Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PCF Sparkletots di Fengshan ditutup untuk sehari selepas guru dijangkiti COVID-19

Sebuah pusat prasekolah Sparkletots kendalian Yayasan Masyarakat PAP (PCF) ditutup untuk sehari pada Selasa (24 Mac) selepas seorang gurunya diuji positif bagi COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
PCF Sparkletots di Fengshan ditutup untuk sehari selepas guru dijangkiti COVID-19

Gambar fail PCF Sparkletots (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 24 Mar 2020 03:53PM Dikemas Kini : 24 Mar 2020 04:18PM

SINGAPURA: Sebuah pusat prasekolah Sparkletots kendalian Yayasan Masyarakat PAP (PCF) ditutup untuk sehari pada Selasa (24 Mac) selepas seorang gurunya diuji positif bagi COVID-19.

PCF menyatakan ia dimaklumkan oleh kementerian kesihatan pada Isnin bahawa guru itu dijangkiti virus tersebut.

Guru berkenaan, yang bertugas di prasekolah PCF Sparkletots di Fengshan Blok 126, pertama kali mengalami simptom pada Jumaat lalu (20 Mac) dan mendapatkan rawatan perubatan dengan segera, kata seorang pengarah kanan bagi bahagian pengurusan prasekolah PCF, Marini Khamis.

Cik Marini, dalam satu kenyataan berkata guru itu terakhir berada di pusat prasekolah berkenaan pada Rabu lalu selama beberapa jam sebelum beliau mengambil cuti antara Rabu dengan Jumaat.

"Guru itu mengambil cuti antara 18 dengan 20 Mac 2020, dan mengunjungi pusat itu selama beberapa jam pada 18 Mac untuk melakukan beberapa tugas yang tidak melibatkan beliau mengajar kanak-kanak," demikian menurut kenyataan itu, sambil menambah guru tersebut juga menjalani pemeriksaan kesihatan yang perlu - termasuk pengambilan suhu badan - pada hari tersebut sebelum memasuki prasekolah itu.

Kementerian Kesihatan kini sedang menjejaki mereka yang berhubungan dengan guru tersebut.

Menurut Cik Marini lagi, para ibu bapa pelajar di pusat itu dimaklumkan akan kes itu dan dinasihatkan untuk memantau dengan rapi kesihatan anak-anak mereka.

Pusat itu ditutup pada Selasa untuk "pembersihan menyeluruh dan pembasmian kuman di premis" sebagai langkah berjaga-jaga tambahan.

Namun, memandangkan kali terakhir guru itu berada di prasekolah itu adalah dua hari sebelum beliau mengalami simptom, pihak berkuasa menyatakan pusat prasekolah itu tidak perlu ditutup selama 14 hari.

"Memandangkan kali terakhir guru itu berada di pusat itu ialah dua hari sebelum beliau mengalami simptom dan beliau dalam keadaan sihat ketika berada di pusat itu, (Kementerian Kesihatan dan Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak) menilai bahawa pusat prasekolah itu tidak perlu ditutup selama 14 hari berdasarkan fakta yang sedia ada."

Cik Marini juga memberi jaminan kepada para ibu bapa bahawa semua pusat prasekolah PCF Sparkletots sedang mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu di tengah-tengah penularan COVID-19.

Ini termasuk pemeriksaan suhu badan dan kesihatan tiga kali sehari, pembersihan premis dan mencuci tangan dengan lebih kerap. Lawatan tidak penting ke pusat-pusat prasekolah itu juga digantung dan murid-murid serta kakitangan prasekolah yang mengalami simptom tidak dibenarkan masuk.

Kegiatan di pusat berkenaan dijangka diteruskan semula pada Rabu (25 Mac).

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan