Images
  • SBS Transit file
    (Gambar fail: Jeremy Long)

Peguam M Ravi digugurkan dari kes tuntutan mahkamah terhadap SBS Transit atas kelakuan memalukan

SINGAPURA: Peguam M Ravi digugurkan daripada kes tuntutan mahkamah seorang bekas pemandu bas terhadap pengendali pengangkutan SBS Transit atas kelakuan memalukan pada hari pertama perbicaraan.

Demikian menurut anak guamnya.

"Kami berasa sangat malu dengan kelakuan M Ravi terhadap Hakim Audrey Lim dan Peguam Bela Davinder Singh setelah perbicaraan bermula," kata Encik Chua Qwong Meng menerusi satu kenyataan media kepada Mediacorp hari ini (23 Nov).

Hari pertama perbicaraan bermula semalam (22 Nov) menerusi persidangan video.

Semalam, Encik Ravi berkata beliau dan Encik Chua akan "mengundurkan diri" daripada kes tersebut.

Encik Chua, yang bekerja dengan SBS Transit antara April 2017 hingga awal 2020, mendakwa SBS Transit melanggar Akta Pekerjaan dengan tidak memberikannya hari berehat setiap minggu dan beliau juga tidak diberi gaji mencukupi bagi kerja-kerja lembur.

Beliau memfailkan tuntutan mahkamah ke atas SBS Transit pada September 2019. Walaupun kes itu difailkan oleh Encik Chua, lagi 12 pemandu bas dikaitkan dengan kes itu, dengan Encik Chua mendakwa kesemua dakwaan terhadap 13 tuntutan mahkamah itu membabitkan sekitar S$720,000.

Encik Ravi mewakili Encik Chua dan 12 pemandu bas yang lain, manakala SBS Transit diwakili sepasukan peguam yang dipimpin oleh Peguam Kanan Encik Singh.

Dalam kenyataannya, Encik Chua berkata beliau bersama para pemandu yang lain "tidak menerima sama sekali kelakuan M Ravi".

"Apa yang beliau lakukan semalam sangat memeranjatkan kami yang meletakkan kepercayaan kepada beliau," tulis Encik Chua. "Beliau mengecewakan kami dan menjejas teruk kes kami."

Sewaktu perbicaraan semalam, Encik Ravi memanggil Encik Singh "seorang badut" ketika membincangkan isu-isu mengenai seorang saksi.

"Tidak ada alasan atau justifikasi langsung untuk M Ravi memanggil Encik Singh 'badut'," kata Encik Chua.

Menurut Encik Chua, Encik Ravi sudahpun dibayar lebih S$55,000 yang berjaya diraih menerusi kutipan derma daripada orang awam.

"Tiada kebenaran sama sekali pada dakwaan Encik Ravi, yang dibuatnya semalam bahawa kami tidak yakin dengan sistem perundangan Singapura dan bahawa kami tidak berniat untuk meneruskan kes ini," kata Encik Chua.

"Kami berniat sepenuhnya untuk meneruskan dengan litigasi," kata Encik Chua. "Kami kini akan mencari seorang peguam yang berkebolehan untuk mewakili kami dalam perbicaraan."

Encik Ravi semalam berkata beliau berhasrat memfailkan kes dengan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan merancang untuk mendampingi kerajaan Malaysia bagi mendapatkan bantuan kerana sebahagian besar daripada pemandu bas itu merupakan rakyat Malaysia.

Beliau menambah bahawa para pemandu itu dihubungi oleh seorang individu bernama "Mahathir", meskipun ia tidak jelas sama ada itu merujuk kepada mantan Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad.

Pada Mac tahun lalu, ia dipersetujui bahawa kes Encik Chua akan didengar sebagai kes ujian, dengan lagi 12 tuntutan dibiarkan sementara menunggu penentuan kesnya.

Pada Jun lalu, Hakim Audrey Lim meluluskan permohonan Encik Chua supaya kesnya didengarkan di Mahkamah Tinggi, sambil berkata ia bukan sahaja menjejaskan Encik Chua tetapi sebahagian besar pekerja termasuk mereka dalam sektor pengangkutan awam.

- CNA/IH/ih

Top