Images
  • moh amy
    Menteri Negara Kanan Kesihatan Dr Amy Khor berinteraksi dengan seorang karyawan sektor jagaan kesihatan. (Gambar: BERITAmediacorp)

PCP baru bantu tukar kerjaya kepada bidang fisioterapi

SINGAPURA: Program yang bermatlamat untuk membangunkan tenaga kerja yang kukuh di Singapura dengan menawarkan pelbagai laluan kerjaya bagi golongan pertengahan kerjaya akan terus dipertingkat.

Kementerian Kesihatan (MOH) dan Workforce Singapore (WSG) memperluaskan Program Penukaran Profesional (PCP) dengan memperkenalkan satu PCP baru dalam bidang fisioterapi.

Perkembangan terbaru ini selaras dengan strategi-strategi yang diumumkan di bawah Perancangan Perubahan Industri (ITM) bagi bidang jagaan kesihatan.

Program PCP yang baru itu akan membolehkan golongan pertengahan kerjaya yang sudah memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan sains untuk menyertai sektor jagaan kesihatan dengan lebih pantas.

Antara mereka yang memanfaatkan PCP bagi Ahli Fisioterapi ialah Cik Angela Huang yang memulakan kerjayanya sebagai seorang teknisyen perubatan.

Selepas empat tahun bekerja, Cik Huang mengambil keputusan untuk menukar kerjaya dengan menyertai PCP Jagaan Kesihatan dalam bidang Fisioterapi.

Kini, beliau berjaya menjadi seorang ahli fisioterapi di Hospital St Luke dan berharap dapat memimpin kakitangan muda pada masa akan datang.

Program baru ini turut membolehkan mereka yang sudah mempunyai ijazah sarjana muda dalam bidang sains untuk hanya menjalani kursus ijazah di Institut Teknologi Singapura (SIT) selama dua tahun lapan bulan berbanding empat tahun sebelum ini.

Para peserta juga tidak perlu bimbang dengan kos yang perlu ditanggung bagi pengajian mereka.

Ini kerana di bawah program ini, segala kos dan yuran kursus akan ditaja oleh MOH Holdings.

LEBIH RAMAI KARYAWAN JAGAAN KESIHATAN DIPERLUKAN

Menteri Negara Kanan Kesihatan Dr Amy Khor berkata: "Sektor jagaan kesihatan semakin berkembang disebabkan penduduk yang menua dan jumlah insiden penyakit kronik yang kian meningkat.

"Kami memerlukan lebih ramai karyawan jagaan kesihatan untuk memenuhi keperluan rakyat Singapura dan kerana tempohnya lebih singkat, ia juga lebih menarik bagi mereka yang ingin menukar kerjaya selain menawarkan laluan alternatif untuk mereka memasuki sektor jagaan kesihatan sebagai ahli fisioterapi."

"Saya rasa sektor ini memerlukan lebih ramai ahli fisioterapi memandangkan profil penduduk kami yang semakin menua. Kami memerlukan ahli fisioterapi bukan saja di hospital tetapi juga diperlukan untuk memberikan khidmat kepada masyarakat kami," kata Ahli Fisioterapi Kanan Hospital St Luke Cik Fahria Abdul Rahman.

Sejak 2003, hampir 1,500 karyawan tempatan sudah menukar kerjaya melalui PCP Jagaan Kesihatan.

Daripada jumlah itu, sekitar 1,200 menjadi jururawat dan bakinya pula menyertai sektor tersebut sebagai karyawan bersekutu jagaan kesihatan seperti ahli terapi. 

- BERITAmediacorp/ru

Top