Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parlimen ke-13 direhatkan separuh penggal mulai hari ini; bersidang semula 7 Mei

Parlimen Singapura yang ke-13 direhatkan separuh penggal dan akan bersidang semula pada 7 Mei 2018.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Apr 2018 03:33PM Dikemas Kini : 04 Apr 2018 12:19AM

SINGAPURA: Parlimen Singapura yang ke-13 direhatkan separuh penggal bermula hari ini (3 Apr) dan akan bersidang semula pada 7 Mei 2018.

Ia diumumkan hari ini (3 Apr) dalam satu kenyataan pemerintah.

Laporan berikut mengupas makna prorog dan apakah agenda Pemerintah pada masa akan datang?

Prorog menandakan berakhirnya satu sesi Parlimen dan pembukaan sesi yang baru tanpa ia perlu dibubarkan.

Semasa tempoh itu, tiada sidang diadakan dan semua kegiatan parlimen dihentikan.

Prorog boleh diumumkan pada bila-bila masa dan lebih daripada sekali semasa satu-satu penggal Parlimen.

Prorog terbaru ini dilakukan pertengahan penggal Pemerintah - yang sesinya dibuka pada bulan Januari 2016 menyusuli Pilihan Raya Umum pada September 2015.

Selepas rehat, Parlimen akan menyambung semula sesinya pada bulan Mei dan perlu dibubarkan menjelang tahun 2021 - pada akhir penggal selama lima tahun.

Sejauh ini, Parlimen sudah direhatkan sebanyak 12 kali sejak ia merdeka.

Apabila Parlimen bersidang semula pada bulan Mei nanti, Presiden Halimah Yacob akan menyampaikan Ucapan Presiden yang membentangkan agenda bagi separuh kedua penggal Pemerintah.

Ini termasuk penyusunan semula ekonomi, melabur dalam prasarana dan mengukuhkan daya bingkas masyarakat.

Selepas ini, Dewan akan membahaskan dasar-dasar dan program dalam Ucapan Presiden.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong, menerusi laman Facebooknya, meminta para menteri generasi keempat supaya melakarkan agenda Pemerintah bagi baki penggal seterusnya.

"Anda boleh lihat, Pemerintah memperkenalkan perubahan-perubahan sebagai respons kepada peralihan utama - geopolitik, teknologi, demografi - anda juga dapat lihat peralihan politik dari generasi ketiga (3G) ke generasi keempat (4G).

"Anda juga akan melihat dan membuat penilaian tentang bagaimana tampuk kepimpinan baru itu melibatkan diri, memperkenalkan pembaharuan dan dasar-dasar baru serta meyakinkan bukan sahaja Parlimen tetapi juga rakyat tentang idea-idea baru tersebut," kata Timbalan Pengarah Kajian Institut Kajian Dasar, Dr Gillian Koh.

Menurut para penganalisis, ini termasuk tumpuan berterusan terhadap dasar-dasar yang diperkenalkan pada separuh pertama penggal Pemerintah.

"Kita tidak akan melihat banyak perubahan besar, tetapi apa yang penting adalah tempoh dua tahun sejak Parlimen ke-13 dibuka, terdapat perubahan-perubahan besar dalam ehwal sejagat.

"Keprihatinan tentang apa yang dilihat sebagai perang dagangan antara China dengan Amerika Syarikat adalah sesuatu yang akan menjadi tumpuan utama para penggubal dasar. Jadi saya menjangkakan Pemerintah akan menjelaskan bagaimana Singapura boleh mengekalkan daya saing eksport dalam sekitaran ekonomi global yang sukar," kata Profesor Madya Undang-Undang Universiti Pengurusan Singapura, Eugene Tan.

Beliau menambah bahawa Pemerintah akan terus menitikberatkan isu-isu berkaitan keselamatan negara, khususnya di zaman sekarang, di mana terdapat kebimbangan tentang pengganasan dan kepalsuan online disengajakan serta bagaimana ia akan menjejas perpaduan sosial.

Menurut para penganalisis lagi, pemimpin generasi keempat perlu menampung keperluan pelbagai pihak berkepentingan berbeza dalam lanskap yang lebih rumit.

Sekalipun demikian, mereka yakin bahawa akan ada kesinambungan berbanding perubahan apabila Parlimen bersidang semula.

PM Lee juga berkata satu rombakan Kabinet akan dilakukan bagi memberi lebih banyak pendedahan dan tanggungjawab kepada menteri-menteri yang lebih muda.  

Sumber : CNA/NK/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan