Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai ISD imbas detik patahkan rancangan JI di S'pura 20 tahun lalu

Tidak cukup siap untuk menangani pengganas bersenjata yang bertopengkan Islam.

Anggaran Waktu Membaca:
Pegawai ISD imbas detik patahkan rancangan JI di S'pura 20 tahun lalu

Pasukan Polis Singapura dan anggota tentera di lokasi sedang pihak berkuasa melancarkan usaha memburu besar-besaran untuk mencari Mas Selamat pada 2008. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 07 Dec 2021 07:56PM Dikemas Kini : 07 Dec 2021 08:02PM

SINGAPURA: Tidak cukup siap untuk menangani pengganas bersenjata yang bertopengkan Islam.

Itulah yang dihadapi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) 20 tahun lalu ketika ia membongkar rancangan Jemaah Islamiyah (JI) hendak melakukan serangan pengganas di Singapura.

Meskipun rangkaian JI di Singapura sudah lumpuh, pegawai-pegawai ISD berkata kembalinya Taliban berkuasa di Afghanistan mungkin boleh menghidupkan semula pasukan-pasukan JI di rantau ini.

"8 Disember, Sabtu. Saya masih ingat dengan jelas. Kami fikir ia satu operasi yang jelas dan mudah yang boleh diselesaikan pada hujung minggu itu juga. Namun menjelang malamnya, kami sedar kami tersilap besar," imbas Wei Ling, bukan nama sebenar, Pegawai Penyelidikan Kanan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri.

Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) bertungkus-lumus siang dan malam untuk membongkar rangkaian yang sangat sulit.

"Siasatannya tidak mudah. Anggota-anggota JI tidak mudah (disoal siasat). Mereka mempunyai pemikiran eksklusif bahawa mereka adalah golongan terpilih. Mereka di sini untuk menjalankan misi Jihad. Ada juga hubungan keluarga antara sesetengah anggota JI," ungkap Rajah, bukan nama sebenar, Pegawai Operasi Kanan ISD.

Para pegawai perlu meneliti begitu banyak barang yang disita dari rumah-rumah mereka seperti album gambar, buku agama dan kad nama sebelum berhasil membongkar rancangan serangan mereka.

"Pertama sekali adalah cakra padat milik seorang anggota utama JI. Ia sebenarnya mengandungi cara-cara membuat bom. Kedua adalah senarai nama samaran diikuti nama betul para anggota. Ketiga, video pemantauan kedutaan-kedutaan asing di Napier Road yang akan menjadi sasaran anggota-anggota JI. Ia memaksa mereka untuk mengaku bahawa ada udang di sebalik batu dan mereka merancang sesuatu terhadap Singapura," kata Wei Ling.

ISD memberkas 15 orang pada Disember 2001 dan lagi 21 anggota lapan bulan kemudian.

Cabaran selanjutnya adalah proses membawa anggota-anggota JI itu kembali ke pangkalan jalan.

"Pada masa itu, pengganasan dalam negeri adalah sesuatu yang tidak pernah didengar. Kami menghubungi sebilangan ulama dan ustaz berwibawa dalam masyarakat. Usaha itu menghasilkan buku panduan kaunseling pertama yang mengandungi pelbagai doktrin JI dan naratif-naratif untuk menangkis doktrin-doktrin itu," ujar Faisal, bukan nama sebenar, Pegawai Operasi Kanan ISD.

Sejak dari itu, 52 tahanan dapat dipulihkan sehingga mampu kembali ke pangkuan masyarakat.

Empat tahanan, termasuk Mas Selamat, tetap menolak perubahan tetapi usaha masih diteruskan untuk memulihkan mereka. 

Sumber : CNA/ZM/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan