'Parrot Man' muncul di Geylang Serai minta derma bagi 'kajian barah' TTSH
Seorang lelaki dilihat cuba meminta derma bagi tujuan tersebut di pasar Geylang Serai.
SINGAPURA: Beberapa hari setelah Hospital Tan Tock Seng (TTSH) mengeluarkan amaran mengenai kegiatan penipuan di mana orang ramai diminta menghulurkan derma kepada 'TTSH cancer research fund' (dana kajian barah TTSH), seorang lelaki dilihat cuba meminta derma bagi tujuan tersebut di pasar Geylang Serai.
Lelaki berkenaan, yang dikenal pasti sebagai Zeng Guoyan, dilihat mendekati para pelanggan yang sedang makan di pasar itu dan meminta derma sekitar pukul 10.00 pagi hari ini (15 Feb).
Dia dilihat menggantung dua kertas yang tertera "Tan Tock Seng Hospital cancer research team" pada lehernya.
(Gambar: Chew Hui Min)
Orang ramai juga dilihat memasukkan wang ke dalam tin derma yang dibawa lelaki tersebut.
Apabila diminta memperkenalkan dirinya, lelaki yang tidak mempunyai hidung itu menunjukkan salinan laporan perubatan yang tertera nama Zeng Guoyuan @ Chan Hock Seng.
TTSH memuat naik catatan amaran mengenai penipuan itu di laman Facebooknya pada Isnin lalu (12 Feb).
"Kami menasihatkan anda supaya jangan menderma kepada individu sedemikian jika anda bertemu dengannya di tempat awam dan segera menghubungi polis," menurut catatan itu.
Mediacorp difahamkan pihak hospital sudahpun membuat aduan polis mengenai perkara itu dan pihak berkuasa sedang melakukan siasatan.
Encik Zeng, bekas usahawan yang kehilangan hidung disebabkan penyakit barah, lebih dikenali dengan panggilan 'Parrot Man'.
Sebelum ini, dia pernah membuat kemunculan semasa kempen-kempen pilihan raya dengan membawa seekor burung kakak tua. Tujuannya adalah untuk bertanding sebagai calon bebas.
Beberapa tahun kebelakangan ini, dia dilihat menjual tisu di kuil Kwan Im Thong Hood Cho yang terletak di Waterloo Street.
(Gambar: Gaya Chandramohan)
Pada bulan Ogos lalu, Encik Zeng dilaporkan bertikai dengan pihak pengurusan Ngee Ann City setelah dia berulang kali muncul berkerusi roda di kawasan berdekatan pusat beli-belah tersebut dan mencuba untuk menjual tisu.
Pihak pengurusan pusat beli-belah itu meletakkan papan tanda menggesa orang ramai supaya jangan menghulurkan derma berbentuk wang kepadanya. Mesej itu juga menyatakan lelaki berkenaan mampu berjalan dan menunggang motosikal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.