Images
  • bukit merah view market
    (Petikan skrin: Google Street View)

Pasar Bukit Merah View, kedai roti di Takashimaya dikunjungi kes COVID-19 semasa tempoh berjangkit

SINGAPURA: Sebuah kedai roti di gedung serbaneka Takashimaya serta Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View ditambah ke dalam senarai tempat-tempat awam yang dikunjungi kes COVID-19 semasa mereka dalam tempoh berjangkit.

Dalam kemas kini sebelah malamnya mengenai keadaan koronavirus di Singapura pada Khamis (10 Jun), Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pesakit yang berjangkit telah mengunjungi tempat berikut:

  • Kedai roti St Leaven di aras dua besmen Takashimaya dari 27 hingga 31 Mei, antara 6.45 pagi hingga 5.00 petang serta dari 3 hingga 6 Jun, antara 6.45 pagi hingga 5.00 petang
  • Kelab Masyarakat Woodlands Galaxy pada 31 Mei antara 6.35 petang hingga 7.20 malam
  • Pasar dan Pusat Penjaja 115 Bukit Merah View dari 6 hingga 9 Jun antara 6.00 pagi hingga 2.00 petang

MOH menyatakan pada Khamis bahawa seorang lelaki Singapura berusia 74 tahun yang bekerja di sebuah kedai runcit di Pasar dan Pusat Penjaja Bukit Merah View adalah antara dua kes COVID-19 dalam masyarakat yang tidak berhubung kait.

Seorang pembuat roti berusia 40 tahun di St Leaven disahkan dijangkiti COVID-19 pada 9 Jun.

Menurut MOH, pihaknya sudah memaklumkan mereka yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kes-kes yang disahkan.

"Sebagai langkah berjaga-jaga, mereka yang berada di tempat-tempat itu pada masa yang disenaraikan harus memantau kesihatan mereka dengan teliti selama dua minggu dari tarikh kunjungan mereka," tambah MOH.

"Mereka harus segera berjumpa doktor jika mereka mengalami gejala jangkitan pernafasan akut (seperti batuk, sakit tekak dan selesema) serta demam dan hilang deria rasa atau bau dan memberitahu doktor mengenai sejarah pendedahan mereka kepada virus tersebut."

MOH menambah orang ramai juga boleh mengakses khidmat periksa sendiri padanan lokasi SafeEntry menerusi aplikasi TraceTogether, SingPass Mobile atau melalui lelaman https://wereyouthere.safeentry.gov.sg untuk memeriksa sama ada mereka berada di tempat-tempat tersebut pada waktu yang tertera, berdasarkan rekod SafeEntry mereka sendiri.

Orang ramai tidak perlu menjauhi tempat-tempat yang dikunjungi kes COVID-19, tambah kementerian itu.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan memberi panduan kepada pihak pengurusan premis-premis yang terjejas mengenai kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman.

Pada Khamis, MOH melaporkan 13 kes baru COVID-19 dengan empat daripadanya merupakan jangkitan dalam masyarakat. Baki sembilan adalah kes import.

- TODAY/FZ/tq

Top