Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga akan dibimbing Naib Kadi sebelum bernikah

Bermula 1 Julai 2019, pasangan Muslim yang akan mendirikan rumah tangga perlu berjumpa Naib Kadi dahulu bagi persediaan memahami makna sebenar perkahwinan sebelum bernikah.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga akan dibimbing Naib Kadi sebelum bernikah

Gambar fail Naib Kadi. (Gambar: Ummu Rabbisyfina)

SINGAPURA: Bermula 1 Julai 2019, pasangan Muslim yang akan mendirikan rumah tangga perlu berjumpa Naib Kadi dahulu bagi persediaan memahami makna sebenar perkahwinan sebelum bernikah.

Dipanggil “Bersamamu” usaha di bawah Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) yang disokong oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga berserta rangkaian M³ - MUIS, MESRA, dan MENDAKI. Ia bertujuan memberi sokongan menyeluruh kepada pasangan Muslim sebelum dan selepas mereka berumah tangga.

Usaha yang diterajui oleh sekumpulan Naib Kadi itu dirasmikan oleh Setiausaha Parlimen Kanan MSF dan MOE Dr Faishal Ibrahim.

MENGAPA PERLU BERTEMU NAIB KADI SEBELUM BERNIKAH?

Menurut Ustaz Pasuni Maulan sekitar 1,600 pasangan bercerai setiap tahun. Menyedari pentingnya perkahwinan yang kukuh, beliau dan sekumpulan Naib Kadi di bawah Project Champions terdorong untuk membangunkan usaha menangani cabaran ini.

Maka itu, salah satu caranya adalah dengan melakarkan usaha pertemuan ini bagi memberikan pasangan platform untuk mendapatkan nasihat dan bimbingan secara peribadi sebelum dan sesudah mereka bernikah.

Lebih dari itu sesi pertemuan itu turut membantu pasangan mendapatkan maklumat selain meningkatkan kesedaran mengenai perkahwinan dan keibu-bapaan selain program-program dan khidmat sedia ada lain.

"Pertemuan ini juga akan memberi peluang bagi pasangan dan naib kadi untuk mengenali antara satu sama lain dan pada masa yang sama terjalin satu hubungan yang membolehkan Naib Kadi membantu dan memberi sokongan kepada pasangan sebelum dan sesudah bernikah," kata Dr Faishal.

Bersetuju dengan pendapat Dr Faishal, salah seorang Naib Kadi, Ustaz Zahid Zain berkata sesi mendampingi itu juga boleh memberikan peluang kepada pasangan untuk menujukan permasalahan mereka.

"Kami rasakan selain dari menikahkan setiap satu pasangan, untuk mendampingi mereka selama dua tahun ini juga akan mendatangkan manfaat yang besar, kerana mereka boleh datang kepada kami merujukkan permasalah-permasalahan yang mereka ada dan kami akan berada bersama mereka untuk membimbing mereka sebagai rumah tangga yang baru," kongsi Ustaz Zahid.

NAIB KADI BIMBING PASANGAN SELAMA 2 TAHUN

Untuk memastikan mahligai yang dibina itu kekal utuh, Naib Kadi akan berada di sisi pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga selama dua tahun.

"Sepanjang dua tahun itu, Naib Kadi akan menghubungi pasangan-pasangan secara tetap. Saya difahamkan bahawa bagaimana Naib Kadi dan pasangan ingin saling berhubungan bergantung kepada keselesaan masing-masing. Ia mungkin dilakukan dengan menggunakan teknologi dan media sosial," tambah Dr Faishal.  

Pihak kami difahamkan setakat ini, puluhan masjid di Singapura juga sudah memberikan sokongan mereka untuk menyediakan ruang-ruang masjid bagi sesi pertemuan antara Naib Kadi dan pasangan.

PROSES YANG AKAN DILALUI PASANGAN

Selepas menghadiri sesi pertemuan bersama Naib Kadi, para pasangan boleh melanjutkan dengan temujanji bersama ROMM bagi mengesahkan dokumen-dokumen.

Menurut ROMM proses permohonan perkahwinan yang disemak akan dimuatnaikkan ke laman ROMM.

PASANGAN SAMBUT BAIK USAHA 'BERSAMAMU'

Salah seorang pasangan yang menyambut baik usaha Bersamamu ialah Encik Mohammad Haziq Azman dan pasangannya, Cik Hannah Lim, yang akan bernikah pada 31 Ogos ini.

Sejak sebulan lalu, bakal mempelai tersebut sudah menjalani sesi pertemuan bersama Naib Kadi yang dipilih mereka.

Bagi Encik Azman, sesi tersebut membantunya mengetahui dengan lebih mendalam tentang persiapan rumahtangga dari perspektif sebagai seorang suami atau isteri.

"Kita memang terlalu fokus banyak tentang nak bersiap majlis perkahwinan kan tapi ustaz dapat membuka mata apa akan terjadi sebelum, kita akan fokus lebih pada rumah tangga daripada majlis," kongsi Encik Azman. 

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan