Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PCF Sparkletots adakan lebih banyak kegiatan luar darjah semasa cuti sekolah

Lebih 6,000 murid prasekolah Sparkletots Yayasan Masyarakat PAP (PCF) akan belajar melalui kegiatan di luar semasa cuti sekolah tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Nov 2018 10:31PM Dikemas Kini : 05 Nov 2018 10:34PM

SINGAPURA: Lebih 6,000 murid prasekolah Sparkletots Yayasan Masyarakat PAP (PCF) akan belajar melalui kegiatan di luar semasa cuti sekolah tahun ini.

Daya usaha tersebut akan diperluas kepada semua kanak-kanak di pusat itu pada tahun-tahun berikutnya.

Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo mengumumkan inisiatif itu pada Isnin (5 Nov) di Taman Bee Amazed, di mana 60 murid prasekolah belajar tentang tingkah laku lebah menerusi permainan dan lakonan peranan.

"Program sebegini membantu memberi peluang untuk kanak-kanak menimba pengalaman dalam suasana autentik. Matlamat kami untuk kanak-kanak ini ialah supaya mereka menjadi seorang yang ekspresif, kreatif, membina keyakinan diri untuk masa hadapan," kata Pengetua Kanan PCF Sparkletots, Cik Noraini Tabiin.

Yayasan itu berharap untuk meluaskan program tersebut kepada semua 43,000 kanak-kanak di 360 prasekolah.

Tambah Cik Teo, yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PCF, kebanyakan pusat itu terletak di estet-estet perumahan.

Ia juga berdekatan dengan taman permainan dan taman masyarakat yang sekali gus menjadi ruang yang sesuai untuk pendedahan kepada pembelajaran di luar bilik darjah.

Selain kegiatan di luar bilik darjah, ada juga rancangan untuk program pembelajaran lebih berstruktur.

Antara bidang-bidang yang sedang dipertimbangkan termasuk etika bersosial, kemahiran berkomunikasi, dan IT - yang penting untuk mempersiapkan kanak-kanak prasekolah memasuki darjah satu.

Minggu lalu, Yayasan itu mengumumkan peruntukan S$20 juta untuk pembangunan profesional para pendidiknya bagi tempoh tiga tahun.

Ini bagi menyokong usaha pemerintah dalam merubah sektor pendidikan awal kanak-kanak. 

Sumber : CNA/NU/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan