Images
  • market chong pang haig road
    Pasar Chong Pang (kiri) dan Haig Road (Gambar-gambar:  Calvin Oh, Google Street View) 

Pasar Haig Road, Chong Pang ditutup hingga 4 Ogos setelah 35 kes COVID-19 dikesan

SINGAPURA: Singapura melaporkan 182 jangkitan tempatan COVID-19 setakat tengah hari Selasa (20 Jul), dengan 142 kes berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong.

Ini menjadikannya kelompok aktif terbesar di Singapura dengan 321 kes kesemuanya, menurut kemas kini Kementerian Kesihatan (MOH) pada sebelah malam.

Lagi 14 kes dikesan dalam kelompok KTV, menjadikan jumlah kes dalam kelompok tersebut sebanyak 207.

Antara kes baru yang diumumkan hari ini melibatkan 156 yang berhubung kait jangkitan sebelumnya, dengan 81 sudah dikuarantin manakala 75 dikesan melalui ujian pengawasan.

Baki 26 jangkitan tidak berkait dengan mana-mana kes-kes terdahulu, kata MOH.

Kes baru itu termasuk dua warga emas berusia lebih 70 tahun yang tidak menerima vaksinasi dan berisiko menghidap penyakit serius, tambah MOH.

Terdapat juga 13 jangkitan import, yang sudah dikenakan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) atau diasingkan setiba mereka di sini. Enam kes dikesan semasa tiba di Singapura, sementara tujuh lagi jatuh sakit semasa dalam tempoh SHN atau pengasingan.

Secara keseluruhan, Singapura melaporkan 195 kes COVID-19 baru pada Selasa.

Jumlah itu adalah kes harian tertinggi dicatatkan sejak 10 Julai tahun lalu apabila 191 jangkitan dikesan.

2 LAGI PASAR DITUTUP

MOH menyatakan ia telah mengesan 25 kes dalam kalangan mereka yang bekerja atau telah pergi ke Pasar & Pusat Makanan Haig Road serta 10 kes di Pasar Chong Pang.

Kes jangkitan itu dikesan sebagai sebahagian daripada siasatan MOH ke atas kes yang melibatkan pasar dan pusat makanan yang kemungkinan terkena jangkitan daripada penjual ikan yang mengunjungi Pelabuhan Perikanan Jurong.

Untuk memutuskan rantaian jangkitan dan membolehkan kerja-kerja pembersihan menyeluruh, pasar Haig Road dan Chong Pang akan ditutup selama dua minggu, dari 21 Julai hingga 4 Ogos.

MOH sebelum ini mengumumkan bahawa Pasar & Pusat Makanan Chong Boon ditutup dari 18 Julai hingga 1 Ogos.

Semua individu yang bekerja di pasar dan pusat makanan berkenaan sebelum ini sudahpun dikuarantin dan diuji.

Untuk mengesan sebarang kes jangkitan masyarakat, MOH menyatakan ia juga akan menawarkan ujian percuma COVID-19 kepada orang ramai yang telah telah pergi ke Pasar & Pusat Makanan Chong Boon antara 3 hingga 17 Julai.

Setakat Selasa, Pasar & Pusat Makanan Chong Boon, Pasar Chong Pang, Pasar & Pusat Makanan Haig Road dan Pasar & Pusat Makanan Hong Lim disenaraikan sebagai kelompok berkaitan dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong.

Pasar yang mempunyai tiga atau lebih kes yang berkait kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong adalah 448 Pasar & Pusat Makanan Clementi, 726 Pasar Basah West Coast dan Pasar Basah Whampoa.

Terdapat sebanyak 28 pasar atau pusat penjaja dengan kurang tiga kes dikaitkan dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong. Antaranya adalah Pusat Makanan Amoy Street, Pasar Geylang Bahru dan Pusat Tekka.

KELOMPOK KTV

MOH menambah bahawa siasatan epidemiologi telah mendapati kemungkinan ada penularan berterusan di Club MX yang terletak di 401 MacPherson Road.

Semua pengunjung ke premis terbabit dinasihatkan agar memantau kesihatan mereka dengan rapi dan mengurangkan pergaulan sosial sebaik mungkin.

"Kami juga menasihatkan semua pengunjung ke pasar dan pusat makanan agar mengelakkan keadaan sesak di pasar dan berbelanja pada luar waktu sibuk, atau di pasar raya, dan patuhi langkah-langkah pengurusan selamat," kata MOH.

2 LAGI KELOMPOK DITUTUP

Kini terdapat 26 kelompok aktif di Singapura, dengan setiap satu mempunyai antara tiga hingga 321 jangkitan.

MOH menyatakan oleh kerana tiada lagi kes yang berkaitan dengan kelompok Kes 64233 dan 90 Redhill Close selama dua tempoh pemeraman lalu, kelompok-kelompok itu ditutup.


(Sumber: MOH)

Dalam pada itu, MOH menyatakan jumlah kes baru dalam masyarakat meningkat kepada 643 kes pada minggu lalu dari 37 kes pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes yang tidak berhubung kait dalam masyarakat juga meningkat kepada 68 kes pada minggu lalu berbanding 10 kes pada minggu sebelumnya,” tambah MOH.

Sebanyak 332 pesakit dirawat di hospital, dengan kebanyakannya dalam keadaan baik dan sedang dipantau.

Terdapat lima kes penyakit serius yang memerlukan bantuan oksigen tambahan, dan satu dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi. Tidak seorang pun daripada mereka sudah menerima vaksinasi lengkap.

“Ada bukti yang terus menunjukkan bahawa vaksinasi membantu mencegah penyakit serius jikalau seseorang dijangkiti. Selama 28 hari lalu, 10 kes tempatan memerlukan bantuan oksigen tambahan, dimasukkan ke ICU atau meninggal dunia. Tujuh daripadanya tidak divaksinasi, tiga lagi baru mendapatkan sebahagian vaksin dan tidak ada menerima vaksinasi penuh,” tambah Kementerian Kesihatan.

Sehingga Selasa, Singapura melaporkan sejumlah 63,440 kes COVID-19.

LAPORAN BERKAITAN:

- CNA/TQ/tq

Top