Images

Pejabat Juruaudit Negara kesan 'keganjilan' pada rekod 3 kementerian & 2 lembaga berkanun

SINGAPURA: Audit tahunan sektor awam yang dijalankan oleh Pejabat Ketua Audit Negara (AGO) bukan hanya mendapati kelemahan pada bidang-bidang seperti pemerolehan dan teknologi maklumat, ia juga mengesan "keganjilan" pada rekod tiga kementerian dan dua lembaga berkanun.

Aduan polis sudahpun dibuat setelah keganjilan itu dikesan.

Laporan AGO bagi tahun kewangan 2020 hingga 2021, yang diterbitkan pada Khamis (22 Jul) dan dibentangkan di Parlimen sehari sebelum itu, menyenaraikan agensi-agensi di mana keganjilan-keganjilan dikesan seperti Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan Persatuan Rakyat (PA).

Menurut AGO, audit yang dijalankan terhadap MCCY mendapati dokumen-dokumen sokongan bagi tuntutan mengandungi tanda-tanda bahawa ia mungkin adalah salinan antara satu sama lain, dengan tarikh dan tempoh khidmat ditawarkan, sudah diubah.

Secara berasingan, terdapat "beberapa kejadian" yang menunjukkan bahawa MOE dan MHA membuat dokumen sokongan atau dokumen lain yang diundurkan tarikhnya, semata-mata untuk menjawab pertanyaan AGO.

Bagi HDB pula, AGO menemui tanda-tanda yang menunjukkan beberapa sebut harga mungkin diada-adakan atau sudah diubah untuk menunjukkan seolah-olah ia diperolehi daripada para pembekal lain.

Keganjilan- keganjilan yang dikesan di PA termasuk tanda-tanda memalsukan sebut harga, mengubah salinan bayaran dalam dokumen sokongan dan rekaan dan mengundurkan tarikh sesetengah dokumen.

Agensi-agensi tersebut, menurut AGO, sudah menjalankan siasatan dan membuat aduan polis.

PEGAWAI TERLIBAT "AKAN DIKENAKAN TINDAKAN TEGAS": MOF

Mengulas laporan AGO, Kementerian Kewangan (MOF) menyatakan bahawa ia kecewa dengan kejadian-kejadian di mana pegawai awam memalsukan atau mengubah dokumen bagi tujuan audit kerana tindakan tersebut akan "melemahkan sistem kebertanggungjawapan sektor awam".

Kementerian tersebut menegaskan bahawa Pemerintah tidak akan bertolak ansur terhadap penipuan dan rasuah dan menekankan bahawa setiap kes akan disiasat dengan menyeluruh.

"Kami akan mengenakan tindakan tegas terhadap pegawai yang terlibat dalam penipuan dan rasuah, termasuk membuat aduan polis agar siasatan jenayah dapat dijalankan," menurut MOF.

PEMBAZIRAN S$5.39 JUTA ANTARA KELEMAHAN DIKESAN

Antara kelemahan-kelemahan yang dikesan AGO melibatkan pembaziran Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) berhubung lebihan pemantau kecergasan yang tidak digunakan.

Selepas pemeriksaan ujian AGO, HPB memeriksa bekalan stok dan menemui 341,000 pemantau kecergasan berlebihan dengan nilainya berjumlah S$5.39 juta.

AGO menyifatkannya sebagai "pembaziran dana awam yang besar sepanjang lima tahun lalu".

Audit berasingan terhadap tuntutan perubatan dan pergigian dalam Perkhidmatan Awam, yang dikendalikan oleh Divisyen Perkhidmatan Awam, mendapati sekitar 9,500 tuntutan berkemungkinan salah dibayar kepada pegawai dan pesara yang tidak layak antara 1 Jan 2018 dengan 31 Mac tahun lalu.

Jumlah ini setara dengan 0.3 peratus daripada tiga juta tuntutan yang diproses sepanjang tempoh itu, tetapi anggaran yang berkemungkinan adalah lebihan pembayaran "bukan kecil", iaitu sekitar S$500,000, menurut AGO.

Kelemahan-kelemahan lain termasuk yang berlaku di Jabatan Akauntan Negara dan Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (ACRA). Ia melibatkan pengurusan "akaun pengguna sistem operasi yang paling diberi keutamaan".

AGO menyatakan bahawa akaun-akaun tersebut memberi pengguna akses penuh kepada sistem operasi, termasuk kemampuan untuk membuat perubahan pada log audit sistem operasi serta akses dan aturan keselamatan pengguna.

"Kegiatan-kegiatan yang tidak diluluskan itu boleh menjejas server masing-masing dan mempengaruhi pemprosesan dan rakaman transaksi kewangan pada server," jelasnya.

LANGKAH PEMBETULAN

Menurut MOF, audit tersebut turut membangkitkan tiga bidang yang perlu diberikan perhatian oleh agensi-agensi awam. Bidang-bidang tersebut adalah penyumberan luar khidmat, pemprosesan urus niaga kewangan tanpa campur tangan manual - dan pengurusan rekod.

Akur betapa perlunya peningkatan pada bidang-bidang tersebut, MOF turut mendedahkan bahawa ketua-ketua agensi berkenaan sudah menyemak setiap kes dengan teliti dan sedang mengambil langkah-langkah untuk menangani kelemahan-kelemahan yang dikenal pasti.

"Di mana terdapat kelemahan, kami akan memperbetulkannya dan belajar daripada kelemahan itu," tambah MOF.

"Jika AGO mengesahkan amalan-amalan yang baik, kami akan berkongsi amalan positif ini, supaya semua agensi awam dapat meningkatkan piawai prestasi masing-masing."

- TODAY/TQ/tq

Top