.

Tempatnya di estet kejiranan juga merupakan satu lagi usaha untuk M³ mendampingi masyarakat.

Ini selaras dengan visi Encik Masagos Zulkifli untuk menggabungkan dan meningkatkan kerjasama antara M³ demi memperbaiki lagi sokongan yang diberikan kepada masyarakat.


"Pejabat ini memberikan khidmat yang diidamkan oleh masyarakat kita kerana sekarang ini mereka harus pergi beberapa pejabat untuk mendapatkan khidmat yang mereka perlukan.

"Dengan adanya pejabat ini, ini akan menggabungkan semua khidmat itu dalam satu bumbung tetapi yang penting mereka juga perlu program-program yang dekat dengan tempat tinggal mereka," kongsi Encik Masagos.

Di acara pelancaran itu, Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air merasmikan logo M³.

Dengan cogan kata 'Maju Bersama', logo itu mencerminkan sinergi M³ yang membentuk hab pusat masyarakat untuk bekerjasama dengan pertubuhan Melayu/Islam dan pemerintah demi memajukan masyarakat.

"Saya jangkakan ini satu perkara yang baik dan saya harap dengan gabungan ini dapat membantu atau memudahkan segala urusan pentadbiran masyarakat Melayu di Singapura ini," kata Cik Siti Khatijah Haron seorang relawan MUIS.

Pelancaran pejabat dan logo M³ secara tidak langsung merasmikan permulaan pesta tiga hari hujung minggu ini sempena pelancaran WGS.

- BERITAmediacorp/RU/ai

Top