Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen luluskan Rang Undang-Undang hukuman lebih berat bagi 3 jenayah seksual, halang tugas pegawai awam

Rang undang-undang untuk lanjutkan tempoh hukuman bagi kesalahan seksual tertentu, seperti mencabul kehormatan dan dan melakukan kegiatan seksual dengan kehadiran budak bawah umur antara 14 dengan 16 tahun diluluskan di Parlimen pada Isnin (13 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen luluskan Rang Undang-Undang hukuman lebih berat bagi 3 jenayah seksual, halang tugas pegawai awam

(Gambar hiasan)

Diterbitkan : 13 Sep 2021 10:17PM Dikemas Kini : 13 Sep 2021 10:18PM

SINGAPURA: Rang undang-undang untuk lanjutkan tempoh hukuman bagi kesalahan seksual tertentu, seperti mencabul kehormatan dan dan melakukan kegiatan seksual dengan kehadiran budak bawah umur antara 14 dengan 16 tahun diluluskan di Parlimen pada Isnin (13 Sep).

Rang baru itu juga mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang menghalang pegawai awam dalam melakukan tugas mereka.

Rang Undang-Undang Jenayah (Pindaan Lain) melibatkan pindaan berikut terhadap Kanun Keseksaan: Hukuman lebih berat bagi tiga jenayah seksual, meluaskan dan menjelaskan lebih terperinci skop kesalahan dan pembelaan tertentu, dan menggunakan bahasa modern bagi peruntukan tertentu.

Anggota Parlimen (AP) yang membahaskan rang undang-undang itu pada Isnin mengetengahkan beberapa isu berkaitan hukuman lebih berat bagi kesalahan seksual serta beberapa keprihatinan berhubung pindaan yang menangani perbuatan menghalang pegawai awam yang sedang menjalankan tugas.

HUKUMAN LEBIH BERAT BAGI KESALAHAN SEKSUAL

Di bawah hukuman sedia ada bagi kesalahan mencabul kehormatan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau sebat, atau mana-mana gabungan hukuman itu.

Rang Undang-Undang yang dipinda akan menambah tempoh hukuman penjara maksimum bagi kes sedemikian dari dua tahun kepada tiga tahun.

Hukuman lebih berat juga akan dikenakan terhadap mereka yang melakukan kegiatan seksual dengan kehadiran budak bawah umur, antara 14 dengan 16 tahun atau menyebabkan mereka melihat gambar seksual - dan bagi kesalahan serupa berkaitan dengan budak bawah umur antara 16 dengan 18 tahun, di mana pesalah itu menjalin hubungan yang merosakkan individu bawah umur itu.

Hukuman penjara maksimum bagi kesalahan itu ditambah dari satu tahun kepada dua tahun.

Merujuk kepada hukuman lebih berat bagi kesalahan seksual, Anggota Parlimen (AP) Murali Pillai (PAP-Bukit Batok) meminta menteri mempertimbangkan jika hukuman rotan harus ditentukan berdasarkan kecergasan perubatan dan bukan usia.

Di bawah undang-undang sedia ada, pesalah berulang yang berusia lebih 50 tahun "mungkin dikenakan hukuman lebih ringan meskipun setelah mengambil kira hukuman penjaranya ditambah sehingga 12 bulan bagi menggantikan hukuman sebat," kata Encik Pillai.

"Saya tidak lihat mengapa Parlimen harus beranggapan bahawa pesalah seks berulang itu tidak layak untuk disebat sedangkan dia sendiri dalam keadaan sihat untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

"Saya juga berpendapat bukan secara kebetulan bahawa pesalah pertengahan usia sedemikian lebih cenderung menyasarkan mangsa lebih muda. Kita harus memastikan pesalah sedemikian dicegah daripada mencederakan mereka."

Menjawab, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berkata "tidak ada sebab untuk menaikkan had usia".

"Purata atau jumlah lelaki berusia 50 tahun ke atas yang diberkas bagi kesalahan serius yang boleh dikenakan hukuman sebat adalah lebih rendah berbanding lelaki berusia 50 tahun dan ke bawah... (Encik Pillai) menimbulkan keprihatinan tentang pesalah yang menghampiri usia 50 tahun menangguhkan perbicaraan supaya tidak disebat. Menaikkan had usia sahaja mungkin tidak dapat menghentikan masalah itu kerana apabila anda ubah garisannya, masalahnya juga mungkin berubah," katanya.

BERI MAKLUMAT PALSU KEPADA PEGAWAI AWAM

Rang Undang-Undang itu juga akan meluaskan dan menjelaskan skop kesalahan dan pembelaan tertentu.

Salah satu kesalahan sedemikian melibatkan seseorang memberikan maklumat palsu kepada seorang pegawai awam dengan niat menyebabkan, atau secara sedar tahu bahawa ia mungkin akan menyebabkan, penjawat awam itu melakukan tugasnya dengan kurang berkesan.

Pindaan di bawah Rang Undang-Undang itu, "menjelaskan bahawa perbuatan memberi maklumat palsu kepada seorang pegawai awam dianggap sebagai halangan, meskipun jika tiada halangan fizikal atau ugutan", kata Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri Desmond Tan pada Isnin.

Rang Undang-Undang itu akan meningkatkan tempoh maksimum hukuman penjara bagi perbuatan sedemikian kepada enam bulan berbanding tiga bulan sekarang ini.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan