Images
  • minmas
    Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

Patuhi peraturan pemutus jangkitan semasa Hari Raya, nasihat Masagos

SINGAPURA: Penting untuk orang ramai mematuhi peraturan tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 walaupun memasuki musim perayaan Aidilfitri.

Ini supaya usaha baik masyarakat sejauh ini tidak sia-sia kerana gelombang jangkitan seterusnya akan menjadi lebih sukar untuk diatasi.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata demikian semasa ditemu bual dengan stesen radio CNA 938 hari ini (22 Mei).

"Kami dinasihati para doktor, pemimpin masyarakat melalui pelbagai saluran yang mengingatkan masyarakat untuk bertahan sedikit demi golongan warga tua.

"Jadi apabila anda menziarahi ibu bapa dan datuk nenek, hadkan kepada dua pengunjung pada satu-satu masa dari rumah yang sama dan hanya satu kali sehari.

"Jadi ini adalah untuk mengimbangi antara apa yang kita perlu buat demi kesejahteraan mental warga tua dalam suasana perayaan ini tetapi pada masa yang sama melindungi mereka daripada dijangkiti," kata Menteri Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli.

Menyentuh tentang isu denggi pula, Encik Masagos juga menggesa masyarakat untuk memainkan peranan mereka bagi membasmi potensi tempat pembiakan nyamuk seperti di rumah.

Jangkitan denggi meningkat dalam tempoh tiga bulan lalu dengan jumlahnya melonjak seganda berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Singapura sedang memasuki musim kemuncak denggi dan apa yang membimbangkan adalah peningkatan jumlah kes denggi jenis 3 yang jarang berlaku.

- CNA/RU/ha

Top