Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parti Pekerja harus sasar menang 30% kerusi Parlimen: Pritam Singh

Parti Pekerja (WP) harus sasar untuk bertanding dan menang sepertiga kerusi di Parlimen sebagai "objektif jangka sederhana", menurut setiausaha agung parti itu Pritam Singh.

Anggaran Waktu Membaca:
Parti Pekerja harus sasar menang 30% kerusi Parlimen: Pritam Singh

Encik Pritam Singh.

Diterbitkan : 15 Jan 2019 12:05AM Dikemas Kini : 15 Jan 2019 09:10AM

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) harus sasar untuk bertanding dan menang sepertiga kerusi di Parlimen sebagai "objektif jangka sederhana", menurut setiausaha agung parti itu Pritam Singh.

"Saya menetapkan satu pertiga dalam jangka sederhana kerana berdasarkan pengalaman Parti Pekerja sebelum ini dalam menarik calon-calon yang sesuai dan layak untuk bertanding dalam pilihan raya," kata Encik Singh pada Ahad (13 Jan), menurut salinan ucapan yang disampaikannya di Forum Anggota WP 2019.

"Bagi sebuah parti kecil seperti WP; sasaran itu adalah tinggi."

Encik Singh, seorang Anggota Parlimen (AP) bagi GRC Aljunied, berkata beliau "amat percaya dan yakin bahawa Singapura harus berusaha menuju ke arah sebuah Parlimen yang benar-benar pelbagai" dengan sekurang-kurangnya sepertiga kerusi undi dipegang oleh pihak pembangkang.

Ini "tidak kira parti mana yang memerintah negara dan parti atau pihak-pihak mana yang menjadi pembangkang," tambah beliau.

WP kini mempunyai enam kerusi di Parlimen, manakala Parti Tindakan Rakyat (PAP), 83 kerusi.

Sambil menekankan bahawa WP hanya mempunyai "kuasa kecil" di Parlimen, Encik Singh berkata: "Risiko tiada pihak pembangkang langsung daripada Parti Pekerja adalah sesuatu yang benar."

Pilihan raya umum seterusnya harus diadakan menjelang awal 2021, tetapi terdapat spekulasi bahawa ia akan berlaku seawal tahun ini.

Menurut Encik Singh, parti pembangkang tidak dapat bersaing secara saksama dengan PAP memandangkan "tekad PAP untuk mengekalkan kuasa menerusi kawalannya terhadap pertubuhan akar umbi".

"Ini termasuk keupayaannya untuk membuat perubahan kepada Perlembagaan, undang-undang tertinggi negara, menerusi kawalan mutlak di Parlimen," tambahnya.

Pindaan kepada Perlembagaan Singapura memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen.

"KUMPULAN TERBAIK, BUKAN INDIVIDU TERBAIK"

Encik Singh, yang mengambil alih jawatan sebagai Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) dari Encik Low Thia Khiang pada April 2018, juga menyeru anggota partinya untuk bersatu menghadapi "persekitaran politik yang lebih rumit".

"Anggota parti masa depan kami akan datang dari pelbagai latar belakang berbeza, dengan semangat untuk membaiki kesejahteraan rakyat Singapura," katanya.

"Kami harus meletakkan kumpulan yang terbaik untuk menawarkan alternatif yang terjamin kepada rakyat Singapura - biar saya tekankan, kumpulan terbaik, bukan individu-individu terbaik... Parti ini mesti dianggotai individu yang berjuang untuk orang lain dan bukan untuk kepentingan sendiri,"menurutnya lagi. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan