Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parti Pekerja kemuka usul berucap tentang kesaksamaan sistem keadilan jenayah di Parlimen

Pengerusi Parti Pekerja dan Anggota Parlimen (AP) Aljunied Sylvia Lim memfailkan usul penangguhan untuk berucap tentang meningkatkan kesaksamaan dalam sistem keadilan jenayah Singapura apabila Parlimen bersidang pada Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:
Parti Pekerja kemuka usul berucap tentang kesaksamaan sistem keadilan jenayah di Parlimen

Cik Parti Liyani tiba di Mahkamah Negara bersama peguam bela Anil Balchandani pada 8 September. (Gambar: TODAY/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 16 Sep 2020 02:42PM Dikemas Kini : 16 Sep 2020 02:46PM

SINGAPURA: Pengerusi Parti Pekerja dan Anggota Parlimen (AP) Aljunied Sylvia Lim memfailkan usul penangguhan untuk berucap tentang meningkatkan kesaksamaan dalam sistem keadilan jenayah Singapura apabila Parlimen bersidang pada Oktober.

Berjudul "Keadilan untuk Semua: Meningkatkan Kesaksamaan dalam Sistem Keadilan Jenayah", usul itu akan merujuk kepada "isu-isu lebih mendalam" yang timbul daripada kes pembantu rumah asing Parti Liyani, yang baru-baru ini dibebaskan daripada semua dakwaan, menurut Parti Pekerja (WP) dalam satu kenyataan pada Rabu (16 Sep).

"Tujuannya adalah untuk membincangkan aspek-aspek sistem keadilan jenayah dan cabaran-cabaran yang dihadapi rakyat Singapura yang kurang berkemampuan untuk mengharunginya. Cadangan khusus untuk memperbaiki sistem itu akan dikemukakan," menurut parti itu dalam satu kenyataan di laman Facebooknya.

Cik Parti bulan ini dibebaskan daripada semua tuduhan selepas beliau sebelum ini disabitkan kesalahan pada Mac 2019 kerana mencuri dari keluarga bekas pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong. Encik Liew adalah majikannya dari 2007 hingga 2016 apabila beliau dipecat.

Pejabat Peguam Negara menyatakan bahawa pembebasan Cik Parti dari semua tuduhan menimbulkan persoalan yang "memerlukan siasatan lebih lanjut". Kes itu sedang dikaji semula dan ia diketuai oleh Timbalan Peguam Negara, Hri Kumar Nair.

Usul Cik Lim dikemukakan pada Isnin untuk sidang Parlimen seterusnya pada Oktober.

Para AP boleh mengemukakan usul penangguhan untuk membangkitkan perkara yang menjadi keprihatinan umum selepas sidang Parlimen ditangguhkan.

Namun, hak untuk membangkitkan perkara ini diperuntukkan kepada seorang AP bagi setiap sidang. Sekiranya terdapat lebih daripada seorang AP yang menuntut hak tersebut, usul penangguhan akan diputuskan menerusi undian.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan