Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegerai di Tekka Centre dan sekitarnya ditawar ujian COVID-19

Kesemua tujuh kes baru COVID-19 yang dilaporkan di Singapura hari ini (25 Nov) adalah kes import, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (25 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Pegerai di Tekka Centre dan sekitarnya ditawar ujian COVID-19

(Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 25 Nov 2020 11:54PM Dikemas Kini : 25 Nov 2020 11:57PM

SINGAPURA: Kesemua tujuh kes baru COVID-19 yang dilaporkan di Singapura hari ini (25 Nov) adalah kes import, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Rabu (25 Nov).

Seorang daripada mereka adalah penduduk tetap Singapura yang pulang dari India.

Empat lagi adalah pemegang permit kerja yang melakukan perjalanan dari India, Filipina dan Indonesia.

Seorang pemegang pas pelajar tiba dari India, manakala baki kes melibatkan pemegang pas lawatan jangka pendek yang tiba dari Ukraine untuk menaiki kapal yang berlabuh di sini sebagai anak kapal.

Kesemuanya dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah sebaik sahaja tiba di Singapura, menurut MOH.

Tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan di Singapura buat 15 hari berturut-turut.

Lagi 12 kes COVID-19 dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah kes yang sudah pulih sepenuhnya seramai 58,091.

Masih terdapat 42 kes di hospital. Kebanyakannya berada dalam keadaan stabil atau sedang beransur pulih. Seorang pesakit dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), lagi 29 orang diasingkan dan dijaga di kemudahan-kemudahan masyarakat.

MOH juga mengumumkan bahawa ujian COVID-19 akan ditawarkan kepada pegerai di dalam dan sekitar Tekka Centre. Ini akan dijalankan pada Khamis, dekat stesen MRT Little India.

Ia adalah sebahagian daripada ujian lebih menyeluruh dalam masyarakat "untuk membantu pengesanan awal dan mendapatkan gambaran lebih jelas tentang keadaan jangkitan dlam masyarakat," menurut MOH.

MOH menarik perhatian bahawa ujian juga akan dijalankan bagi pemandu teksi dan kereta sewa, pekerja penghantaran makanan dan juruwang.

Setakat Rabu, Singapura melaporkan 58,190 kes COVID-19.

TIADA KELOMPOK COVID-19

Kelompok terakhir jangkitan COVID-19 di dormitori pekerja asing sudah ditutup dan ini bermakna tiada lagi kelompok aktif di Singapura sejak pandemik tersebut mula menular di sini.

MOH mengumumkan penutupan kelompok di dormitori Cassia @ Penjuru pada Selasa (24 Nov) selepas tiada jangkitan baru dikaitkan dengan dormitori tersebut selama 28 hari berturut-turut.

"Dengan penutupan kelompok ini, tiada lagi kelompok aktif buat pertama kali sejak 3 Feb 2020," menurut MOH.

Kelompok pertama dilaporkan pada 4 Feb di Yong Thai Hang Medical Hall, sebuah kedai perubatan Cina yang lazimnya dikunjungi oleh pelancong dari China.

Tiga hari kemudian, tahap Keadaan Sistem Respons Wabak Penyakit (DORSCON) Singapura dinaikkan dari warna Kuning ke Jingga, dengan lebih banyak kes jangkitan tempatan timbul tanpa hubung kait dengan kes-kes sebelumnya atau mempunyai sejarah perjalanan ke China. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan