Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen luluskan Undang-undang PMD lebih ketat termasuk kawalan import

Dua Rang Undang-undang yang bertujuan untuk mempertingkatkan rangka kerja peraturan bagi kenderaan bermotor kecil diluluskan di Parlimen pada Selasa (26 Mei). 

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen luluskan Undang-undang PMD lebih ketat termasuk kawalan import

Gambar fail sebuah skuter elektronik digunakan. (Gambar: AFP/Tobias Schwarz)

Diterbitkan : 26 May 2020 10:17PM Dikemas Kini : 26 May 2020 10:20PM

SINGAPURA: Dua Rang Undang-undang yang bertujuan untuk mempertingkatkan rangka kerja peraturan bagi kenderaan bermotor kecil diluluskan di Parlimen pada Selasa (26 Mei).

Rang (Keselamatan) Kenderaan Bermotor Kecil memperkenalkan kawalan import bagi kenderaan bermotor kecil yang tidak selamat termasuk peralatan mobiliti peribadi (PMD) dan basikal bermotor (PAB).

Rang Mobiliti Aktif akan membolehkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) untuk memendekkan proses rampasan kenderaan bermotor yang menimbulkan risiko keselamatan penting dan meluaskan rangkaian laluan awam yang boleh digunakan peralatan mobiliti aktif.

Ini dilakukan setelah semua PMD bermotor dilarang daripada digunakan di laluan pejalan kaki mulai April lalu.

Pada 2019, 972 pengguna didapati menunggang PMD serta PAB yang tidak mematuhi peraturan di laluan pejalan kaki dan jalan raya. 11 peruncit pula dikesan memaparkan PMD dan PAB yang tidak mematuhi syarat serta gagal untuk memaparkan notis amaran, kata Menteri Negara Kanan Pengangkutan Lam Pin Min.

Rang Kenderaan Bermotor Kecil akan mengkehendaki semua pengimport untuk mendapatkan kelulusan import daripada LTA sebelum membawa masuk PMD dan PAB bermotor ke Singapura.

Mereka yang mempunyai alasan sah untuk mengimport peranti yang tidak mematuhi syarat mungkin akan mendapat kelulusan setelah LTA menentukan bahawa peranti tersebut tidak akan disalahguna dan digunakan di laluan awam. Bagi pengimport, adalah satu kesalahan untuk membiarkan perantinya yang tidak mematuhi syarat digunakan dengan alasan di luar apa yang telah dibenarkan atau jika mereka gagal mematuhi syarat yang ditentukan dalam kelulusan import.

Sementara itu, Rang Mobiliti Aktif akan membolehkan LTA untuk merampas dengan segera peralatan yang dianggap berbahaya, sebelum pembayaran denda dan sabitan, serta menghapusnya setelah pengguna diberi notis 30 hari untuk menyerahkan bantahan. Ini bagi mengurangkan bahaya keselamatan yang timbul daripada menyimpan peralatan seumpama itu.

Ia juga akan melanjutkan rangkaian laluan awam untuk meliputi ruang terbuka yang disambung dengan laluan termasuk halaman, plaza, dataran dan atrium, untuk diisytiharkan sebagai laluan awam.

PERLU KELULUSAN UNTUK IMPORT ALAT GANTI

Anggota Parlimen mengalu-alukan pindaan itu, yang menurut mereka, akan meningkatkan keselamatan di laluan awam untuk pejalan kaki meskipun sesetengah daripada mereka membangkitkan keprihatinan tentang sama ada perlindungannya cukup meluas.

Beberapa AP, termasuk Encik Darryl David dan Cik Lee Bee Wah, bertanya jika kementerian merancang untuk memantau individu yang mungkin membeli peralatan tidak mematuhi syarat secara online daripada syarikat luar negara.

"Semua PMD dan PAB bermotor akan memerlukan kelulusan LTA untuk diimport," kata Dr Lam.

"Ini ditetapkan tanpa mengira siapa yang mengimportnya, tanpa mengira pemborong atau peruncit yang akan menjual atau oleh individu melalui wadah online dan tanpa mengira tujuan mengapa peranti itu diimport."

AP lain termasuk Enck Melvin Yong and Encik Saktiandi Supaat meminta pencerahan sama ada kawalan import juga akan dikenakan ke atas alat ganti termasuk pek bateri dan pemasangan roda yang boleh digunakan untuk mengubah PMD mahupun PAB yang mematuhi syarat.

Walaupun Rang (Keselamatan) Kenderaan Bermotor Kecil tidak meliputi alat ganti dan hanya dikenakan ke atas PMD yang dipasang lengkap, LTA mungkin memperluaskan kawalan import bagi meliputi peralatan-peralatan yang tidak dipasang lengkap atau bahagian-bahagianb PMD jika ada keperluan, kata Dr Lam.

PERTINGKAT PENGUATKUASAAN

Para AP juga bertanya tentang bagaimana penguatkuasaan peraturan tersebut boleh dipertingkatkan terutama dengan langkah jarak selamat dan kurang tenaga kerja.

Cik Lee bertanya jika pihak berkuasa sedang meneroka penggunaan "teknologi seperti pengecaman wajah atau dron" untuk mengenal pasti pelaku dengan lebih cepat.

AP GRC Ang Mo Kio Gan Thiam Poh bertanya jika MOT akan mempertimbangkan untuk mengambil relawan yang boleh dilatih bagi membantu pegawai penguat kuasa. Beliau juga mencadangkan memberi insentif kepada mereka yang membantu mengenal pasti pesalah.

Sebagai respons, Dr Lam berkata LTA terus "mempergiat operasi penguatkuasaan mobiliti aktif secara tetap" terhadap penunggang yang ingkar peraturan semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan.

"Memang mencabar bagi pegawai penguat kuasa untuk mengimbangi semua aspek tugasan penguatkuasaan dengan tanggungjawab serentak untuk menguatkuasakan langkah-langkah pencabulan langkah jarak selamat," tambah beliau.

KOS KE ATAS PERNIAGAAN, PENGGUNA

Terdapat juga keprihatinan tentang sama ada Rang (Keselamatan) Kenderaan Bermotor Kecil akan menambah kos ke atas perniagaan dan pengguna.

AP Dilantik Walter Theseira menekankan keperluan untuk "mengurangkan kos ini" sekalipun peraturan itu menggalak keselamatan awam.

Beliau juga bertanya bagaimana rangka kerja untuk meluluskan pengimport ditetapkan dan sama ada ia akan membantu kemasukan serta saingan dalam pasaran kenderaan bermotor kecil.

Encik David menarik perhatian tentang perlunya memastikan peraturan itu tidak "membuatkan pengguna PAB sedia ada dalam keadaan lebih teruk" seperti para pekerja penghantaran makanan yang bergantung kepada PAB untuk mata pencarian mereka.

Encik Saktiandi juga bertanya jika peraturan import baru akan membawa kepada levi import lebih tinggi. "Saya prihatin kos tambahan ini akan ditanggung pengguna," kata beliau.

"Kami akan berusaha untuk memastikan proses import mudah serta yuran kelulusan import dan permohonan rendah," kata Dr Lam sambil menambah bahawa perinciannya akan dikeluarkan pada satu tarikh kelak. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan