Images
  • foster parent 1
    Encik Bashir, 70 tahun, dan Cik Jumiati, 62 tahun, kongsi pengalaman jaga anak titipan istimewa. (Gambar: BERITAmediacorp)

Pasangan ini pilih curah kasih sayang kepada anak titipan istimewa pada usia senja

SINGAPURA: Usia Encik Bashir Aziz kini sudah mencecah 70 tahun. Ke mana sahaja beliau pergi, akan ada seorang budak lelaki yang selalu di sisinya. Bukan cucu, itulah anak yang beliau dan isteri bela selama 11 tahun.

Alfian (bukan nama sebenar) merupakan anak titipan pasangan lanjut usia itu. Dia dijaga Encik Bashir dan Cik Jumiati Sapari, 62 tahun, sejak masih bayi lagi. Pasangan tersebut ingin mencari seseorang yang dapat mengisi kekosongan setelah dua anak mereka dewasa dan mula berdikari.

Seperkara yang manis tentang pengalaman mereka membesarkan seorang anak titipan adalah, mereka tidak menjangkakan akan menjaga seorang anak istimewa.


Alfian disahkan mengalami kondisi dipanggil Global Developmental Delay - sejenis masalah pembangunan kognitif - tidak lama selepas Encik Bashir dan Cik Jumiati memutuskan untuk menjaganya sebagai seorang anak titipan.

BIMBINGAN, KASIH SAYANG JADIKAN ANAK ISTIMEWA CEMERLANG

Sekelip mata, mereka seolah-olah menjadi 'ibu bapa baru' kerana perlu menumpukan perhatian khusus kepada bayi yang masih kecil ketika itu. Mereka juga tidak mempunyai pengalaman menjaga seorang anak istimewa.


"Apa-apa perkara yang kami suruh Alfian buat, harus diulang-ulang. Kami kena banyak bersabar. Kami selalu fikirkan budak ini istimewa. Dia tidak minta dilahirkan begitu. Jadi kita yang sempurna, tolong dia sedaya mungkin walaupun sudah lanjut usia," kata Encik Bashir.

Kanak-kanak atau orang muda berusia bawah 18 tahun, lazimnya diletakkan di bawah jagaan keluarga titipan atas sebab seperti dianiaya atau diabaikan.

Berkat ketabahan dan keikhlasan pasangan itu, Alfian kini tidak sahaja menunjukkan prestasi dalam bidang akademik tetapi juga menjadi peran contoh kerana menonjolkan nilai-nilai terpuji di sekolah.

Hari ini (16 Nov), pencapaian Alfian turut diraikan di Hari Keluarga Titipan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

"Mula-mula agak susah juga. Anak yang istimewa memerlukan lebih perhatian. (Tetapi) saya tak pernah menyesal, saya bersyukur dapat menjaga anak ini dengan sempurna sehingga hari ini," cerita Cik Jumiati.


Alfian masih memerlukan banyak perhatian dan bimbingan disebabkan kondisinya. Misalnya, Alfian memerlukan lebih masa untuk memakai butang berbanding kanak-kanak lain. Namun, kata-kata budak berusia 11 tahun itu sering kali membuat Cik Jumiati tersentuh.

"Setiap kali saya bantu Alfian, dia cakap 'Terima Kasih Mama. Kalau saya saji makanan pun dia cakap 'Terima Kasih Mama'."

SOKONGAN PEMERINTAH BAGI IBU BAPA TITIPAN

Seperti kisah pasangan itu, Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim akur bahawa menjadi ibu bapa kepada seorang anak titipan tidak selalunya mudah.

Namun, beliau memberi jaminan, pemerintah akan terus menyokong keluarga titipan bagi membangunkan masyarakat titipan lebih kukuh di Singapura.

Ini termasuk pindaan terhadap Akta Kanak-kanak dan Orang Muda - yang antara lain membolehkan mereka mengambil cuti untuk menjaga anak titipan, sama seperti ibu bapa lain.


Beliau berkata demikian di hadapan lebih 270 anggota keluarga titipan yang menyertai acara tahunan MSF hari ini (16 Nov).

Pindaan yang disebutkan Dr Faishal akan dilaksanakan pada suku pertama tahun depan - yang mana lebih banyak maklumat lanjut akan diumumkan.

Buat julung-julung kalinya juga, 11 rakan korporat dan masyarakat menyertai Hari Keluarga Titipan MSF dan menerima penghargaan kerana sama-sama menyokong keluarga titipan dengan menyediakan sokongan sosio-emosi, selain memperkaya pembelajaran anak-anak ini.


Mereka adalah: Civil Service Club, EtonHouse Community Fund Limited, Heartware Network, Kolej Alice & Peter Tan, Yayasan Octava, School of Concepts, The Bettr Group, The Hongkong and Shanghai Banking Corporation Limited, The Red Pencil (Singapore), The RICE Company Limited dan Uncle Ringo Trading Pte Ltd.

Sehingga Jun lalu, terdapat sekitar 1,150 kanak-kanak dan orang muda diletakkan di bawah jagaan keluarga titipan atau khidmat jagaan di rumah.   

- BERITAmediacorp/aq

Top