Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pegawai beruniform Royal Plaza on Scotts kini dibenar bertudung dalam bentuk serban moden

Hotel Royal Plaza on Scotts dipercayai menjadi hotel pertama di Singapura membenarkan kakitangan barisan hadapannya memakai tudung dalam bentuk serban moden, bersama uniform kerja masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Hotel Royal Plaza on Scotts dipercayai menjadi hotel pertama di Singapura membenarkan kakitangan barisan hadapannya memakai tudung dalam bentuk serban moden, bersama uniform kerja masing-masing.

Menurut hotel lima bintang itu, langkah tersebut diambil sebagai sebahagian daripada usaha menjadi lebih inklusif dan selaras dengan langkah pemerintah membenarkan tudung untuk jururawat hari ini (1 Nov).

Namun, tudung kepala yang dibenarkannya untuk kakitangan yang beruniform ialah jenis 'turban' atau 'serban moden'. Pilihan itu dicapai selepas berunding dengan para kakitangannya, khususnya yang beragama Islam.

"Kami mengadakan mesyuarat bersama mereka (kakitangan) dan kami meminta mereka memilih corak, warna yang diinginkan dan sebagainya. Hasil daripada itu sebahagian besar terpulang kepada mereka untuk memilih corak dan warna serban.

"Saya percaya inilah pertama kali sesebuah hotel melakukan ini. Tapi saya percaya ia adalah cara biasa untuk menjadi masyarakat inklusif. Saya rasa inilah cara yang terbaik," kata Pengurus Besar, Encik Patrick Fiat.

(Gambar: Royal Plaza on Scotts/Ningxi Tan)

Menurut Royal Plaza on Scotts yang mempunyai seramai 205 tenaga kerja, para kakitangan yang berminat memakai serban itu boleh membelinya sendiri terlebih dahulu mengikut warna yang bersesuaian dengan uniform masing-masing dan kemudian membuat tuntutan (claims).

BOLEH PAKAI SELUAR PANJANG & SARUNG TANGAN

Antara pegawai hotel itu yang menyambut baik langkah tersebut ialah Pengurus Perkhidmatan Tetamu, Cik Faralizah Abdul Rahman, 44 tahun.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Sudah bertudung sejak 10 tahun lalu, Cik Faralizah terpaksa membuat penyesuaian setiap kali tiba di tempat bertugas.

"Saya pakai tudung masa saya pergi ke kerja. Jadi masa pakai uniform itu saya harus buka tudung. Dan balik saya harus pakai kembali. Jadi dalam tempoh (bekerja) itu, saya rasa kurang selesa terutama sekali macam sudah biasa tutup kepala, tutup rambut semua kan," kata Cik Faralizah, yang lazimnya mula bertugas seawal 7.00 pagi.

Kini dia boleh menghela nafas lega kerana sudah tidak perlu kelam kabut bertukar-tukar pakaian.

"Saya tahu dalam bidang perhotelan memang tidak dibenarkan memakai tudung. Saya rasa bersyukur sekali kerana ini hotel yang pertama yang memberikan kami peluang ini untuk memakai tudung sewaktu bekerja terutama sekali kami yang berada di bahagian operasi," tambahnya yang sudah memiliki banyak serban dalam koleksinya sendiri dan merasakan ia adalah satu 'bonus' apabila dapat memakainya semasa bertugas.

Selain dapat menutup bahagian kepala, bahagian kakinya juga dapat ditutup apabila Royal Plaza on Scotts membenarkannya menggantikan pemakaian skirt pendek kepada seluar panjang. Sarung tangan lengan juga boleh dipakai sekiranya perlu.

Tugas Cik Faralizah termasuklah menyelia pasukan concierge seramai 19 pekerja di hotel tersebut.

"Saya selesa dengan serban ini kerana dalam tugas kita, kita banyak bergerak... Yang bagusnya mereka (hotel) membenarkan kami memakai 'turtleneck' jadi tidak terlalu terbuka.

"Saya boleh menjadi diri sendiri dan menjalankan tanggungjawab saya dengan lebih sempurna di dalam pekerjaan dan pada masa yang sama di dalam tanggungjawab pada agama," ujar Cik Faralizah yang sudah lima tahun bekerja di Royal on Scotts.

TERPULANG KEPADA HOTEL MASING-MASING

Royal Plaza on Scotts menyatakan, selain Cik Faralizah, dua pegawai beruniform lain turut menyahut kebenaran memakai penutup kepala seperti itu. Seorang merupakan pegawai di bahagian yang sama seperti Cik Faralizah manakala seorang lagi adalah kakitangan pembersih atau 'housekeeping'.

Encik Fiat yang sudah berkhidmat bersama hotel itu selama 23 tahun yakin langkah inklusif itu dapat menarik lebih banyak hotel untuk mengikut jejaknya.

"Saya percaya dan berharap dengan membolehkan kakitangan kami memakai serban, ini akan membuka banyak peluang untuk lebih banyak hotel untuk berbuat demikian," kata Encik Fiat.

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, Persatuan Hotel Singapura (SHA) yang mewakili sekitar 160 hotel menyatakan, keputusan membenarkan tudung bagi kakitangan barisan hadapan bergantung kepada hotel masing-masing mengikut standard jenama dan dandanan masing-masing.

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan