Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan muda digalak dapatkan bantuan pertingkat diri bagi menyusuri alam rumah tangga

Pasangan muda digalak untuk tampil ke hadapan mendapatkan bantuan dalam menyusuri alam rumah tangga.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pasangan muda digalak untuk tampil ke hadapan mendapatkan bantuan dalam menyusuri alam rumah tangga.

Mentelah lagi, cabaran pasangan muda agak berbeza daripada pasangan-pasangan zaman sebelum ini, kata seorang pakar terapi dan Naib Kadi di Sidang Diari Tok Kadi 2020 yang diadakan Jumaat (17 Jan).

Di sidang itu beberapa topik dan persoalan menarik dibincangkan antaranya mengapa kaum Adam dan Hawa membuat keputusan untuk bernikah dan bagaimanakah trend masyarakat global sekarang membawa cabaran terhadap institusi keluarga?

Edisi kelima Sidang Diari Tok Kadi tahun ini yang dianjurkan Forum Belia Islam (MYF) turut dihadiri Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong yang sama-sama memberikan nasihat peribadi beliau kepada para peserta yang hadir.

Semasa memberikan ucaptamanya, Encik Wong menyentuh tentang trend pemikiran dan sikap masa kini yang menimbulkan cabaran kepada perkahwinan di merata dunia.

"Pertama, kita berada di zaman orang-orang menganggap diri mereka memiliki hak. Di mana-mana, manusia meningkat usia dengan pemikiran bahawa mereka istimewa dan mereka yang terbaik. Kedua, masyarakat global juga kini tinggal pada zaman yang mereka mahukan jawapan dengan segera," kongsinya.

Perkongsian itu turut mendapat sokongan salah seorang anggota panel, Cik Maimunah Mosli, yang merasakan bahawa cabaran sebegitu membuat anak muda sukar untuk membincangkan isu-isu perkahwinan yang sepatutnya dibincangkan dengan selamat seperti isu mertua dan keintiman.

"Bagi pasangan yang ingin melindungi rumah tangga mereka, salah satu aspek yang perlu kita adakan bagi mereka ialah ruang. Ruang untuk mereka berasa selamat untuk membincangkan perkara-perkara yang sedemikian kerana perkara-perkara yang mereka membincangkan sangat peribadi tetapi perkara yang peribadi dibincangkan adalah sebenarnya perkara awam." kata Cik Maimunah, Ketua Terapi Keluarga PPIS.

Lantaran itu, anak muda diajak untuk tampil ke hadapan mendapatkan bantuan supaya dapat mengukuhkan lagi keupayaan mereka dalam menangani isu-isu perkahwinan mereka.

Pasangan muda juga boleh menjangka untuk mendapatkan bantuan daripada golongan kadi yang peranan mereka akan berubah pada masa akan datang.

Seorang Naib Kadi Ustaz Aiman Khalid berkata: "Pada masa akan datang, saya menjangkakan bahawa akan ada lebih banyak hubungan interaksi antara pengantin dengan Tok Kadi itu sendiri yang mana Tok Kadi sekarang bukan hanya berperanan untuk menghulurkan tangan untuk salam waktu nikah saja tetapi mereka perlu memimpin pasangan tersebut supaya mereka ini mendapat bimbingan pada masa akan datang yang mana ada masalah ataupun isu yang timbul dalam pernikahan mereka."

Lebih 550 orang menghadiri sidang ini yang diadakan di Auditorium Shine.

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan