Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai letak kereta yang keluarkan saman palsu bernilai S$1,000 dijel

Seorang pegawai letak kereta yang mengeluarkan saman palsu bernilai lebih S$1,000 ketika tidak melakukan rondaan, dijatuhi hukuman penjara empat minggu hari ini (15 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai letak kereta yang keluarkan saman palsu bernilai S$1,000 dijel

Gambar fail tempat letak kereta di Singapura. (Gambar: Francine Lim)

Diterbitkan : 15 Oct 2018 11:51PM Dikemas Kini : 15 Oct 2018 11:53PM

SINGAPURA: Seorang pegawai letak kereta yang mengeluarkan saman palsu bernilai lebih S$1,000 ketika tidak melakukan rondaan, dijatuhi hukuman penjara empat minggu hari ini (15 Okt).

Noorasimah Jasman, 33 tahun, merupakan pekerja Ramky Cleantech Services iaitu syarikat yang menguruskan beberapa lot letak kereta milik Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Antara 5 Jun hingga 1 Julai tahun lalu, Noorasimah mengeluarkan 54 saman letak kereta kepada para pemandu yang meletak kenderaan di Bukit Panjang atau Choa Chu Kang, meskipun mereka tidak melanggar sebarang peraturan.

Daripada 54 saman yang dikeluarkan, terdapat 16 pemilik kenderaan membayar saman palsu itu - yang lazimnya bernilai S$8 atau S$30. Keseluruhannya, S$304 dibayar, dan HDB sudah membayar balik wang mereka yang terjejas.

Helah Noorasimah terbongkar selepas salah seorang pemilik kenderaan, Cik Catherine Toh, menerima surat tentang kesalahan meletak kenderaan yang kononnya dilakukan pada jam lepas tengah malam pada 9 Jun 2017.

Cik Toh ketika itu berada di luar negara, dan mereka yang mempunyai akses kepada kuncinya mengatakan mereka tidak menggunakan kenderaannya.

Beliau kemudian menghubungi HDB tentang isu itu dan sementara menunggu jawapan, beliau menerima satu lagi surat bagi "kesalahan lain letak kenderaan" yang dilakukan pada 18 Jun 2017.

Cik Toh sekali lagi menghubungi HDB dan beliau dinasihati supaya membuat aduan polis.

Siasatan polis mendedahkan Noorasimah mengeluarkan saman-saman meskipun dia tidak secara fizikal berada di tempat letak kereta.

PERLU JAGA NENEK

Mahkamah diberitahu, Noorasimah tidak melakukan rondaan di tempat letak kereta yang ditugaskan kerana menurutnya, dia perlu menjaga neneknya yang sakit.

Sebagai sebahagian daripada tugasnya, Noorasimah perlu memeriksa sekurang-kurangnya 60 kenderaan di setiap tempat letak kereta, merekod jumlah kenderaan yang diperiksa dan jumlah saman yang dikeluarkan dalam satu borang akauntabiliti.

Hanya satu pegawai yang ditugaskan untuk melakukan rondaan di setiap kawasan, menurut pihak pendakwa.

Bagi menghalang majikannya, Ramky, daripada mengetahui dia sebenarnya tidak menjalankan rondaan, Noorasimah mendaftar masuk nombor-nombor pendaftaran kenderaan tanpa kupon letak kereta musiman menggunakan pengimbas Terminal Tangan Elektronik yang diberikan kepadanya setiap kali memulakan syif.

Dia merekodkan kesalahan para pemandu menggunakan butiran-butiran kenderaan yang direkod semasa melakukan rondaan-rondaan sebelumnya.

Meskipun perlu menyertakan gambar-gambar setiap kali merekod kesalahan pemandu, Noorasimah merancang untuk mengakuinya sebagai satu kesilapan.

Dia tahu sekiranya sebarang pemilik kenderaan mengemukakan rayuan terhadap saman yang dikeluarkan, HDB akan mengetepikan saman itu kerana tiada gambar diambil.

HDB BATALKAN SAMAN-SAMAN LAIN; BENARKAN RAYUAN

Noorasimah mengaku bersalah ke atas 18 dakwaan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer dan Keselamatan Siber. Lagi 36 dakwaan serupa diambil kira bagi menentukan hukuman ke atasnya.

HDB sejak itu sudah membatalkan saman-saman lain yang dikeluarkan Noorasimah. Ia juga meluluskan 13 rayuan oleh para pemilik kenderaan yang menerima saman tanpa sebab dan membatalkan notis terhadap mereka.

HDB turut merancang untuk mengambil tindakan ke atas Ramky, kemungkinan besar dengan mengenakan denda, kata Timbalan Pendakwa Raya Alfie Lim.

Pendakwa meminta Noorasimah dijatuhi hukuman penjara selama sekurang-kurangnya empat minggu, sambil berkata behawa dia menyalahgunakan hak yang diamanahkan kepadanya atas "sebab-sebab peribadi, untuk menutupi helahnya yang tidak masuk kerja".

"Terdapat beberapa pihak yang terjejas akibat tindakan tertuduh," kata Encik Lim. "Beberapa pemilik kenderaan, syarikat itu sendiri dan HDB."

"HDB paling terjejas kerana perlu meluangkan masa dalam menangani aduan-aduan daripada para pemilik kenderaan, mengetepikan saman-saman yang dikeluarkan tertuduh dan membayar balik denda yang sudah dibayar para pemilik kenderaan," tambah beliau.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan