Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan warga China dihukum penjara; halang pengesanan kontak COVID-19 di S'pura

Seorang lelaki dari Wuhan dan isterinya dijatuhi hukuman hampir dua tahun sejak diuji positif COVID-19 selepas tiba di Singapura dan tidak mendedahkan maklumat sepenuhnya kepada pegawai pengesanan kontak.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan warga China dihukum penjara; halang pengesanan kontak COVID-19 di S'pura

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 24 Nov 2021 11:44AM Dikemas Kini : 24 Nov 2021 11:46AM

SINGAPURA: Seorang lelaki dari Wuhan dan isterinya dijatuhi hukuman hampir dua tahun sejak diuji positif COVID-19 selepas tiba di Singapura dan tidak mendedahkan maklumat sepenuhnya kepada pegawai pengesanan kontak.

Warga China, Hu Jun 40 tahun, dihukum penjara lima bulan pada Rabu (24 Nov) manakala isterinya, Shi Sha, 38 tahun dihukum penjara enam bulan.

Pasangan itu mencabar tuduhan-tuduhan yang dikenakan terhadap mereka berdua dan mereka didapati bersalah di akhir sesi perbicaraan pada bulan lalu.

Pihak pendakwa mengusulkan hukuman penjara selama lima bulan bagi Hu dan lapan bulan bagi Shi, manakala pihak pembela memohon denda S$10,000 bagi Hu dan S$20,000 bagi Shi.

Hu didapati bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit kerana dengan sengaja tidak mendedahkan butiran tentang keberadaan dan aktivitinya kepada para pegawai pengesan kontak.

Isterinya disabit dengan empat tuduhan tidak menyerahkan maklumat, memberi keterangan palsu dan gagal menjawab sepenuhnya dan secara jujur kepada seorang pegawai kesihatan.

Hu diuji positif COVID-19 pada Januari tahun lalu, sembilan hari selepas tiba di Singapura dari Wuhan untuk menyambut Tahun Baru Cina bersama keluarganya di sini. Bandar tersebut ketika itu merupakan tapak penularan koronavirus.

Hu tidak memberitahu pegawai kesihatan berkenaan bahawa dia mengunjungi beberapa tempat ketika berjangkit, termasuk ke beberapa hotel, sebuah restoran dan Kedutaan China.

Pasangan itu yang mendapatkan khidmat tiga peguam bela sepanjang perbicaraan tersebut bertegas bahawa ia adalah masalah komunikasi dan mereka tidak berbohong dengan sengaja atau cuba merahsiakan maklumat.

Dalam rayuannya, Hu berkata dia tidak mendedahkan maklumat tertentu kepada para pegawai kesihatan kerana dia sama ada tidak tahu mereka mahukan maklumat itu, tidak ingat nama tempat yang dikunjungi atau tidak mempunyai cukup masa untuk menjawab.

Hu memberi keterangan bahawa dia berasa "seram sejuk" dan menggunakan beberapa selimut ketika berada di dalam wad, namun kemudian memberitahu pihak pendakwa semasa disoal siasat bahawa dia mungkin setakat mengalami selesema.

"Sehingga ke hari ini, saya tidak begitu pasti sama ada saya adalah kes positif COVID-19," katanya, sambil mendakwa tiada sesiapa yang memberitahunya hal itu semasa dia berada di hospital.

Isterinya Shi pula memberi keterangan tentang pengalamannya yang dilaluinya dan mula berasa bimbang setelah mengesyaki suaminya dijangkiti COVID-19.

Menurut wanita itu, dia menangis di hospital dan berasa seperti tiada sesiapa pun yang dapat memahami permintaannya dan mendapati sukar untuk berkomunikasi dengan pegawai pengesan kontak.

Menurutnya juga, dia yakin bahawa Bahasa Mandarin bukan bahasa ibunda pegawai wanita itu dan komunikasi antara mereka berdua seperti ayam dengan itik.

Dalam keterangannya, dia juga berasa seolah-olah semua orang di seluruh dunia memarahinya dan suaminya setelah menonton berita dan mengeluh tidak dapat berjumpa dengan saudara-mara mereka selama hampir dua tahun.

Dalam responsnya, pihak pendakwa merujuk kepada keterangan yang "membuktikan terdapat pakatan sulit antara kedua-dua tertuduh", dan dengan jelas menunjukkan bahawa mereka sudah berpakat mengenai apa yang harus dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan bagi melindungi privasi masing-masing.

Bagi setiap tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit, Hu dan Shi boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan