Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasar raya S'pura 'cukup bekalan' buah-buahan, sayur meski Pusat Borong Pasir Panjang ditutup

Para pengendali pasar raya memberi jaminan kepada para pelanggan bahawa mereka mempunyai bekalan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi selepas Pusat Borong Pasir Panjang pada Ahad (26 Sep) diumumkan akan ditutup selama tiga hari mulai petang Isnin (27 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Pasar raya S'pura 'cukup bekalan' buah-buahan, sayur meski Pusat Borong Pasir Panjang ditutup

Gambar-gambar: Facebook/NTUC FairPrice, Sheng Siong, Cold Storage Singapore)

Diterbitkan : 27 Sep 2021 01:38PM Dikemas Kini : 27 Sep 2021 01:40PM

SINGAPURA: Para pengendali pasar raya memberi jaminan kepada para pelanggan bahawa mereka mempunyai bekalan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi selepas Pusat Borong Pasir Panjang pada Ahad (26 Sep) diumumkan akan ditutup selama tiga hari mulai petang Isnin (27 Sep).

Kelompok COVID-19 dengan sebanyak 64 kes dilaporkan di pusat borong itu oleh Kementerian Kesihatan (MOH) dalam kemas kini hariannya pada Ahad malam.

Pusat borong itu yang menguruskan masing-masing sekitar 30 peratus dan 50 peratus buahan-buahan dan sayur-sayuran yang diimport ke sini akan ditutup mulai 3.00 petang hari ini sehingga 3.00 petang pada Khamis (30 Sep).

Agensi Makanan Singapura (SFA) menyatakan bahawa penutupan buat sementara waktu itu dijangka akan menyebabkan "beberapa gangguan" pada bekalan buah-buahan dan sayur-sayuran Singapura.

Dalam catatan Facebooknya, NTUC FairPrice menyatakan pada Ahad bahawa ia sedang "memantau keadaan dengan teliti" sambil menambah bahawa ia mempunyai "bekalan yang mencukupi" untuk masyarakat.

"Sumber bekalan kami yang kukuh dan pelbagai kekal tidak berubah. Bagi memenuhi permintaan yang dijangka meningkat, kami juga menambah bekalan buah-buahan dan sayur-sayuran di cawangan-cawangan kami serata negara," menurut NTUC FairPrice.

Rangkaian pasar raya itu turut mengingatkan orang ramai supaya "hanya membeli apa yang diperlukan saja".

Cold Storage Singapore dan Giant Singapore, kedua-duanya dikendalikan oleh Diary Farm Group pula memberi jaminan kepada para pelanggan bahawa penutupan Pusat Borong Pasir Panjang membawa "kesan minimum" kepadanya.

"Cawangan-cawangan kami mempunyai bekalan yang mencukupi kerana kami bekerjasama dengan pelbagai pembekal, dengan kesemua pasukan kami bekerja keras untuk memastikan bekalan yang mencukupi di semua cawangan kami," menurut kedua-dua pasar raya itu, sambil turut mengingatkan para pelanggan supaya hanya membeli apa yang diperlukan saja.

Pasar raya Sheng Siong pula menyatakan dalam satu catatan Facebook: "Kami mahu memberi jaminan kepada anda bahawa kami sedang bekerja keras untuk memastikan semua cawangan kami mempunyai bekalan yang mencukupi dengan penghantaran sayur-sayuran dan buah-buahan yang tepat pada masanya."

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan