Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasar Chong Pang, Whampoa Drive dibuka semula minggu ini

Lagi dua pasar yang ditutup bagi membendung penularan kes COVID-19 yang berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/Pusat Penjaja dan Pasar Hong Lim akan dibuka semula pada minggu ini, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Rabu (4 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Pasar Chong Pang, Whampoa Drive dibuka semula minggu ini

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 04 Aug 2021 10:15PM Dikemas Kini : 04 Aug 2021 10:17PM

SINGAPURA: Lagi dua pasar yang ditutup bagi membendung penularan kes COVID-19 yang berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong/Pusat Penjaja dan Pasar Hong Lim akan dibuka semula pada minggu ini, menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Rabu (4 Ogos).

Pasar Chong Pang akan dibuka semula pada Khamis (5 Ogos) manakala Pasar Whampoa Drive akan dibuka semula pada Jumaat (6 Ogos). Kedua-dua pasar itu masing-masing ditutup sejak 21 Julai dan 22 Julai.

Kerja-kerja pembersihan menyeluruh dan pembasmian kuman selesai dijalankan di kedua-dua pasar tersebut. Menurut NEA, rejim pembersihan itu termasuk membersihkan permukaan menggunakan kain dan mesin penyembur, mencuci lantai, longkang dan tandas serta menuang cecair pembasmi kuman ke dalam perangkap lantai dan besen cuci.

Kedua-dua pasar itu digugurkan daripada senarai kelompok Kementerian Kesihatan (MOH) yang berhubung kait dengan kelompok Pelabuhan Perikanan Jurong pada Isnin (2 Ogos).

Mereka yang bekerja di pasar-pasar itu akan diuji bagi COVID-19 dengan kerap dan hanya kemasukan melalui SafeEntry TraceTogether dibenarkan ke premis itu, menurut NEA dalam satu catatan Facebook pada Rabu.

"Sebagai sebahagian daripada langkah-langkah pengurusan selamat yang dipertingkat di pasar dan pusat penjaja, kesemua pegerai dan pembantu gerai perlu menjalani ujian rutin berjadual selama 14 hari," menurut agensi itu.

"Kemasukan wajib menggunakan SafeEntry TraceTogether juga akan dilaksanakan apabila pusat-pusat itu dibuka semula, bagi memudahkan usaha pengesanan kontak."

Operasi di kedua-dua pasar itu disambung semula setelah Pelabuhan Perikanan Jurong, Pusat Penjaja dan Pasar Hong LIm, Pusat Penjaja dan Pasar Chong Boon dibuka semula pada Selasa (3 Ogos).

Pusat Penjaja dan Pasar Haig Road, Pusat Penjaja dan Pasar 448 Clementi serta Pusat Penjaja dan Pasar Boon Lay Place dijangka dibuka semula sebaik sahaja kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan.

Orang ramai boleh mengunjungi laman NEA untuk memeriksa jika sesebuah pusat penjaja atau pasar sudah dibuka semula.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan