Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasangan asatizah ini sambut kelahiran anak dalam teksi di BKE

Pasangan ini menyambut bayi mereka sehari sebelum Ramadan... dalam sebuah teksi! 'Grand entrance' (kemunculan hebat) si bayi disambut oleh tangan bapanya sendiri dalam teksi itu semasa kenderaan itu bergerak dari BKE ke Hospital Universiti Nasional (NUH).

Anggaran Waktu Membaca:
Pasangan asatizah ini sambut kelahiran anak dalam teksi di BKE

Pasangan ini sambut kelahiran bayi dalam teksi. (Gambar: Ustaz Helmi menerusi Instagram & 8world)

SINGAPURA: Menyambut kelahiran cahaya mata sahaja sudah cukup menggembirakan.

Namun bayangkan. Pasangan ini menyambut bayi mereka sehari sebelum Ramadan... dalam sebuah teksi! 'Grand entrance' (kemunculan hebat) si bayi disambut oleh tangan bapanya sendiri dalam teksi semasa kenderaan itu bergerak dari BKE ke Hospital Universiti Nasional (NUH).

Tempat lahir dalam surat beranak si bayi nanti akan ditulis: "Motor Vehicle" (Kenderaan Bermotor) dan "BKE" (Ekspreswe Bukit Timah).

Jarang-jarang kita dengar kisah seperti ini tetapi itulah yang benar-benar dilalui pasangan asatizah bernama Ustaz Ahmad Helmi Mohamad Hasbi dan Ustazah Tan Nurul Hafidzah Abdul Hadi pada 12 April 2021, 6.20 pagi.

Pengalaman manis ini mereka kongsi kepada umum dengan cara cukup lucu, santai dan menghiburkan menerusi Instagram dengan harapan dapat menyebar keceriaan sempena bulan penuh berkah ini.

"Sebagai seorang Muslimin, kami percaya Ramadan adalah bulan penuh rahmat. Kami menganggap kelahiran buah hati kami sebagai satu keberkahan untuk kami sekeluarga pada bulan Ramadan," kata Ustaz Helmi.

(Gambar: Ustaz Helmi & isteri menerusi 8world)

BEGINI KISAHNYA...

Menurut Ustaz Helmi menerusi akaun Instagramnya, @ahmadcupin, isteri beliau mula mengalami tanda-tanda awal hendak bersalin pada dinihari Isnin (12 Apr). Mereka bagaimanapun tidak tergopoh-gapah ke hospital untuk menyambut kelahiran anak ketiga mereka itu.

Ustaz Helmi bahkan terlena pada jam 3.00 pagi sehinggalah beliau dikejutkan sang isteri pada 5.30 pagi.

"Dia memberitahu saya bahawa rasa sakitnya semakin teruk tetapi dia tetap tenang. Tiada tanda panik dan dia mengajak saya ke hospital selepas solat subuh," cerita Ustaz Helmi.

Ustazah Hafidzah seterusnya membersihkan diri. 15 minit kemudian, Ustaz Helmi yang masih separuh lelap, terdengar si isteri memanggilnya dari bilik air pula.

"Dia menyuruh saya cepat-cepat solat subuh. Kali ini suaranya 'menggigil'. Dalam keadaan keliru, saya ingat dia berasa sejuk selepas mandi," tambah beliau.

(Gambar: Ustaz Helmi & isteri menerusi 8world)

Selesai sahaja berwudhu, Ustazah Hafidzah dilihat kesakitan di sisi katil tetapi suaminya tetap disuruh solat dahulu. Mereka segera meninggalkan rumah selepas itu, pada sekitar jam 6.05 pagi.

PEMANDU TEKSI TENANG WALAU ISTERI MENGERANG KESAKITAN

"Apabila kami di bawah (kolong blok), kami melihat teksi yang ditempah sudahpun sampai. Encik Leo Siew Tiew (pemandu teksi) berada di luar teksi dan melakukan senaman ringan. Sebaik sahaja kami mendekati teksinya, Encik Leo melihat isteri saya. Beliau seolah-olah bergegas ke dalam teksi untuk segera bergerak," kata Ustaz Helmi. 

Di dalam teksi, Ustazah Hafidzah mula mengerang kesakitan tetapi Encik Leo tetap tenang dan tidak berkata apa-apa. Beliau sebaliknya cuba memandu secepat mungkin. Ustaz Helmi pula mula mengira jarak masa kontraksi isterinya menggunakan sebuah aplikasi mudah alih.

"Selepas tiga kontraksi je, saya meletak telefon bimbit itu dan berkata kepada diri sendiri: "Ok ni dah 'very serious' (sangat serius)... Sudah peringkat akhir sebelum bersalin," ujarnya.

Ustaz Helmi memegang tangan isterinya lalu berkali-kali membaca surah Al-Fatihah tetapi dalam fikirannya, beliau sebenarnya tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Sedang teksi melalui BKE, Ustazah Hafidzah tiba-tiba bangun dan berkata "sudah tiba masanya".

Si suami pun secara spontan berkata kepada Encik Leo: "Uncle, you just keep driving ok." (Pak Cik, terus pandu ok.)

"Dalam hati, kau jangan tengok belakang, bidan 'mode' aku dah start," cerita Ustaz Helmi yang ketika itu sempat bermonolog.

Beliau akhirnya menyambut kelahiran puteri pertama mereka dengan tangannya sendiri pada jam 6.20 pagi. Ini anak ketiga mereka dengan dua anak pertama adalah lelaki.

"Buat seketika waktu, saya ditenggelami pelbagai perasaan. Rasanya sukar untuk diungkapkan kerana saya 'blank' pada ketika itu."

NAMA ANAK... 'NUR BKE'? :) 

Menurut Ustaz Helmi, perkara pertama yang dikatakan Encik Leo apabila menyedari isterinya sudah bersalin adalah: "Tahniah!"

"Saya benar-benar tersentuh dengan reaksinya. Kami sudah mengotorkan tempat duduk kenderaannya tetapi beliau tidak kisah sama sekali. Beliau sebaliknya turut berasa gembira," kata Ustaz Helmi.

"(Beliau) menjalankan tugasnya sebagai seorang pemandu teksi secara profesional dan terpuji. Saya percaya ini kerana beliau mempunyai pengalaman menangani pelbagai ragam penumpang. Classy!"

Ditanya orang ramai apa nasib Encik Leo selepas itu, Ustaz Helmi akur bahawa teksinya menjadi kotor tetapi beliau sempat meminta maaf dan membantu Encik Leo membersihkan tempat duduk setibanya di NUH.

"Orang berbudi, kita berbahasa la sikit," katanya.

Encik Leo pula tenang sahaja hingga ke saat dia meninggalkan hospital.

"Dia mengucapkan 'Selamat Hari Raya' yang saya rasa sebenarnya apa yang ingin dikatakan adalah 'Selamat Berpuasa' kerana Ramadan dah nak tiba pada hari itu."

Kedua-dua Ustazah Hafidzah dan puterinya dalam keadaan sihat.

Jika anda mahu tahu, Ustazah Hafidzah sebenarnya pernah menjadi graduan terbaik Singapura di Universiti Al-Azhar pada tahun 2013 dengan meraih Ijazah Kepujian Kelas Pertama Imtiyaaz. Beliau bertugas sebagai pensyarah dan kini Eksekutif Kanan Pendidikan Islam di PERGAS.

Ustaz Helmi pula bertugas sebagai Penganalisis Kajian di Sekolah Kajian Antarabangsa S Rajaratnam di Universiti Teknologi Nanyang.

Oh ya, bagaimana dengan nama bayi mereka? Bayi perempuan mereka akan diberi nama apabila usianya genap tujuh hari nanti. Namun ada yang sudah bergurau dan mengusik Ustaz Helmi:

"Nama anak Nur BKE eh?" 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan