Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasukan 4G akan pilih pemimpin baru sedang PM Lee kekal sebagai Perdana Menteri

Pasukan 4G atau kepimpinan generasi keempat Singapura akan memerlukan lebih banyak masa untuk memilih seorang pemimpin lain dari kalangan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 08 Apr 2021 09:18PM Dikemas Kini : 09 Apr 2021 08:47PM

SINGAPURA: Pasukan 4G atau kepimpinan generasi keempat Singapura akan memerlukan lebih banyak masa untuk memilih seorang pemimpin lain dari kalangan mereka.

Demikian menurut pasukan itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini (8 Apr) menyusuli pengumuman Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat bahawa beliau akan mengundurkan diri sebagai ketua pasukan 4G.

DPM Heng akan melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kewangan dalam rombakan Kabinet yang akan datang, sekitar dua minggu lagi. Encik Heng juga akan kekal sebagai penolong pertama setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat (PAP), kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong di sidang media yang diadakan hari ini.

"Menangani cabaran-cabaran segera yang mendesak bagi Singapura dan memastikan bahawa Singapura bangkit lebih teguh bersama daripada krisis ini kekal menjadi keutamaan kami. Dalam keadaan sekarang ini, pasukan 4G akan memerlukan lebih masa untuk memilih seorang lagi pemimpin dalam kalangan kami," menurut pasukan 4G dalam kenyataan yang ditandatangani oleh 32 ahli politik Parti Tindakan Rakyat (PAP).

"Lantaran itu kami sudah meminta PM Lee Hsien Loong untuk kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tiba masa di mana seorang pengganti baru dipilih oleh pasukan dan bersedia mengambil alih. Kami berbesar hati kerana PM bersetuju memenuhi permintaan kami."

Pasukan itu mengeluarkan kenyataan tersebut selepas mengadakan mesyuarat bersama semua menteri dan pemegang jawatan politik yang lain, termasuk Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dan Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng.

Encik Heng, PM Lee dan lagi dua menteri kanan, Encik Teo Chee Hean dan Encik Tharman Shanmugaratnam, tidak menghadiri mesyuarat itu.

Mereka meminta sokongan dan pemahaman rakyat Singapura sedang mereka memilih seorang pemimpin lain.

"Perubahan yang tidak dijangkakan ini adalah satu kegenjotan dalam rancangan penggantian pucuk pimpinan. Kami faham bahawa rakyat Singapura berasa bimbang. Kami meminta anda sokong dan faham sedang kami memilih seorang pemimpin lain untuk pasukan ini."

Mereka menambah: "Kami akan terus bekerja sebagai sebuah pasukan untuk berkhidmat kepada rakyat dan meraih keyakinan dan kepercayaan semua rakyat Singapura."

Ketua pasukan 4G dilihat sebagai Perdana Menteri Singapura yang seterusnya dan Encik Heng dianggap sebagai pengganti PM Lee selepas beliau dilantik sebagai pilihan "pertama dalam kalangan pemimpin lain yang setaraf" oleh rakan-rakan sepasukannya pada awal 2018.

Perkembangan terbaru ini adalah petanda jelas bahawa rancangan menggantikan PM Lee sudah berubah.

Encik Heng kekal sebagai anggota pasukan 4G dan akan terus memainkan peranan sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi.

Para pemimpin 4G juga berkata Encik Heng telah memainkan peranan penting dalam menerajui inisiatif-inisiatif utama Pemerintah, termasuk membentangkan lima Belanjawan pada tahun lalu di tengah-tengah pandemik COVID-19.

"Kami semua sudah meraih manfaat daripada pengalaman dan kepakaran beliau dan kami ingin terus menerima nasihat dan melihat sumbangan berterusan beliau sedang kami melakar hala tuju Singapura ke masa hadapan," menurut kenyataan itu lagi.

Pasukan itu juga mengatakan mereka menghormati dan menerima keputusan Encik Heng untuk melepaskan kedudukan sebagai ketua pasukan 4G.

"Kami menghargai keputusan yang pasti sukar untuk dibuat. Namun tidak ada orang yang menjangkakan gangguan COVID-19, keadaan yang sangat tidak menentu akibat daripada pandemik itu dan juga kesan jangka panjangnya. Kami tahu beliau membuat keputusan demi kepentingan jangka panjang Singapura."

Kenyataan itu ditandatangani oleh Menteri Luar Vivian Balakrishnan, Menteri Pertahanan Ng Eng Hen, Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing, Menteri Perhubungan dan Penerangan S Iswaran, Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong, Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu, Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung, Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo, Menteri-Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah, Dr Mohamad Maliki Osman dan Dr Tan See Leng, serta Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong.

Ia juga termasuk Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin, Menteri Negara Kanan Heng Chee How, Chee Hong Tat, Amy Khor, Dr Janil Puthucheary, Sim Ann, Zaqy Mohamad, Dr Koh Poh Koon; dan Menteri Negara Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, Low Yen Ling, Desmond Tan, Sun Xueling, Alvin Tan, Gan Siow Huang, Tan Kiat How dan Setiausaha Agung NTUC Ng Chee Meng.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan