Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan ibu dan anak saudara antara pemenang Anugerah Merit Jururawat 2019

Seramai 101 jururawat menerima Anugerah Merit Jururawat 2019 (NMA) anjuran Kementerian Kesihatan (MOH) dalam sebuah majlis penganugerahan di Hotel Concorde hari ini (17 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 101 jururawat menerima Anugerah Merit Jururawat 2019 (NMA) anjuran Kementerian Kesihatan (MOH) dalam sebuah majlis penganugerahan di Hotel Concorde hari ini (17 Jul).

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Gan Kim Yong, bagi mengiktiraf prestasi cemerlang dan sumbangan para jururawat dalam bidang itu.

Bagi sebuah keluarga, ia merupakan satu detik yang membanggakan apabila dua ahli keluarga menerima anugerah itu sekaligus.

BERITAMediacorp bertemu dengan dua pemenang itu yang nampaknya 'sehati sejiwa dan sekerjaya'.

IBU SAUDARA INSPIRASI NORAZLIN MENJADI JURURAWAT

Selaku seorang jururawat pembedahan unit jagaan rapi (ICU), antara tugas harian Cik Norazlin Esa adalah untuk menyediakan peralatan pembedahan dan menghantar katil pesakit ke bilik pembedahan.

Cik Norazlin mula tertarik kepada bidang kejururawatan lebih 30 tahun lalu. Beliau berusia belasan tahun pada waktu itu dan tersentuh setelah melihat bagaimana ibu saudaranya, Saptah Ahmad, menjaga arwah ibunya yang sakit.

"Saya melihat bagaimana dia tukarkan lampin, bagaimana dia berikan waktu itu arwah ibu saya tidak boleh makan dan minum, semua hanya menerusi tiub. Dari situ makcik saya mengajar saya bagaimana nak beri makanan melalui hidung.

"Dari situ saya fikir, kalaulah saya diberi peluang untuk menjadi seorang jururawat InsyaAllah saya akan melaksanakan tugas saya untuk ahli keluarga atau sesiapa yang perlukan," kongsi Cik Norazlin, seorang Ketua Jururawat Berdaftar di Hospital Kebangsaan Singapura (NUH).

SAPTAH AHMAD SEORANG JURURAWAT HAMPIR 40 TAHUN

Ibu saudara beliau, Saptah Ahmad, juga antara 101 jururawat yang mendapat anugerah itu tahun ini.

Beliau telah bekerja sebagai seorang jururawat selama hampir 40 tahun dan kini memegang jawatan sebagai pembantu jururawat klinisian dan pengurus jagaan di Poliklinik Jurong.

Tugasnya memerlukan beliau membantu para pesakit yang menghidap penyakit-penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis dan membantu mereka untuk mengawal penyakit itu. Bagi Cik Saptah sendiri, minat untuk menjadi seorang jururawat bercambah setelah mengikuti Pasukan Palang Merah dan St John di sekolah menengah.

"Dari sana ada macam-macam aktiviti mengunjungi rumah orang-orang tua, dan untuk anak-anak yatim. Dari situ timbul minat saya kerana saya rasa itu satu pekerjaan yang baik yang saya nak teruskan kalau saya bekerja nanti," kata Cik Saptah.

Malah, beliau juga berasa gembira melihat anak saudaranya mengikut jejak langkah beliau memasuki bidang yang sama.

"Saya tengok Norazlin baguslah pasal dia punya orang lemah lembut jadi saya ingat dia boleh jadi yang terbaik. Jadi saya pun gembira bila dia menjadi jururawat. Saya dapat melihat dia semakin matang dan berkembang dengan baik," kata Cik Saptah sambil menahan sebak.

Kedua-dua Cik Norazlin dan Cik Saptah merupakan jururawat di bawah Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).

20 JURURAWAT MELAYU/ISLAM DALAM SENARAI PEMENANG

Kesemuanya, 20 jururawat Melayu/Islam adalah antara 101 jururawat yang menerima Anugerah Merit Jururawat 2019 (NMA) itu.

Selain Cik Norazlin Esa dan Cik Saptah Ahmad, antara 20 jururawat Melayu/Islam yang diiktiraf sebagai cemerlang ialah Cik Kalsom Saptu dan Cik Sarinah Mohamad.

Bagi Cik Kalsom, beliau mempunyai 24 tahun pengalaman bertugas sebagai jururawat, termasuk bertugas di wad pembedahan dan perubatan di Hospital Besar Singapura (SGH).

Minat beliau membantu masyarakat mendorongnya memimpin sekumpulan jururawat untuk menubuhkan enam Pos Jururawat Masyarakat di kawasan Telok Blangah pada Februari tahun lalu.

Cik Kalsom juga menjalankan program pencegahan jatuh di Telok Blangah dan Radin Mas yang memanfaatkan lebih 200 penduduk.

Cik Sarinah pula merupakan Ketua Pembantu Jururawat di Hospital Tan Tock Seng dan mula bekerja di hospital itu pada 1993 di wad geriatrik atau penjagaan orang-orang tua.

Beliau merupakan sebahagian daripada kumpulan jururawat pertama yang akan mengikuti kursus Pentadbiran Ubat bagi Jururawat Berdaftar di ITE Kolej Timur tahun ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan