Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan ini tawar Mee Rebus 50¢, Nasi Padang $1 bantu golongan memerlukan

Ini bukan sekadar gimik atau semata-mata untuk mendapat publisiti. Di Pasar Tiong Bahru, ada sebuah gerai kecil yang dibuka sepasang suami isteri yang begitu murah hati.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Ini bukan sekadar gimik atau semata-mata untuk mendapat publisiti. Di Pasar Tiong Bahru, ada sebuah gerai kecil yang dibuka sepasang suami isteri yang begitu murah hati.

Mereka menawarkan hidangan makanan pada kos rendah kepada sesiapa sahaja yang memerlukan - serendah S$0.50 bagi semangkuk mee rebus dan S$1.00 bagi sepinggan nasi padang.

Mereka yang miskin, kurang upaya, sudah lanjut usia ataupun mungkin bernasib malang, boleh membeli jualan mereka pada harga rendah itu. Dan pasangan itu tidak 'lokek'.

BERITAmediacorp ke Pasar Tiong Bahru untuk bertemu empat mata dengan pasangan yang menjalankan usaha murni ini. Berikut kisah mereka.

LIHAT NASIB WARGA EMAS SELEPAS BUKA GERAI

Dibuang kerja tahun lalu, Cik Shah Hida Anuar memutuskan untuk membuka gerai di Pasar Tiong Bahru bersama suaminya. Disangka sebuah estet mewah, beliau terkilan melihat ternyata ramai yang kurang bernasib baik di kawasan itu.

"Ada yang saya temui tinggal di rumah besar, tidak dibebani hutang. Tetapi mereka sudah tidak lagi bekerja. Mereka tidak mempunyai banyak wang. Mereka asset rich cash poor (kaya aset, miskin wang)," ujar wanita berusia 39 tahun itu yang lebih mesra disapa sebagai Cik Shah.

Bahkan, ada juga pelanggan yang akan ke gerai 'Satin Satay' yang dibuka pada November 2018 untuk bertanya-tanya harga makanan tetapi hanya menatap hidangan atas kaunter gerai dan tidak membeli.

Ada yang sanggup tunggu sehingga kedai hampir tutup untuk mengambil sisa jualan mereka.

Pasangan itu sering kali tidak sampai hati melihat nasib golongan sedemikian dan ingin menawarkan makanan percuma. Hakikatnya, perniagaan mereka tidak dapat bertahan jika niat mereka itu diteruskan.

GUNA MEDIA SOSIAL KUMPUL DANA

Maka itulah, Cik Shah dan suaminya, Encik Zulkifli Abdul Halim, mencari jalan untuk membantu. Mereka berkongsi pengalaman mereka di media sosial dan mula mengumpul dana menerusi laman GIVE.asia.

Sejauh ini, lebih S$6,500 terkumpul bagi kempen dipanggil Projek Bad Day Meal ini. Dana yang terkumpul digunakan untuk menyediakan makanan kepada mereka yang kurang bernasib baik.

ORANG MISKIN PUN ADA HARGA DIRI

Ditanya BERITAmediacorp mengapa mereka memutuskan untuk mengenakan bayaran 50 sen atau sedolar bagi pelanggan yang memerlukan, ini penjelasan Encik Zulkifli:

"Saya pernah ditegur rakan saya semasa menolak untuk mengambil tisu yang dijual warga emas di pusat-pusat penjaja. Auntie itu mendesak supaya saya mengambil tisu yang dijual kerana saya sudah membayarnya."

Inilah yang membuat beliau menyedari bahawa mereka yang kurang bernasib baik juga mempunyai harga diri dan mereka ingin menikmati titik peluh mereka sendiri.

"Jadi, saya tidak ingin meragut kuasa membeli (purchasing power) mereka. Mereka ingin membayar, jadi saya ambil wang mereka. Mereka pun tidak rasa cenggong," jelas Encik Zulkifli lagi.

Menariknya, hidangan murah itu juga ditawarkan kepada mereka yang mungkin mengalami hari kurang baik.

Pernah ada pemuda dalam lingkungan usia 40 tahun yang menganggur dan berasa tertekan kerana bimbang akan kewangan keluarga.

"Dia terpaksa memandu teksi. Dan saya faham, ia tidak mudah bagi mereka yang dibuang kerja. Saya beritahu kepadanya tentang hidangan murah kami," cerita Encik Zulkifli.

"Tetapi dengan satu syarat, dia harus menceritakan apa yang membebani fikirannya. Saya ingin mendengar kisahnya dan ini akan saya kongsi kepada mereka yang menderma menerusi media sosial. Mereka yang menderma pun berhak tahu," tambah beliau.

SAMBUTAN AMAT BAIK, INGIN PERLUAS INISIATIF

Dalam tempoh dua bulan sahaja, lebih S$1,200 daripada dana terkumpul sudah digunakan. Ini bermakna, pasangan itu sudah 'menjual' lebih 1,200 hidangan 50 sen atau sedolar.

Ramai juga terus-menerus menghubungi mereka menerusi media sosial untuk menyalurkan sumbangan.

"Saya ingin memperluaskan inisiatif ini. Ada juga mak cik, pak cik dari kawasan lain yang datang ke gerai kami untuk mendapatkan hidangan 50 sen atau sedolar. Ada sejauh Pasir Ris," kata Cik Shah.

Ditanya pula bagaimana beliau merancang untuk memperluaskan inisiatif Bad Day Meal ini, Cik Shah berkata beliau ingin membuka lebih banyak gerai pada masa akan datang. Jika tidak, beliau akan mengajak rakan-rakan penjaja yang lain, untuk mengambil pendekatan sama di bawah projek tersebut.

"Ramai yang sumbang, jadi ada banyak makanan murah untuk sesiapa sahaja. Saya ingin orang ramai tahu, saya ada di sini untuk membantu," tambah Cik Shah.

Buat masa ini, Cik Shah dan suaminya masih mengalu-alukan sumbangan orang ramai. Mereka yang ingin menyumbang boleh melakukan sedemikian menerusi laman GIVE.asia.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan