Images
  • malay couple
    Pasangan ini sambut sesiapa sahaja untuk mendapatkan barang keperluan dari koridor rumah mereka. (Gambar: Rara Slmtzx/Facebook)

Pasangan ini jadikan koridor rumah sebagai tempat orang susah angkut barang percuma

SINGAPURA: Sesetengah orang mungkin akan berasa kurang selesa sekiranya ada yang tidak dikenali lalu-lalang depan rumah.

Namun bagi pasangan Cik Fitri Azura dan Encik Safwan Syazwan, mereka sama sekali tidak keberatan jika golongan susah datang ke depan pintu rumah mereka di Woodlands semata-mata untuk mendapatkan barang keperluan harian.

Sejak minggu lalu, koridor mereka diubah menjadi sebuah 'gerai' - ada pakaian, barang-barang dapur, beg, mainan dan buku untuk kanak-kanak. Terdapat juga lampin untuk golongan dewasa.


(Gambar-gambar: Rara Slmtzx/Facebook)

Semua barang itu tersusun rapi di meja serta rak-rak yang dipasang dan mereka yang kurang bernasib baik boleh mengambil apa sahaja yang tersedia secara percuma - tanpa sebarang syarat!

"Borong, jangan tak borong ya. Jangan malu-malu. Boleh bawa beg/plastik sendiri dan 'self service' ya," tulis Cik Fitri menerusi catatan yang dimuat naik ke laman Facebook untuk menguar-uarkan projek yang beliau namakan 'Blessing Booth' ini.

Barangan tersedia itu merupakan sumbangan daripada keluarga Cik Fitri dan juga beberapa penderma lain.

PASANGAN INI SENDIRI DUDUK RUMAH SEWA

Inisiatif yang dijalankan Cik Fitri dan suaminya sebenarnya sudah menarik perhatian ramai pada hujung minggu lalu. Catatan Facebook yang dimuat naik pada Ahad (12 Sep) sahaja sudah dikongsi lebih 960 kali setakat artikel ini diterbitkan.


Namun tidak ramai yang tahu mengapa pasangan ini membuka 'Blessing Booth' itu di depan pintu rumah mereka.

"Semasa saya dalam kesusahan, saya meminta bantuan menerusi satu kumpulan Facebook untuk mendapatkan lampin dan susu. Individu-individu yang tidak dikenali tampil untuk membelikan keperluan anak-anak saya. Ada yang hulur wang dan belikan barang-barang dapur. Saya tersentuh dengan kebaikan mereka," cerita Cik Fitri kepada BERITAmediacorp.

"Saya berjanji dengan diri sendiri yang saya akan melakukan perkara sama untuk mereka yang memerlukan. Tapi sebagai seorang suri rumah, bagaimana saya dapat membantu sedangkan saya tidak mempunyai pendapatan? Lantaran itu saya buka 'blessing booth' ini."


Cik Fitri dan suami sebenarnya tinggal di flat sewa. Dari rumah sewa itulah projek amal ini digerakkan.

"Tinggal di rumah sewa HDB ini bermakna ia suatu 'bonus' juga (untuk jiran-jiran) kerana para penduduk yang tinggal di sini kebanyakannya adalah mereka yang berpendapatan rendah, warga emas atau ibu/bapa tunggal," tambah Cik Fitri kepada BERITAmediacorp.

Suri rumah itu kini berharap keluarga lain yang tinggal di rumah sewa juga dapat diberi peluang untuk menjalankan inisiatif serupa.

"Ada keluarga yang nak datang ambil barang keperluan tidak dapat datang ke rumah saya kerana ada halangan seperti tidak ada duit untuk naik pengangkutan. Harap-harap usaha ini akan mencetus idea dalam kalangan penduduk rumah sewa lain. Saya rasa mereka nak lakukan sama tetapi mungkin ada kerisauan masing-masing," terang Cik Fitri.

Ditanya jika jiran-jirannya ada meluahkan rasa kurang senang apabila barang-barang diletak di sepanjang koridor, Cik Fitri berkata sejauh ini tiada yang membuat aduan. Ada dalam kalangan mereka malah sudah mengambil barang-barang dari 'gerainya'.  

"JANGAN HANYA UCAP TERIMA KASIH KEPADA SAYA"

Walaupun baru beberapa hari menjalankan inisiatif ini, sambutan bagi 'gerai' Cik Fitri dan Encik Safwan ternyata sangat menggalakkan. Ada kalanya rak baju mereka licin - hampir semua baju terpakai diambil.

Menariknya, orang awam juga terus-menerus tampil untuk turut menyumbangkan barang-barang yang masih boleh digunakan.


"Kami terpaksa meluaskan tempat ambil barang percuma ke ruang depan lif kerana kami tidak mahu menyumbat semua barang-barang di sebelah unit kami," kata Cik Fitri.

Pada Isnin (14 Sep), ibu dua anak itu malah terpaksa merayu kepada orang ramai supaya berhenti menderma baju buat seketika waktu.

"Alhamdullilah ramai yang ingin derma baju tetapi saya juga memerlukan barang lain seperti barang-barang dapur, keperluan rumah, mainan, lampin, susu bayi. Jika saya terima sumbangan pakaian orang ramai, saya tidak mempunyai ruang yang cukup untuk pakaian-pakaian itu. Jadi tunggu dulu. Beri saya masa untuk mendapatkan tempat simpan besar," kata Cik Fitri.

Beliau kini sedang mencari relawan untuk membantunya meneruskan usaha ini.


"Jangan hanya ucap terima kasih kepada saya. Ucapkan terima kasih juga kepada mereka yang mengambil masa dan tenaga untuk datang ke rumah saya untuk meletakkan barang-barang yang ingin disumbang di gerai. Tanpa mereka, projek ini tidak akan berjalan lancar," tambah Cik Fitri.

MOHON PENDERMA TIDAK TINGGALKAN BARANG DI KORIDOR

Hakikatnya, inisiatif seperti ini sukar untuk dijalankan sendiri. Seperti keluarga lain, pasangan ini juga mempunyai komitmen kerja dan rumah tangga, seperti mengasuh dua anak mereka yang masih kecil. Untuk menyusun barang-barang di 'gerai' itu sahaja, Cik Fitri hanya dapat melakukannya selepas beliau menidurkan anak-anaknya. 

Maka itu, mereka yang ingin menderma diharap terdahulu dapat menghubungi Cik Fitri dan tidak sekadar meninggalkan barang yang ingin didermakan di koridor mereka. Koridornya menjadi tidak terurus apabila terlalu banyak barang ditinggalkan di luar rumahnya pada satu-satu masa. 


Cik Fitri turut memberitahu BERITAmediacorp, buat masa ini beliau sudah tidak mempunyai tempat sama sekali untuk menyusun semua sumbangan orang ramai. 

Mereka yang terdahulu menghubunginya terpaksa diletakkan dalam senarai menunggu sebelum mereka dibolehkan menghantar barang-barang ke rumahnya. 


Inisiatif sebegini tumbuh bak cendawan selepas hujan kebelakangan ini.

Awal tahun ini, sebuah keluarga di Tampines juga menjalankan inisiatif yang agak sama. Sesiapa sahaja boleh mengambil barang-barang dapur dari ruang tepi pintu masuk flat keluarga itu.

Ada juga di Woodlands dan Pasir Ris yang menyediakan snek dan makanan ringan di depan pintu rumah khusus buat para penghantar makanan.  

- BERITAmediacorp/aq

Top