Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasar raya Giant minta maaf, salah label produk ayam halal sebagai kulit babi

Pasar raya Giant meminta maaf pada Rabu (1 Sep) setelah satu produk ayam halal disalah label sebagai kulit babi dari Australia di salah sebuah cawangannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasar raya Giant minta maaf, salah label produk ayam halal sebagai kulit babi

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 01 Sep 2021 07:32PM Dikemas Kini : 01 Sep 2021 07:33PM

SINGAPURA: Pasar raya Giant meminta maaf pada Rabu (1 Sep) setelah satu produk ayam halal disalah label sebagai kulit babi dari Australia di salah sebuah cawangannya.

Ini setelah seorang pengguna Reddit MorteensG menulis catatan tentang kejadian itu pada Selasa (31 Ogos). Dalam catatannya, beliau berkata "jadi, sebagai seorang Muslim, ini membuat saya keliru semasa berbelanja bagi barangan dapur".

Catatan itu diiringi gambar yang menunjukkan dua bungkusan daging ayam yang ditampal label Giant "kaki ayam tidak bertulang yang halal", walaupun bungkusan itu juga ditampal label "kulit babi dari Australia".

"Kami maklum tentang salah label yang berlaku di salah satu cawangan kami dan sudah mengambil tindakan segera untuk membetulkan kesilapan itu," kata seorang jurucakap Giant sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

"Kejadian sedemikian dipandang serius dan kami telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh terhadap produk-produk di cawangan kami dan memberi taklimat kepada pasukan kami bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami kerana memaklumkan hal ini kepada kami dan memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku."

Kejadian itu bukan kali pertama sebuah rangkaian pasar raya utama tersalah label produk-produk makanan halal.

Pada 13 Ogos, NTUC FairPrice meminta maaf di laman Facebooknya setelah satu produk ayam "disalah label sebagai daging babi" di cawangannya di Paya Lebar Quarter.

Kenyataan itu dibuat sejam selepas pengguna Facebook Star Rysa Ayiid menulis catatan di kumpulan Complaint Singapore yang disertakan gambar daging ayam halal yang dilabel sebagai hirisan daging babi.

Beliau juga menggesa pelanggan Muslim yang lain supaya membaca label makanan dengan betul sebelum membeli.

"Kami memandang serius hal ini dan melaksanakan proses-proses tambahan bagi mengelak perkara serupa daripada berlaku di masa hadapan," menurut FairPrice.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan