Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan muda Muslim bawah umur kurang bercerai, berkahwin

Satu trend positif dikesan dalam landskap perkahwinan dan perceraian bagi pasangan muda Muslim bawah 25 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu trend positif dikesan dalam landskap perkahwinan dan perceraian bagi pasangan muda Muslim bawah 25 tahun.

Jumlah mereka yang bercerai di bawah kategori tersebut merosot, sementara bilangan penikahan bawah umur turut berkurangan.

BERITAmediacorp bertemu dengan beberapa pakar untuk mengupas sebab di sebalik peralihan ini.

PERNIKAHAN PASANGAN MUSLIM BAWAH 20 TAHUN MEROSOT

10 tahun lalu apabila kadar perkahwinan dan perceraian dalam kalangan Muslim bawah umur meningkat dengan banyak, ia menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Trend itu mendorong pelbagai agensi pemerintah dan badan-badan Melayu/Islam seperti Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan AMP untuk bekerjasama melakarkan pelbagai program persiapan dan bimbingan rumahtangga bagi pasangan muda.

Kini - 10 tahun kemudian - masyarakat boleh berasa lega.

Ini kerana laporan tahunan Jabatan Perangkaan, yang dikeluarkan baru-baru ini, menunjukkan trend positif bagi perkahwinan dan perceraian pasangan Muslim di bawah usia 25 tahun.

Kadar mereka yang berkahwin di bawah 20 tahun mencatat kemerosotan besar - susut 5 peratusan mata sejak sedekad lalu - dari 7 peratus pada 2008 kepada 2 peratus pada tahun lalu. 

Trend yang sama juga dilihat pada kadar perceraian dalam kalangan Muslim berumur 25 tahun ke bawah.

Bilangannya merosot sebanyak 9 peratusan mata dalam tempoh 10 tahun - dari 16 peratus pada tahun 2008, kepada 6 peratus pada tahun lalu.

IBU BAPA FAKTOR UTAMA

Satu faktor yang menyumbang kepada perkembangan positif itu ialah keberkesanan program perkahwinan yang dilakar untuk pasangan-pasangan Muslim.

Selain itu, pakar-pakar yang kami temui juga berpendapat, campur tangan yang lebih aktif termasuk daripada ibu bapa kepada pasangan muda, merupakan satu lagi faktor utama yang menyumbang kepada trend positif ini.

"Ibu bapa mereka juga yang sentiasa bersatu padu memberikan mereka sokongan kepada anak-anak muda ini kerana mereka tahu bahawa anak-anak ini masih muda masih mentah, mereka tidak punya banyak pengalaman dan perlu banyak bimbingan, banyak sokongan dan bantuan," kata Kaunselor Kanan APKIM, Murni Abbas.

Lantaran itu, dalam usaha meningkatkan pelibatan ibu bapa, Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) dipinda tahun lalu yang mana ia mewajibkan pasangan bawah 21 tahun mendapatkan persetujuan kedua-dua orang tua sebelum mendaftarkan pernikahan.

Malah, ibu bapa juga digalak menyertai sesi perundingan dan bengkel pendidikan rumah tangga.

PELIBATAN IBU BAPA TINGGALKAN KESAN

Dari pengalaman Cik Murni sendiri, keberkesanan program tersebut jelas memberikan impak terhadap perkahwinan bawah umur.

"Ibu bapa yang datang kaunseling mendapat kesedaran bahawa mungkin anak-anak belum bersedia, mungkin pasangan pun bersedia daripada banyaklah perkara emosi, kewangan, dan sebagainya.

"Kursus untuk ibu bapa mereka, menunjukkan bahawa mereka ini betul betul terbuka untuk belajar, mak bapak walaupun sibuk, walaupun penat, mereka tetap hadiri bengkel, dan mereka bersedia untuk belajar, 'macam mana nak nasihatkan anak-anak muda ini mungkin dia sensitif'."

Perkembangan yang sama juga dilihat oleh PPIS.

"Kami juga menggalakkan ibu bapa untuk mengikuti program kami di mana kami dapat membincangkan dengan lebih mendalam di mana bagaimana mereka boleh menyokong pasangan itu.

"Pelibatan ibu bapa itu penting kerana mereka ialah bimbingan yang kuat kepada pasangan," kongsi Cik Kamariah Yusoff seorang Pengurus Pusat PPIS.

Yang pasti memang bukan satu kesalahan untuk mendirikan rumahtangga pada usia yang muda. Namun persediaan awal perlu dilakukan agar perceraiaan dapat dielakkan.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan