Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen luluskan rang larang ambil gambar, video atau kirim mesej semasa serangan pengganas

Parlimen hari ini (21 Mac) meluluskan undang-undang yang melarang orang awam untuk mengambil dan mengongsi gambar atau video semasa "insiden serius" seperti semasa serangan pengganas berlaku.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Mar 2018 06:18PM Dikemas Kini : 22 Mar 2018 12:47AM

SINGAPURA: Parlimen hari ini (21 Mac) meluluskan undang-undang yang melarang orang awam untuk mengambil dan mengongsi gambar atau video semasa "insiden serius" seperti semasa serangan pengganas berlaku. Mereka yang berada di tempat kejadian juga perlu berhenti mengirimkan pesanan dalam bentuk teks atau audio tentang operasi keselamatan yang sedang dijalankan.

Arahan Berhenti Komunikasi (CSO) bermatlamat untuk menyekat akses pengganas kepada maklumat yang mampu menghalang operasi penguatkuasaan. Ia hanya boleh diaktifkan oleh Pesuruhjaya Polis (CP), selepas Menteri Ehwal Dalam Negeri mengaktifkan Akta Ketenteraman dan Keselamatan Awam (Kuasa Khas) (POSSPA).

Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Cik Josephine Teo menarik perhatian kepada beberapa kejadian di luar negara di mana pihak polis sering gagal untuk memastikan maklumat insiden tidak tersebar kerana orang awam sering tidak mempedulikan peringatan yang dikeluarkan ke atas mereka.

Beliau turut mengetengahkan bagaimana teknologi moden boleh menghalang usaha polis untuk menyelamatkan mangsa yang ditahan sebagai tebusan. Untuk menyelamatkan mereka, polis perlukan elemen tidak disangka-sangka, yang seharusnya tidak dihebahkan oleh kiriman Twitter atau video secara langsung di media sosial.

"CSO tidak bertujuan untuk menyembunyikan insiden pengganas 100 peratus seperti yang disangkakan oleh sesetengah pihak," jelas Cik Teo.

"CSO meliputi kawasan yang terjejas sahaja dan akan dikuatkuasakan selama tempoh yang ditetapkan. Ia akan diangkat sejurus operasi keselamatan selesai dijalankan.

"Dengan adanya CSO, media tetap perlu melaporkan tentang kejadian. Oleh sebab itu, polis akan membenarkan media yang dipilih untuk memasuki tempat kejadian, supaya mereka boleh membuat rakaman untuk kegunaan pada masa depan."

Mereka yang melanggar CSO boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau didenda S$20,000, atau kedua-duanya.

Namun, tegas Cik Teo, polis tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap orang awam yang ditahan sebagai tebusan yang cuba untuk mengirimkan mesej (bagi mendapatkan bantuan).

KUASA LAIN

Di bawah POSSPA, polis mempunyai kuasa untuk menahan sebarang kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) seperti dron, menyiasat individu dan menyuruh pemilik bangunan untuk menutup premis atau menyekat sesiapa untuk keluar atau memasuki sebuah kawasan.

Menteri Ehwal dalam Negeri juga boleh menyuruh syarikat telko untuk menghentikan khidmat mereka di sesebuah kawasan. Cik Teo bagaimanapun mengatakan langkah ini tidak perlu jika CSO "mencukupi dan berkesan".

Kumpulan individu lain juga boleh dikerahkan untuk membantu pihak polis. Misalnya, askar-askar daripada Angkatan Bersenjata Singapura boleh menggeledah, memberkas atau mengepung sebuah kawasan yang terjejas. Polis juga boleh menyuruh orang awam, seperti para sukarelawan Pasukan Respons Kecemasan Syarikat (CERT) dan pegawai keselamatan privet untuk menjaga barisan depan kawasan yang dikepung, kata Cik Teo.

POSSPA juga mengekalkan dan mengemas kini Akta Ketenteraman Awam (Pemuliharaan) yang diluluskan pada 1958. Akta itu memberi kuasa untuk mengepung sebuah kawasan, menggunakan peralatan, tenaga elektrik atau ruang dalam kawasan yang diserang, dan menggunakan senjata berbahaya sebagai langkah akhir.

LANGKAH CEGAH PENYALAHGUNAAN KUASA

Cik Teo turut menjelaskan bahawa setelah POSSPA diaktifkan, tidak semua peruntukan akan dikuatkuasakan secara serta merta. Pesuruhjaya polis hanya boleh mengaktifkan "kuasa khas" itu "jika dianggap perlu".

Tempoh penguatkuasaan arahan juga hanya akan sah selama sebulan. Selepas itu, permohonan baru perlu dibuat untuk mengaktifkan semula "kuasa khas".

Undang-undang POPA yang membolehkan Parlimen untuk membatalkan proklamasi oleh Menteri Ehwal Dalam Negeri sebagai huraian tidak dilanjutkan dalam POSSPA. Tidak ada alasan penting mengapa ini tidak dilanjutkan, kata Cik Teo.

"Para anggota, bagaimanapun, masih boleh mempersoalkan Menteri jika mereka percaya arahan untuk mengaktifkan sebuah kuasa tidak seharusnya dikeluarkan atau sepatutnya dibatalkan. Parlimen sejauh ini tidak mencegah sebarang menteri untuk bertanggungjawab ke atas keputusan atau dasar-dasar, hanya kerana tidak ada peruntukan khas dalam undang-undang," jelas beliau lagi.

"SINGAPURA SEBAGAI SASARAN DIIDAM-IDAMKAN"

Sebelum itu, Cik Teo menarik perhatian kepada konteks di mana POSSPA diusulkan. "Di Singapura, sukar untuk membayangkan keadaan di mana kuasa di bawah rang undang-undang ini diperlukan," kata Cik Teo. "Kami mendengar dan membaca berita tentang serangan bersenjata, insiden penahanan tebusan. Namun, ini semua berlaku di tempat lain, dan bukan di Singapura. Mujur, belum lagi."

"(Tetapi) Hakikatnya, Singapura jelas terus berdepan dengan ancaman," tegas Cik Teo. "Pengganas dari luar negara melihat Singapura sebagai sasaran yang diidam-idamkan... Oleh sebab itu kita tidak harus leka bahawa kononnya kita akan sentiasa selamat. Kami harus bersiap siaga."

POSSPA hanya diusulkan setelah tinjauan ke atas serangan pengganas di merata dunia dilakukan serta "batasan dan cabaran" yang dihadapi oleh negara-negara yang terjejas, jelas Cik Teo.

"Yang paling utama ialah: Kita sendiri yang melindungi rakyat Singapura dan negara ini, seandainya ia diserang pengganas. Apabila ini berlaku, kita tidak boleh gagal." 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan