Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasukan bertindak PME saran bantuan tambahan, hadkan pekerja hijrahan bagi jawatan 'strategik'

Sebuah pasukan bertindak bagi golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) membentangkan sembilan saranan kepada Pemerintah, termasuk usulan untuk membezakan akses pekerja hijrahan berdasarkan pekerjaan, memperkenalkan sokongan pendapatan pengangguran dan meningkatkan keadilan di tempat kerja.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Oct 2021 02:28PM Dikemas Kini : 21 Oct 2021 09:10PM

SINGAPURA: Sebuah pasukan bertindak bagi golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) membentangkan sembilan saranan kepada Pemerintah, termasuk usulan untuk membezakan akses pekerja hijrahan berdasarkan pekerjaan, memperkenalkan sokongan pendapatan pengangguran dan meningkatkan keadilan di tempat kerja.

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dan Persekutuan Majikan Kebangsaan Singapura (SNEF) menyatakan dalam satu kenyataan media pada Rabu (20 Okt) bahawa pasukan bertindak itu turut menyarankan untuk mengukuhkan teras Singapura dengan mempertingkatkan proses menyemak permohonan Pas Pekerjaan (EP) dan memudahkan pemindahan kemahiran kepada golongan PME tempatan.

Salah satu saranan yang diusulkan adalah untuk mengurangkan akses kepada pekerja hijrahan bagi pekerjaan di mana terdapat "kepentingan strategik" untuk menggajikan lebih ramai PME tempatan.

Laporan itu juga mencadangkan satu sistem mata bagi permohonan EP yang mengambil kira sama ada majikan itu sudah menggajikan dan mengembangkan para pekerja tempatan dan memastikan terdapat pekerja dari pelbagai kerakyatan dalam sesebuah syarikat.

"Kita perlu melihat menjangkaui gaji dan kelulusan.. untuk melihat sama ada syarikat itu benar-benar memerlukan atau berdepan dengan kekangan kemahiran.

"Dan sekalipun mereka kekurangan kemahiran, apabila mereka membawa masuk golongan PME warga asing, bagaimana boleh kita pastikan pemindahan kemahiran dengan betul dan lebih tersusun dari PME warga asing ke golongan PME tempatan supaya kita dapat (membantu) mereka untuk meningkatkan kemahiran diri," kata Penolong Setiausaha Agung NTUC Patrick Tay yang juga merupakan pengerusi bersama bagi pasukan bertindak itu.

Apabila diminta mengulas lanjut, Encik Tay berkata PME yang ditinjau berpendapat rakyat Singapura seharusnya diberikan keutamaan bagi bidang-bidang termasuk pendidikan, jagaan kesihatan dan sumber manusia. Namun beliau menambah bahawa kebanyakan daripada mereka mungkin tidak sedar bahawa 90 peratus daripada pekerjaan HR di Singapura disangang oleh penduduk tempatan.

Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng, yang juga merupakan penasihat kepada pasukan bertindak PME itu, berkata bahawa dalam sesebuah sektor di mana rakyat Singapura boleh melakukan tugas itu, sebuah sistem EP "lebih menyeluruh" boleh diperkenalkan bagi bidang-bidang di mana kepakaran warga asing sangat diperlukan, kriteria itu boleh dijadikan lebih longgar.

Pasukan bertindak itu turut menyarankan bantuan pendapatan tambahan bagi mereka yang bukan menganggur secara sengaja dan menubuhkan sebuah pasukan bertindak tiga pihak untuk meneliti perkara itu.

Pasukan bertindak itu sudah menyerahkan laporan penuh mengenai kesemua sembilan saranan itu kepada Kementerian Tenaga Manusia (MOM) untuk dipertimbangkan oleh Pemerintah.

Menjawab pertanyaan media mengenai pelaksanaan saranan-saranan yang diusulkan itu, Encik Ng berkata bahawa sesetengah saranan itu boleh dilaksanakan oleh NTUC dan SNEF manakala ada juga yang merupakan tindakan tiga pihak yang memerlukan sokongan Pemerintah. Berhubung isu sokongan pengangguran, butiran mengenai dasar itu perlu diteliti oleh Pemerintah.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan