Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parti Liyani buat permohonan bagi tindakan disiplin ke atas pendakwa dalam kesnya

Cik Parti Liyani, bekas pembantu rumah tokoh perniagaan Liew Mun Leong, membuat permohanan di mahkamah agar tindakan disiplin diambil terhadap pendakwa raya dalam kesnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Parti Liyani buat permohonan bagi tindakan disiplin ke atas pendakwa dalam kesnya

Cik Parti Liyani tiba di Mahkamah Negara bersama peguam bela Anil Balchandani pada 8 September. (Gambar: TODAY/Raj Nadarajan)

Diterbitkan : 23 Sep 2020 09:42PM Dikemas Kini : 23 Sep 2020 09:45PM

SINGAPURA: Cik Parti Liyani, bekas pembantu rumah tokoh perniagaan Liew Mun Leong, membuat permohanan di mahkamah agar tindakan disiplin diambil terhadap pendakwa raya dalam kesnya.

Sekiranya beliau berjaya, prosiding mungkin dimulakan untuk menilai jika ada salah laku oleh pihak pendakwa.

Peguam Cik Parti, Encik Anil Balchandani, menghadiri sidang sebelum perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada Rabu (23 Sep) dengan wakil dari Pejabat Peguam Negara (AGC) mewakili pendakwa raya terbabit.

Sesi itu adalah untuk memulakan tindakan sivil di bawah Seksyen 82A Akta Profesion Undang-Undang, bagi prosiding disiplin terhadap pegawai khidmat guaman.

Ia berdasarkan afidavit yang difailkan untuk menyokong kes tersebut dan didengar di hadapan pendaftar mahkamah atau hakim.

Responden yang disenaraikan dalam kes Cik Parti adalah dua timbalan pendakwa raya yang mengendalikan perbicaraannya: Encik Tan Wee Hao, dan Cik Tan Yanying. Mereka diwakili oleh Kristy Tan Ruyan, Jeyendran Jeyapal dan Jocelyn Teo Meng Hui dari AGC.

BOLEH DIDENDA S$20,000, NAMA DIGUGURKAN DARI DAFTAR PEGUAM

Sekiranya Hakim Besar meluluskan permohonan Cik Parti bagi siasatan dijalankan terhadap aduan salah laku itu, beliau boleh membentuk sebuah tribunal disiplin. Tribunal kemudian akan mendengar kes itu dan menyiasat aduan tersebut, sebelum menyerahkan dapatannya kepada Hakim Besar. Beliau boleh membatalkan aduan tersebut jika pihak tribunal tidak menemukan alasan yang cukup kuat bagi tindakan disiplin, atau memberi arahan untuk menjatuhkan hukuman.

Seksyen 82A berkaitan dengan salah laku oleh pegawai khidmat guaman atau peguam yang tidak berkhidmat. Sekiranya alasan yang sewajarnya dikemukakan dengan bukti bahawa ada sebarang salah laku oleh pegawai khidmat guaman bersesuaian dengan jawatan mereka sebagai peguam bela dan peguam cara, mereka boleh dihukum.

Hukuman termasuk nama mereka dikeluarkan dari daftar peguam, denda sehingga S$20,000, atau arahan lain yang ditentukan sebagai sesuai oleh tribunal disiplin.

Apabila dihubungi oleh Mediacorp, Encik Balchandani mengesahkan bahawa persidangan berlangsung pada Rabu tetapi enggan mengulas lanjut.

Cik Parti dibebaskan awal bulan ini oleh Mahkamah Tinggi daripada tuduhan mencuri barang-barang bernilai S$34,000 dari bekas pengerusi Changi Airport Group Liew Mun Leong.

Ini setelah beliau sebelum itu dihukum di mahkamah rendah. Dalam keputusan Hakim Chan Seng Onn mengenai pembebasannya, beliau menguraikan beberapa masalah dengan penemuan sabitan dan bagaimana kes itu dikendalikan.

Beliau menarik perhatian tindakan pihak pendakwa menggunakan pemain DVD yang tidak berfungsi semasa perbicaraan, dengan berkata bahawa hakikat bahawa pemain DVD itu rosak tidak dimaklumkan kepada hakim atau juga Cik Parti. Sekiranya pihak pendakwa tahu mengenai kerosakan itu, mereka seharusnya mengisytiharkan sepenuhnya, kata Hakim Chan.

Sekiranya tidak, mahkamah boleh dikelirukan untuk mempercayai bahawa pemain DVD Pioneer itu berfungsi apabila "pertanyaan (dan secara tidak adil) diajukan kepada Cik Parti ... dengan alasan bahawa pemain DVD itu masih dalam keadaan baik selepas demonstrasi yang tidak lengkap mengenai fungsi pentingnya semasa perbicaraan", katanya.

Dalam keputusannya, beliau menegaskan peraturan menghalang bukti dibentangkan patut sama-sama dibenarkan bagi pihak pendakwa dan pembelaan. Insiden pemain DVD itu katanya "sangat memudaratkan Cik Parti" kerana beliau tidak diberi kesempatan untuk menguji alat itu sehingga perbicaraan itu sendiri.

BACA: Tan Cheng Bock gesa semakan bebas atas kelemahan berhubung kes Parti Liyani
Seminggu setelah Cik Parti dibebaskan, Encik Liew mengumumkan beliau bersara dari jawatan di perkhidmatan awam dan Changi Airport Group, Surbana Jurong, Yayasan Temasek dan Temasek International.

Mediacorp telah menghubungi AGC untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan