Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasukan 4G perlu 'sedikit lagi masa' tentukan siapa patut jadi PM seterusnya, kata PM Lee

Pasukan generasi keempat Singapura memerlukan 'sedikit lagi masa' untuk memilih pemimpin seterusnya. Namun keputusan itu akan dicapai sebelum pilihan raya berikutnya, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (28 Nov). 

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan 4G perlu 'sedikit lagi masa' tentukan siapa patut jadi PM seterusnya, kata PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong tiba di Kovensyen PAP 2021 bersama CEC parti pada 28 Nov 2021. (Gambar: TODAY/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 28 Nov 2021 05:03PM Dikemas Kini : 28 Nov 2021 05:05PM

SINGAPURA: Pasukan generasi keempat Singapura memerlukan 'sedikit lagi masa' untuk memilih pemimpin seterusnya. Namun keputusan itu akan dicapai sebelum pilihan raya berikutnya, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (28 Nov).

"Apabila keadaan semakin stabil, langkah menentukan siapa pengganti saya akan menjadi satu perkara penting yang tidak boleh ditangguh berpanjangan," ungkap PM Lee ketika menyampaikan ucapan kepada para aktivis parti di Pusat Konvensyen Suntec semasa Konvensyen Parti Tindakan Rakyat (PAP) 2021.

"Pasukan 4G memerlukan sedikit lagi masa untuk membuat satu keputusan. Tetapi saya yakin mereka akan menyelesaikannya sebelum Pilihan Raya Umum seterusnya diadakan."

Calon yang bakal menggantikan PM Lee, 69 tahun, menjadi tanda tanya sejak Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengundurkan diri sebagai ketua pasukan 4G PAP pada April lalu.

Encik Heng, 60 tahun, memetik usianya sebagai alasan beliau mengundurkan diri. Encik Heng berkata beliau akan mempunyai "tempoh kepimpinan yang singkat" sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri selepas pandemik.

PM Lee, Setiausaha Agung PAP, berhasrat untuk mengundurkan diri apabila beliau menginjak usia 70 tahun tetapi berkata bahawa beliau akan terus menyandang jawatan itu disebabkan pandemik COVID-19.

Selepas Pilihan Raya Umum diadakan pada 2020, Singapura perlu mengadakan undian bagi pilihan raya umum seterusnya selewatnya-lewatnya pada Ogos 2025.

PM Lee berkata ia berharap dapat mencari dalam kalangan aktivis parti "ramai individu untuk bertanding sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang."

"Kita sudahpun memperluaskan rangkaian rujukan kita dan memulakan proses pengambilan anggota. Kita ada banyak "sesi minum petang" iaitu satu petanda memberangsangkan," ujar beliau.

"Kita memerlukan pembaharuan bukan sahaja dalam kalangan AP (Anggota Parlimen) atau setiausaha cawangan tetapi juga menteri-menteri dan Perdana Menteri."

PM Lee berkata pemimpin 4G sudah menimbangkan semula isu penggantian.

"Sebelum ini mereka pernah mengatakan dan saya ulangi apa yang mereka katakan: Ia bukan tentang memilih seorang 'bos' atau 'pemenang satu perlumbaan'. Ia bukan satu rancangan realiti, ia amat serius - keputusan antara hidup dengan mati untuk rakyat Singapura.

"Ia tentang membangunkan sebuah pasukan yang teguh dan mencari dalam kalangan mereka seorang wakil - iaitu yang pertama dalam kalangan sesama anggota yang boleh menyatukan semua orang lain serta menonjolkan yang terbaik daripada setiap anggota pasukan," ujarnya.

"COVID-19 sudah menjadi satu ujian berat bagi 4G. Ia menguji keazaman mereka, baik secara individu mahupun berkumpulan."

PM Lee berkata seluruh pasukan layak "menerima pujian kerana menguruskan keadaan COVID-19".

"Ini adalah sebuah pasukan kepimpinan yang mana Singapura bergantung harap dan percaya dalam masa senang serta masa sukar." 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan