Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan dipenjara kerana jual barangan tiruan berjenama online, buang produk apabila polis serbu

Sepasang suami isteri yang mendapat keuntungan sehingga S$70,000 dengan menjual barangan tiruan berjenama dari China kepada para pengguna di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan dipenjara kerana jual barangan tiruan berjenama online, buang produk apabila polis serbu

Contoh senarai jualan beg Longchamp di Qoo10.

Diterbitkan : 08 Feb 2021 03:17PM Dikemas Kini : 08 Feb 2021 03:18PM

SINGAPURA: Sepasang suami isteri yang mendapat keuntungan sehingga S$70,000 dengan menjual barangan tiruan berjenama dari China kepada para pengguna di Singapura, dan didapati membuang barangan tiruan itu ke dalam corong sampah apabila polis datang untuk melakukan serbuan, dikenakan hukuman penjara pada Isnin (8 Feb).

Li Shun, seorang rakyat China dan penduduk tetap Singapura berusia 29 tahun, dikenakan hukuman penjara selama 11 minggu atas tiga tuduhan termasuk bersubahat menghalang proses keadilan dengan menyuruh isterinya membuang barang-barang berkenaan dan mengimport dan memiliki barangan tiruan berjenama untuk dijual. Enam lagi tuduhan diambil kira dalam mengenakan hukuman.

Isterinya, Lim Seow Seow, 35 tahun dikenakan hukuman penjara selama 25 hari atas tuduhan serupa. Li dibenarkan menjalani hukuman pada 15 Feb selepas Tahun Baru Cina manakala isterinya yang sedang hamil, akan menjalani hukuman penjara pada 13 April.

Pasangan itu menjual barang-barang sah di pasaran online Qoo10, dengan Li menggunakan butiran isterinya untuk membuka perniagaan selepas dia mendapat status penduduk tetap Singapura.

Sekitar dua tahun kemudian, Li mula menjual barangan tiruan berjenama dari para pembekal di Guangzhou, China dan perniagaannya semakin maju. Dia kemudian meluaskan perniagaannya dengan menjual produk-produk tiruan jagaan kulit pada Jun 2019, dan isterinya membantu untuk membuat tempahan produk dan menjejaki penghantaran.

Mereka menjual barangan tiruan yang diiklankan sebagai barangan berjenama dari Longchamp, Adidas dan Kipling serta produk-produk jagaan kulit kononnya dari Lancome dan Estee Lauder.

Antara 2015 dengan Oktober 2019, pasangan itu meraih keuntungan sekitar S$60,000 hingga S$70,000 daripada menjual barangan tiruan atau sekitar S$4,000 hingga S$5,000 sebulan.

Kastam Singapura memaklumkan kepada polis mengenai import barangan yang disyaki tiruan dari China, dan polis telah ke flat pasangan itu pada pagi 16 Oktober 2019.

Oleh kerana dia tidak mengenali siapa yang berada di depan pintu, Lim memanggil suaminya yang menyuruhnya untuk tidak membuka pintu namun sebaliknya membuang barangan yang dimiliki ke dalam corong sampah.

Lim membuka pintu hanya bila suaminya sudah pulang ke rumah dan kedua-duanya kemudian mengaku bahawa Lim sudah membuang kesemua barangan itu. Polis menemui 20 beg tiruan apabila mereka menyelongkar sampah, serta empat botol produk tiruan penjagaan kulit yang disimpan dalam beg kiriman pos dengan tertera alamat para pembeli.

Satu lagi serbuan menemukan 42 lagi beg tiruan berjenama seperti Marc Jacobs dan Longchamp di sebuah gudang di lapangan terbang, lebih 50 beg di dalam kereta mereka dan hampir 30 beg di sebuah kemudahan penyimpanan.

Hakim mengambil perhatian terdapat kesemuanya 128 barangan tiruan berkaitan semua tuduhan, namun turut mengambil kira bahawa pampasan sudah dibuat.

Hukuman bagi kesalahan menghalang proses keadilan adalah hukuman penjara maksimum selama tujuh tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. Hukuman serupa dikenakan bagi individu yang bersubahat dalam kesalahan sedemikian.

Bagi kesalahan memiliki atau mengimport barangan tiruan untuk dijual, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, didenda sehingga S$100,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan