Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasukan PAP pimpinan Vivian Balakrishnan akan bersaing dengan SDP di GRC Holland-Bukit Timah

Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan berentap dengan Parti Demokratik Singapura (SDP) bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Holland-Bukit Timah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Jun 2020 06:30PM Dikemas Kini : 30 Jun 2020 09:41PM

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan berentap dengan Parti Demokratik Singapura (SDP) bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Holland-Bukit Timah.

Parti pembangkang itu bagaimanapun tidak akan diketuai oleh pengerusi parti tersebut, Dr Paul Tambyah, seperti yang dijangkakan ramai sebelum ini. Sebaliknya, beliau akan bertanding di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Bukit Panjang.

Pasukan dari SDP terdiri daripada saintis politik James Gomez, karyawan perhubungan pemasaran Min Cheong, ahli perniagaan Alfred Tan dan - calon mengejut - bekas calon presiden Tan Jee Say, yang pada minggu lalu membubarkan Parti Warga Diutamakan (SingFirst) yang diterajuinya.

Mereka akan bersaing dengan anggota PAP Vivian Balakrishnan, Sim Ann, peguam Christopher De Souza dan calon baru Edward Chia yang merupakan pengasas bersama Timbre Group. Beliau menggantikan mantan Anggota Parlimen Liang Eng Hwa yang kini akan bertanding di Bukit Panjang.

Pada 2015, PAP memenangi GRC itu setelah memperolehi 66.6 peratus undi semasa menentang pasukan SDP yang dipimpin oleh setiausaha agungnya Chee Soon Juan.

SDP juga bertanding di kawasan undi itu bagi Pilihan Raya Umum 2011, diwakili oleh pasukan yang dipimpin oleh Encik Tan, yang memohon untuk menyertai semula parti tersebut pada saat-saat akhir. Beliau menulis mengenai permohonannya itu dalam catatan Facebook pada Isnin (29 Jun).

Pencalonan Encik Gomez di kawasan undi itu juga tidak dijangkakan setelah beliau memberitahu para wartawan pada Ahad bahawa beliau merupakan sebahagian daripada pasukan SDP yang akan bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee.

Dalam ucapannya selepas disahkan sebagai calon, Encik Gomez memberitahu para penduduk bahawa PAP akan "memberitahu anda supaya jangan mengambil risiko, berikan mereka sokongan padu".

"Tetapi jangan terpedaya dengan propaganda mereka, Singapura perlukan Parlimen yang rencam.. Mari kita ingatkan diri kita tentang kesilapan dan kelemahan mereka ketika menangani COVID-19," katanya, sambil menukil perubahan pada pendekatan terhadap penggunaan pelitup dan penutupan sekolah sebagai contoh.

Memberikan responsnya, Dr Balakrishnan yang juga Menteri Ehwal Luar berkata kepada para wartawan bahawa "memang mudah untuk menuding jari selepas sesuatu perkara berlaku".

"Namun jangan buat kesilapan. Kami sudah melakukan yang terbaik untuk menjaga setiap orang di Singapura," katanya, sambil menambah Pemerintah bersikap "telus" dan mematuhi nasihat pakar-pakar perubatan.

Dalam ucapannya, beliau menggesa rakyat Singapura supaya memilih pemerintah yang akan melindungi kesihatan, pekerjaan dan masa depan mereka.

GRC Holland-Bukit Timah ditubuhkan pada 2006, apabila SMC Bukit Panjang digugurkan daripada bekas GRC Holland-Bukit Panjang dan SMC Bukit Timah diserapkan ke dalam GRC itu.

Terdapat 115,012 pengundi yang layak di GRC Holland-Bukit Timah.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan