Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan terlibat dalam kes tipu pelacur dijel

Pasangan muda yang bersubahat dengan seorang remaja Malaysia untuk merompak wang milik para pelacur, dijatuhi hukuman penjara hari ini (22 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan terlibat dalam kes tipu pelacur dijel

(Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 22 Jan 2019 08:09PM Dikemas Kini : 22 Jan 2019 08:17PM

SINGAPURA: Pasangan muda yang bersubahat dengan seorang remaja Malaysia untuk merompak wang milik para pelacur, dijatuhi hukuman penjara hari ini (22 Jan).

Chow Chia Suan, 23 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun, sementara teman lelakinya, Benjamin Yong Dun Zheng, juga berusia 23 tahun, dikenakan hukuman penjara tiga tahun setengah dan 12 sebatan.

Mahkamah diberitahu pasangan itu berkomplot pada Ogos 2017 dengan Mendel See Li Quan, 18 tahun, yang mula mengenali Chow melalui seorang kenalan, untuk mencuri wang milik para pelacur asing.

Mereka memutuskan untuk menghubungi para pelacur yang mengiklankan khidmat mereka secara online, sebelum menawarkan jumlah wang yang besar bagi khidmat di salah satu rumah lelaki berkenaan.

Di sana, mereka akan mencuri daripada wanita-wanita tersebut ketika mereka berada dalam bilik air. Antara komplot dijalankan termasuk berpura-pura menjadi seorang "pelanggan" yang terkejut apabila diserang dua rakan subahat yang berlakon sebagai "pemiutang" yang menuntut wang mereka dikembalikan.

Ketiga-tiganya bersetuju untuk membahagikan hasil curian mereka.

ROMPAK PELACUR CHINA

Ketiga-tiganya melakukan jenayah itu sebulan selepas merancangnya. Seorang pelacur China berusia 27 tahun menjadi sasaran mereka. Mangsa bekerja sebagai ahli terapi kecantikan di Singapura pada masa itu, dan mengiklankan khidmat urut dan seksnya di laman Locanto, pada harga S$170 bagi setiap sesi.

Tiga rakan itu menghubungi mangsa lalu menawarkan S$350 bagi setiap sesi di tempat tinggal See. Tawaran itu seganda lebih tinggi daripada harga yang ditetapkan bagi khidmatnya.

Mangsa menerima tawaran itu dan bertemu See di rumahnya, di mana dia berjanji akan membayar mangsa S$1,500 jika beliau menemaninya sepanjang hari.

Selepas melakukan seks, mangsa ke bilik air, dan See mencuri wang tunai bernilai S$670 dari begnya, lalu menyerahkan wang itu kepada Chow dan Yong.

See kemudian memandu pelacur itu ke Upper Thomson kerana kononnya ingin membeli makanan. Namun, dia meninggalkan wanita itu di sana. Mangsa selepas itu menyedari beliau dirompak.

Tiga penjenayah muda itu mengulangi perbuatan mereka sebulan kemudian.

See menemui satu lagi iklan di Locanto oleh seorang wanita Singapura berusia 53 tahun yang menawarkan khidmat urut dan seks di rumah pelanggannya. Wanita berkenaan juga membantu pelanggannya untuk mendapatkan khidmat pelacur lain.

Wanita tersebut meminta seorang pelacur Filipina ke rumah See tetapi wanita berkenaan tidak datang.

BATANG BESI, PISAU PEMOTONG DAGING DILAYANGKAN DEPAN MANGSA 53 TAHUN

Marah, See memutuskan untuk membalas dendam terhadap wanita berusia 53 tahun itu. Dia menggunakan telefon Chow untuk menghubunginya, lalu menawarkan S$900 supaya beliau sendiri mengambil tawaran itu.

Dia mengaturkan wanita tersebut supaya bertemu di rumah Yong, di mana Yong menyambutnya sebagai sebahagian daripada rancangan mereka. Chow dan See bersembunyi di tempat lain dalam unit sama.

Sebaik sahaja wanita berkenaan tiba di rumah itu, See muncul, lalu mengayun-ayunkan sebatang besi dan berpura-pura menjadi seorang pemiutang yang menuntut wang tunai daripada Yong.

Dia kemudian menyerahkan batang besi itu kepada Chow, yang lantas mengacukan senjata itu kepada mangsa. See pula mengeluarkan sebilah pisau pemotong daging.

Wanita itu ketakutan dan merayu kepada mereka supaya melepaskannya, tetapi mereka memintanya membayar "hutang" Yong.

Semasa insiden itu, See meragut beg mangsa dan menyerahkannya kepada Chow, yang mengambil wang tunai bernilai S$100, dua telefon bimbit bernilai S$650 keseluruhannya dan sebungkus rokok.

Wanita yang begitu takut itu merayu supaya dibenarkan pulang, tetapi See berkata beliau terdahulu perlu menanggalkan pakaiannya. See selepas itu menyuruh dua rakan subahatnya supaya meninggalkan bilik itu.

See membebaskan mangsa kurang 30 minit kemudian. Wanita tersebut kemudian membuat aduan polis.

Tiga rakan itu membelanjakan wang yang dicuri untuk membeli makanan, bermain di sebuah kedai internet dan membayar tambang pengangkutan awam, sebelum diberkas pada keesokan harinya.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan