Images
  • state court
    (Gambar: CNA)

Pegawai CNB dituduh serang lelaki, paksanya buka mulut tentang dadah

SINGAPURA: Seorang pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) dituduh menyerang seorang lelaki untuk mendapatkan pengakuan berhubung dadah yang ditemui di dalam begnya.

Vengedesh Raj Nainar Nagarajan, 32 tahun, didakwa pada Jumaat (4 Okt) dengan tiga tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja untuk mendesak mangsa supaya membuat pengakuan.

Menurut kertas pertuduhan, kesemua tiga kesalahan berlaku pada 2 Januari 2017 di dalam tandas sebuah pejabat yang terletak dekat aras tiga bangunan Blok B CNB di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Vengedesh dituduh menyerang lelaki berkenaan, Sivabalan Kanniappan, sebanyak tiga kali antara jam 6.00 pagi hingga 9.00 pagi pada hari tersebut.

Dia dikatakan menendang, menumbuk dan menampar Sivabalan untuk mendapatkan mangsa mengaku bahawa beliau tahu akan dua bungkusan dadah yang ditemui di dalam beg pakaian hujannya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Vengedesh juga mahu Sivabalan mengaku bahawa salah satu daripada bungkusan tersebut mengandungi heroin.

Vengedesh ditawarkan ikat jamin S$15,000 dan akan kembali di mahkamah pada 1 November.

Jika didapati bersalah sengaja menyebabkan kecederaan untuk memaksa pengakuan dibuat, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda atau dikenakan sebatan rotan.

Mediacorp sudahpun menghubungi CNB untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes tersebut.  

- CNA/FZ/fz

Top