Images
  • drugs cnb
    (Gambar: CNB)

Pasangan bapa, anak antara 109 pesalah dadah ditahan dalam serbuan

SINGAPURA: Seramai 109 suspek pesalah dadah ditahan dalam serbuan merata negara yang dijalankan Biro Narkotik Pusat (CNB) yang berakhir pada Jumaat (12 Jul).

Pelbagai jenis dadah bernilai sekitar S$32,000 dirampas, termasuk bahan psikoaktif baru, Ice, heroin, ketamine dan pil Ecstasy serta sejumlah kecil ganja.

Dua suspek yang ditahan adalah sepasang bapa dan anak lelaki, masing-masing berusia 41 tahun dan 20 tahun. Mereka ditangkap dengan dua wanita lain di sebuah rumah di Woodlands Rise.

Para pegawai memecah masuk ke dalam unit rumah tersebut selepas empat individu tersebut enggan membuka pintu. Sejumlah kecil heroin, Ice dan ketamine ditemui di tempat itu.

Dalam satu lagi serbuan, para pegawai CNB memberkas seorang lelaki warga Singapura berusia 40 tahun dan seorang wanita asing 27 tahun di sebuah hotel murah di Lorong 22 Geylang.

Para pegawai menemui dadah jenis Ice, ketamine, lebih 370 pil Ecstasy dan hampir 100 pil Erimin-5 dalam bilik itu.

WARGA MALAYSIA DITAHAN CUBA SOGOK PEGAWAI

Seorang suspek salah guna dadah yang cuba menyogok seorang pegawai CNB juga diberkas di Pusat Pemeriksaan Woodlands pada Rabu.

Warga Malaysia itu tiba di Singapura dengan menaiki bas dan dirujuk ke CNB bagi siasatan selepas satu pemeriksaan rutin.

Apabila dibawa ke pejabat biro di pusat pemeriksaan itu, lelaki tersebut menawarkan RM50 (S$16.50) kepada pegawai yang membawanya untuk menjalani ujian air kencing. Pegawai tersebut menolak rasuah itu dan melaporkan percubaan itu kepada penyelianya.

Kes tersebut dirujuk kepada CPIB untuk siasatan lanjut.

Pengarah CNB Ng Ser Song memuji pegawai terlibat dan pasukannya, sebagai peran contoh "nilai yang dijunjung biro iaitu profesionalisme dan kejujuran serta tiada tolak ansur terhadap rasuah".

"Sebarang percubaan untuk memberi rasuah kepada para pegawai kami akan ditolak dan dilaporkan," kata beliau.

- CNA/TQ/tq

Top