Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasukan bertindak silang agensi ditubuhkan bagi tangani keganasan keluarga

Kes-kes berkaitan keganasan keluarga naik 8 peratus kepada 2,058 kes pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kes-kes berkaitan keganasan keluarga naik 8 peratus kepada 2,058 kes pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Antara langkah baru menangani peningkatan kes berkenaan, Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menubuhkan satu pasukan bertindak yang baru.

Pasukan itu akan memperkukuh inisiatif-inisiatif sedia ada dan mengenal pasti idea-idea baru selain meneroka Skim Bantuan dan Rujukan Masyarakat atau Home Team CARES yang dirintis pada Januari tahun lalu.

Setiausaha Parlimen Kanan MHA Sun Xueling yang mendedahkan demikian berkata di bawah program Home Team CARES itu para pekerja sosial ditempatkan di Divisyen Polis Bedok. Mereka menyediakan respons pertama dan merujukkan pesalah yang memerlukan sokongan, kepada agensi-agensi khidmat sosial, kata beliau.

"Tujuannya untuk menangani isu-isu sosial yang tidak ketara yang membawa keada jenayah. Usaha perintis itu telah berjaya dan Polis sedang meninjau untuk meluaskannya ke semua divisyen lain Polis," jelas Cik Sun lagi.

Usaha rintis berkenaan akan dilaksanakan hujung tahun ini dan pasukan bertindak itu juga akan mengkaji bagaimana kerjasama sektor awam dan swasta boleh dipertingkat.

"Xueling dan saya sudah mendekati beberapa dan pelbagai lapisan masyarakat untuk berbincang tentang isu keganasan keluarga dan kita dapat lihat ramai di kalangan ahli profesional dan juga ahli masyarakat mahu memainkan peranan dalam aspek ini," kata Setiausaha Parlimen Kanan MSF dan MOE Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

Selain itu, bagi terus mencegah berlakunya keganasan keluarga, 25,000 naskhah buku bergambar akan diedarkan ke sekolah-sekolah rendah.

Buku diberi nama 'A Day With Bob' itu diharap membantu kanak-kanak mengenal pasti tanda-tanda keganasan domestik dan mendapatkan bantuan.

Buku tersebut serta pasukan bertindak baru yang ditubuhkan itu juga adalah demi memastikan bahawa usaha-usaha menangani keganasan keluarga menjadi lebih berkesan lagi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan