Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen lulus usul mahu Sylvia Lim, Low Thia Khiang kecualikan diri dari urusan kewangan AHTC

Usul Parlimen yang menggesa agar Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim dan Low Thia Khiang mengecualikan diri dari semua urusan kewangan di Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) diluluskan pada Selasa (5 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
Parlimen lulus usul mahu Sylvia Lim, Low Thia Khiang kecualikan diri dari urusan kewangan AHTC

Encik Low Thia Khiang (kiri) dan Cik Sylvia Lim di Parlimen pada 5 Nov 2019 (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 05 Nov 2019 10:10PM Dikemas Kini : 05 Nov 2019 10:21PM

SINGAPURA: Usul Parlimen yang menggesa agar Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP) Sylvia Lim dan Low Thia Khiang mengecualikan diri dari semua urusan kewangan di Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) diluluskan pada Selasa (5 Nov).

Ini menyusuli perbahasan selama lebih empat jam melibatkan para menteri dan AP dari kedua-dua belah pihak dalam Dewan. Ia diluluskan dengan undian 52 AP menyokong, sembilan menentang dan dua berkecuali.

Pada permulaan perbahasan, Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menyeru WP supaya "bertindak" setelah seorang hakim Mahkamah Tinggi mendapati Encik Low dan Cik Lim bertanggungjawab dalam kes bersejarah yang menyiasat salah guna dana majlis bandaran.

WP TIDAK BOLEH "BERDIAM DIRI": DPM HENG

Memandangkan sudah hampir empat minggu sejak keputusan mahkamah dikeluarkan pada 11 Oktober, parti pembangkang "tidak boleh senyap sahaja", tegas Encik Heng dalam ucapan selama sejam bagi membentangkan usul tersebut.

“Hampir empat minggu sudah berlalu sejak penghakiman dibuat. Selama ini, Parti Pekerja tidak menyatakan apa-apa,” kata Encik Heng, yang juga Menteri Kewangan.

“Mereka belum meminta maaf atas kelemahan-kelemahan yang Mahkamah - dan sebelum itu, AGO (Pejabat Auditor Negara) dan KPMG – sudahpun tetapkan. Mereka belum mengambil kira ketidakjujuran dan ketidakbenaran mereka.

“Dan mereka tidak menyatakan jika mereka berhasrat memperbetulkan sebilangan kesalahan yang ditemukan Mahkamah, dan jika demikian bagaimana (melakukannya)," tambah beliau semasa membentangkan usul tersebut.

USULAN "TERLALU AWAL", JAWAB WP

Pengerusi WP Sylvia Lim menjawab dalam penjelasannya kemudian bahawa beliau dan tertuduh lain Encik Pritam Singh dan Encik Low sudah menyemak keputusan mahkamah bersama para peguam mereka dan akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Beliau menambah Encik Heng bertindak secara "pramatang" dalam keputusannya untuk memfailkan usulan, dan menyeru Dewan Parlimen menolaknya.

Menekankan pendirian sama, ketua WP Pritam Singh menyifatkan usulan itu sebagai "tergesa-gesa dan pramatang".

"Parti Pekerja sudah membaca usulan dengan teliti dan kesemua AP Parti Pekerja akan sebulat suara menentangnya," kata beliau.

Usul parlimen itu, menukil penghakiman mahkamah yang mendapati ketua WP “bertindak secara tidak jujur dan melanggar tanggungjawab fidusiari mereka” dengan kelakuan “kurang integriti dan ketelusan”, sambil mengusulkan kepada Parlimen untuk mengesahkan “peri pentingnya Anggota Parlimen mengekalkan piawai integriti dan kebertanggungjawaban yang tinggi.”

Usul itu juga menyeru kedua-dua Anggota Parlimen supaya tidak melibatkan diri dalam segala hal kewangan di AHTC, di mana Cik Lim kekal sebagai naib pengerusinya dan Encik Low pula sebagai anggota dipilih.

ADAKAH WP AKAN MOHON MAAF, SOAL DPM HENG

DPM Heng juga mengajukan soalan kepada pengerusi AHTC Faisal Manap dan anggota WP yang lain.

Secara khusus, beliau bertanya kepada Encik Faisal sama ada beliau sekurang-kurangnya akan meminta maaf kepada para penduduk Aljunied dan Hougang kerana mengecewakan mereka. Serta, sama ada Cik Lim akan disingkirkan daripada jawatannya sebagai Naib Pengerusi AHTC.

Merujuk kepada Anggota Parlimen WP yang lain dan AP Tanpa Kawasan Undi, Encik Heng bertanya: “Adakah mereka akhirnya akan menjalankan siasatan sendiri? Atau mereka akan terus mengelak, dan menidakkannya?”

"Jika tiada tindakan diambil dari sekarang sehingga rayuan dimuktamadkan, kita terpaksa menyimpulkan bahawa Parti Pekerja, dengan tidak berbuat apa-apa, bersetuju dengan kelakuan tidak jujur dan kegagalan melaksanakan tanggunjawab fidusiari yang sudah berlaku, dan bersekongkol dalam salah laku itu."

KEPENTINGAN INTEGRITI DALAM KALANGAN PEGAWAI DILANTIK

Menjelaskan mengapa beliau mengemukakan usulan hari ini, Encik Heng berkata ini adalah kerana "integriti adalah paling penting dalam para pegawai dilantik".

Beliau menekankan Singapura berjaya hanya kerana ia mengekalkan budaya kejujuran dan integriti dalam perkhidmatan awam.

"Mereka yang terlibat dalam politik mestilah orang yang jujur, bersikap benar yang boleh dipercayai untuk menegakkan kepentingan awam, bercakap benar meskipun membawa padah pada diri sendiri, dan mengaku apabila berbuat salah.

"Mereka mesti menegakkan prinsip-prinsip ini meskipun tidak wajar dari sudut politik; dan ini kita perlu lakukan sama ada anda seorang AP pemerintah atau pembangkang, sama ada anda mewakili kawasan undi di Parlimen, atau NCMP atau NMP," tegas Encik Heng.

PENDUDUK BERI MANDAT MESKI DI TENGAH SAGA AHTC, TEGAS FAISAL

Menjawab keputusan WP untuk merayu keputusan mahkamah, Menteri Negara Kanan Undang-Undang Edwin Tong bertanya "apa yang akan berlaku buat masa ini" sehingga rayuan dikemukakan?

"Patutkah mereka yang didapati bertindak dengan tidak jujur mengecualikan diri daripada memantau dan mengawal kewangan?" kata beliau.

Sehubungan itu Encik Tong dan Encik Faisal dari WP bertikam lidah, apabila AP pembangkang itu sebelum itu berkata beliau berasa bahawa tidak wajar untuk membahaskan usul ini sekarang.

Encik Tong menuntut agar Encik Faisal menjelaskan pendiriannya, sambil menekankan tindakan perlu diambil sekarang untuk melindungi kepentingan penduduk.

Encik Faisal menjawab ia menjadi tanggungjawab beliau untuk menimbangkan dan menilai tindakan terbaik bagi para penduduk Aljunied dan Hougang. Beliau juga perlu mengambil kira mandat yang diberikan para penduduk pada pilihan raya umum 2015 meskipun ia berlaku di tengah-tengah saga AHTC.

"Secara persendirian, adalah tidak wajar bagi saya membatalkan mandat ini," jawab Encik Faisal. Beliau menegaskan pendiriannya bahawa meskipun beliau menghormati keputusan mahkamah, ia masih boleh dirayu.

"Maka itu saya menegaskan pendirian saya untuk menantikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum saya mengambil sebarang tindakan."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan