Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pejabat Digital S'pura akan dekati 100,000 warga emas untuk dakapi digital

Pejabat Digital Singapura (SDO) yang baru ditubuhkan menetapkan sasaran mendampingi 100,000 warga emas dalam tempoh 10 bulan ini, untuk mendidik golongan tersebut kemahiran digital.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 31 May 2020 08:52PM Dikemas Kini : 31 May 2020 09:25PM

SINGAPURA: Pejabat Digital Singapura (SDO) yang baru ditubuhkan menetapkan sasaran mendampingi 100,000 warga emas dalam tempoh 10 bulan ini, untuk mendidik golongan tersebut kemahiran digital.

1,000 Duta Digital juga akan dilantik untuk tujuan tersebut yang juga akan mendidik para peniaga di pasar dan pusat penjaja supaya mendakapi kaedah digital.

Demikian dedah Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran hari ini (31 Mei).

Menurut beliau, pandemik COVID-19 banyak merubah rutin seharian masyarakat umum dan menjadikan mereka lebih bergantung kepada penggunaan teknologi.

Ini termasuklah bagi kebiasaan seperti membeli barangan dapur mahupun berinteraksi dengan anggota keluarga.

Lantaran itu, Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dan MCI akan bekerjasama melalui inisiatif SDO untuk mendampingi golongan yang memerlukan sokongan dalam perjalanan mereka ke arah pendigitalan.

"Kita mendengar tentang warga emas yang berasa terpisah daripada rakan-rakan dan cucu-cucu mereka dan mereka juga merindui aktiviti-aktiviti dan interaksi sosial di kelab-kelab masyarakat.

"Kita juga dengar tentang penjaja dan pemilik gerai pasar basah yang tidak lagi menikmati perniagaan yang rancak seperti sebelum wabak COVID-19," kata Encik Iswaran.

Lantaran itulah, seramai 100,000 warga emas akan didampingi oleh para Duta Digital sehingga Mac tahun depan, untuk mendidik mereka tentang kemahiran digital untuk urusan jual beli ataupun komunikasi.

Para duta berkenaan juga akan mendampingi 18,000 penjaja dan peniaga di lebih 100 pasar basah dan pusat penjaja di serata negara bermula Jun ini.

Kempen pendidikan itu termasuklah untuk menggalak para peniaga supaya mengamalkan huraian pembayaran elektronik dalam urus niaga mereka.

"Jadi dalam kebiasaan baru akibat COVID-19, pendigitalan kini merupakan satu usaha yang begitu penting dan juga satu peluang. Lebih banyak aspek kehidupan kita akan dikendalikan secara dalam talian dan tidak ada masa yang lebih baik daripada sekarang untuk meningkatkan usaha kita dan merebut peluang ini," ujar Encik Iswaran.

"Peranan yang dimainkan oleh para duta digital adalah amat penting. Mereka akan membantu para penjaja dan warga emas kita dan menjaminkan tempat yang tetap dan bermakna untuk setiap warga negara Singapura dalam zaman digital pada masa hadapan."

Encik Iswaran menekankan, semua langkah itu diambil demi memastikan tiada golongan ketinggalan dalam gerakan digitalisasi Singapura.  

Sumber : CNA/RU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan